KAHIRAH/JERUSALEM: Anggota militan Palestin telah mula menyerahkan tiga tebusan Israel di Gaza pada 30 Januari sebagai sebahagian daripada perjanjian gencatan senjata, dengan 110 tahanan Palestin akan dibebaskan dalam fasa terbaru.
Seorang tentera wanita Israel, Cik Agam Berger, melambai kepada orang ramai dari sebuah podium di Jabalia di utara Gaza sebelum diserahkan kepada Palang Merah.
Menurut video yang dikeluarkan oleh sekutu Hamas, Jihad Islam, Encik Gadi Moses, 80 tahun, dan Cik Arbel Yahud, 29 tahun, yang kedua-duanya diculik dari Kibbutz Nir Oz semasa serangan diketuai Hamas ke atas Israel pada 7 Oktober 2023, berpelukan di hadapan lelaki bersenjata yang memakai pakaian seragam hitam di satu lagi lokasi pertukaran, iaitu di Khan Younis, selatan Gaza.
Jurucakap sayap bersenjata kumpulan itu berkata di Telegram bahawa mereka telah “menyelesaikan prosedur untuk menyerahkan dua tebusan Israel”.
Seorang pegawai Israel memberitahu Reuters bahawa ketiga-tiga tebusan dijangka dibawa ke tiga hospital berbeza Israel, walaupun boleh berubah bergantung kepada pemeriksaan doktor sebaik mereka tiba.
Warga Israel mula berhimpun di Dataran Tebusan, sebuah dataran utama di Tel Aviv, yang kini menjadi tumpuan kempen untuk memperjuangkan nasib tebusan yang ditahan di Gaza.
Tiga orang awam Israel dan empat anggota askar – kesemuanya wanita – telah dibebaskan setakat ini dalam satu gencatan senjata yang bermula pada 19 Januari.
Sebagai balasan, Israel telah membebaskan 290 banduan dan tahanan Palestin.
Lebih daripada 250 tebusan telah diculik dalam serangan Hamas ke atas Israel.
Sekitar separuh telah dibebaskan pada bulan berikutnya semasa gencatan senjata yang lalu, manakala yang lain ditemui sama ada mati atau hidup semasa kempen ketenteraan Israel di Gaza, yang meragut puluhan ribu nyawa rakyat Palestin dan menjadikan enklaf pesisir kecil itu sebagai padang pasir penuh runtuhan. — Reuters
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg