Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Israel bebaskan tahanan Palestin selepas ditangguh akibat kekacauan serahan tebusan

Jan 31, 2025 | 3:33 PM
Pasukan Hamas membebaskan tebusan Israel Cik Arbel Yehud kepada Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah, di selatan Jaluran Gaza, pada 30 Januari.
Pasukan Hamas membebaskan tebusan Israel Cik Arbel Yehud kepada Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah, di selatan Jaluran Gaza, pada 30 Januari. - Foto EPA-EFE

KAHIRAH: Hamas telah membebaskan tiga tebusan Israel dan lima warga Thailand di Gaza pada 30 Januari, manakala Israel pula membebaskan 110 tahanan Palestin, berikutan pertukaran tegang yang menonjolkan kerumitan rundingan tebusan yang berterusan di rantau itu.

Tebusan Israel termasuk Cik Arbel Yehud, 29 tahun, yang telah ditawan semasa serangan Hamas ke atas Israel pada 7 Oktober 2023.

Cik Yehud kelihatan sukar untuk berjalan di tengah-tengah kerumunan orang ramai ketika para anggota Hamas yang lengkap bersenjata, menyerahkannya kepada Palang Merah di Khan Younis, selatan Gaza.

Turut dibebaskan ialah Encik Gadi Moses, 80 tahun, bersama lima pekerja Thai yang ditawan apabila pejuang Hamas menyerbu ladang berhampiran Gaza.

Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, mengutuk keadaan huru-hara di salah satu tempat penyerahan tebusan. Beliau melahirkan rasa terkejut dengan kejadian itu dan memberi amaran keras, berikrar membunuh sesiapa yang mencederakan tebusan.

Pemerintah Israel juga menggesa perantara supaya memastikan pembebasan tebusan dalam persekitaran yang lebih selamat pada masa akan datang.

Sebagai pertukaran, Israel pula membebaskan 110 tahanan Palestin sebagai sebahagian daripada perjanjian untuk menghentikan permusuhan yang telah melanda Gaza.

Bas yang membawa tahanan itu tiba di Ramallah, Tebing Barat, lewat hari 30 Januari.

Encik Netanyahu, bersama Menteri Pertahanan, Encik Israel Katz, mengesahkan bahawa pembebasan tahanan Palestin selanjutnya telah ditangguhkan sehingga terdapat jaminan tebusan Israel selamat keluar dalam fasa berikutnya.

Terdahulu di Jabalia di utara Gaza, seorang askar Israel, Cik Agam Berger, dibawa keluar melalui lorong sempit antara bangunan yang musnah sebelum diserahkan kepada Palang Merah Antarabangsa.

Pegawai kesihatan Palestin melaporkan bahawa sekurang-kurangnya 14 rakyat Palestin cedera akibat tembakan Israel dan terhidu gas ketika mereka menunggu di pintu masuk Ramallah bagi menyambut tahanan yang dibebaskan.

Sebahagian daripada rakyat Palestin yang dibebaskan termasuk dari Baitulmakdis Timur pulang ke rumah mereka, manakala yang lain dipindahkan ke Gaza atau dihantar ke Mesir.

Rundingan yang berterusan dan suasana tegang menggariskan sifat rapuh dan tidak menentu keadaan di rantau itu. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg