KAHIRAH/GAZA: Israel menghujani bom ke atas Bandar Gaza selama seminggu yang digambarkan penduduk sama dengan pertempuran paling sengit dalam peperangan itu, sedang pusingan baru rundingan gencatan senjata pada 11 Julai berakhir tanpa perjanjian dicapai.
Israel mengebom Jaluran Gaza selama 10 bulan dalam perang yang telah memusnahkan wilayah itu dan membunuh lebih 38,000 rakyat Palestin, menurut pihak berkuasa perubatan di Gaza.
Pada 11 Julai, serangan udara Israel membunuh sekurang-kurangnya enam orang di Bandar Gaza dan 19 di seluruh Jaluran Gaza, menurut pihak berkuasa Palestin.
Perkhidmatan kecemasan awam berkata sekurang-kurangnya 30 mayat warga Palestin yang terkorban sepanjang tiga hari sebelumnya juga berselerak di jalan raya yang tidak boleh dilalui di Bandar Gaza.
Dalam pada itu, pusingan terbaru rundingan gencatan senjata berakhir tanpa persetujuan dengan Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, menuduh Hamas membuat tuntutan bercanggah dengan rangka kerja perjanjian yang diurus oleh Washington.
Bagaimanpun, beliau tidak menyatakan apakah tuntutan tersebut.
Dalam satu kenyataan, Hamas berkata pihak perantara masih belum memberikan maklumat terkini mengenai kemajuan rundingan itu sejak ia membuat konsesi minggu lalu sebagai respons kepada tawaran damai Israel yang disokong Amerika Syarikat.
Washington mendesak perjanjian dicapai dalam rundingan di Mesir dan Qatar untuk menamatkan perang yang memasuki bulan ke-10 itu.
Ketua agensi perisikan Israel, Shin Bet, telah menuju ke Kahirah untuk meneruskan rundingan itu, kata pejabat Encik Netanyahu.
Di Washington, Penasihat Keselamatan Negara Rumah Putih, Encik Jake Sullivan, berkata banyak butiran masih perlu diselesaikan untuk merungkaikan satu perjanjian.
Dalam kenyataannya pada Khamis, Hamas menuduh Israel menggagalkan pusingan rundingan itu, sama seperti pada pusingan sebelumnya. – Reuters.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg