Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Israel bom pusat bandar Beirut, perang terus memuncak

Sekurang-kurangnya enam terbunuh, tujuh tercedera dalam serangan sasar dekat bangunan Parlimen di tengah Beirut
Oct 3, 2024 | 1:43 PM
Israel telah mengebom markas dan kemudahan Hezbollah di selatan pusat bandar Beirut pada 3 Oktober yang menyebabkan enam orang terbunuh dan tujuh yang lain cedera.
Israel telah mengebom markas dan kemudahan Hezbollah di selatan pusat bandar Beirut pada 3 Oktober yang menyebabkan enam orang terbunuh dan tujuh yang lain cedera. - Foto AFP

BEIRUT/BAITULMAKDIS: Israel telah mengebom pusat bandar Beirut pada awal pagi 3 Oktober, membunuh sekurang-kurangnya enam orang, selepas sejumlah tentera darat rejim Israel terbunuh berhampiran sempadan.

Israel berkata ia melakukan serangan udara tepat ke atas Beirut sedang ketegangan semakin meruncing mencetuskan kebimbangan peperangan yang telah meragut lebih 1,000 nyawa di Lebanon setakat ini, bakal meluas.

Saksi melaporkan mereka mendengar letupan besar-besaran dan sumber keselamatan berkata ia menyasarkan sebuah bangunan di kawasan kejiranan Bachoura berhampiran bangunan Parlimen di tengah Beirut.

Sekurang-kurangnya enam orang terbunuh dan tujuh cedera, kata pegawai kesihatan Lebanon.

Foto yang disebarkan menerusi WhatsApp menunjukkan sebuah bangunan rosak teruk dengan tingkat pertamanya dijilat api.

Tiga peluru berpandu turut meledak di pinggir selatan Dahiyeh, tempat pemimpin Hezbollah, Encik Hassan Nasrallah, yang terbunuh 27 September, kata pegawai keselamatan Lebanon.

Pinggir bandar selatan itu menjadi sasaran lebih sedozen serangan Israel pada 2 Oktober.

Dalam serangan itu, tentera Israel berkata lapan askarnya terbunuh dalam pertempuran darat di selatan Lebanon ketika tenteranya menggempur kawasan kejiranan di utara.

Serangan Israel itu berlaku sehari selepas Iran meluncurkan lebih 180 peluru berpandu ke Israel sebagai tindak balas menyusuli pembunuhan pemimpin Hezbollah, Encik Nasrallah; pemimpin Hamas, Encik Ismail Haniyeh; serta serangan Israel terhadap kumpulan Hezbollah di Lebanon dan Hamas di Gaza.

Iran pada 2 Oktober menyatakan serangan peluru berpandunya adalah yang terbesar ke atas Israel dan bertujuan menghalang provokasi selanjutnya.

Akibat serangan mendadak Iran itu, Israel berikrar membalas dendam, sekali gus menimbulkan kebimbangan Timur Tengah, pengeluar minyak dunia, boleh terperangkap dalam konflik yang lebih luas.

Hezbollah berkata anggotanya buat kali pertama terlibat dalam pertempuran darat sejak tentera Israel menceroboh sempadan Lebanon pada 30 September.

Dalam pertempuran itu, Hezbollah mendakwa telah memusnahkan tiga kereta kebal Merkava Israel dengan roket berhampiran bandar sempadan Maroun El Ras.

“Kami berada di puncak peperangan yang sukar menentang paksi kejahatan Iran yang mahu memusnahkan kami,” kata Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu.

Presiden Amerika Syarikat, Encik Joe Biden, berkata beliau tidak menyokong sebarang serangan Israel ke atas tapak nuklear Iran sebagai tindak balas terhadap serangan peluru berpandu balistiknya dan menggesa Israel supaya bertindak “berkadar” terhadap musuh ketat serantaunya itu.

Beliau turut menyertai seruan pemimpin Kumpulan Tujuh (G7) pada 2 Oktober untuk menyelaraskan tindak balas, termasuk sekatan baru terhadap Teheran, kata Rumah Putih.

G7 terdiri daripada Canada, Perancis, Jerman, Italy, Jepun, United Kingdom dan Amerika.

Lebih 1,900 orang terbunuh dan lebih 9,000 cedera di Lebanon, dengan kebanyakan kematian berlaku sejak dua minggu lalu, dalam hampir setahun pertempuran rentas sempadan.

Perdana Menteri Lebanon, Encik Najib Mikati, berkata kira-kira 1.2 juta rakyat negaranya telah kehilangan tempat tinggal akibat serangan Israel. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg