Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

AS siasat Israel kes budak 6 tahun mati di Gaza

Apr 17, 2024 | 1:37 PM
Inilah kereta yang dinaiki kanak-kanak Palestin, Hind Rajab, enam tahun, yang dikatakan maut akibat serangan tentera Israel sejurus merayu penyelamat Gaza agar menghantar bantuan selepas terperangkap bersama lima anggota keluarganya yang telah mati di dalam kenderaan itu.
Inilah kereta yang dinaiki kanak-kanak Palestin, Hind Rajab, enam tahun, yang dikatakan maut akibat serangan tentera Israel sejurus merayu penyelamat Gaza agar menghantar bantuan selepas terperangkap bersama lima anggota keluarganya yang telah mati di dalam kenderaan itu. - Foto REUTERS

WASHINGTON: Jabatan Negara Amerika Syarikat akan meminta Israel memberi maklumat lanjut mengenai kematian budak perempuan warga Palestin, Hind Rajab, enam tahun, pada 6 Januari di Gaza, kata jurucakapnya, Encik Matthew Miller pada 16 April.

Menurut beliau, pihaknya juga menggesa siasatan penuh terhadap kejadian itu selepas laporan, Washington Post, menimbulkan keraguan terhadap penjelasan awal Israel.

Kanak-kanak yang terperangkap di dalam kereta di Gaza bersama anggota keluarganya yang telah mati, cuba mendapatkan bantuan penyelamat menerusi telefon.

Ketika itulah bunyi tembakan kedengaran semasa dia menyatakan tentera Israel semakin menghampiri kereta yang dinaikinya itu.

Saudara-mara menemui mayatnya 12 hari kemudian bersama ibu saudaranya, bapa saudara dan tiga anak mereka di dalam kereta tersebut yang teletak berhampiran sebuah ambulans dan dua pekerja ambulans yang turut maut ketika cuba menyelamatkannya.

The Washington Post melaporkan pada 16 April bahawa siasatan mendapati kereta berperisai Israel berada di kawasan itu, bertentangan dengan dakwaan Angkatan Pertahanan Israel bahawa siasatan awal mendapati pasukannya tidak berada dalam jarak tembakan dari kereta berkenaan.

“Kami akan mendapatkan maklumat lanjut daripada pemerintah Israel. Kami turut mengalu-alukan siasatan penuh mengenai perkara ini dan bagaimana ia berlaku,” kata Encik Miller.

Pegawai Amerika berkata mereka sedang mengkaji kejadian melibatkan kecederaan awam dalam perang enam bulan Israel di Gaza untuk memastikan senjata yang dibekalkan Amerika tidak digunakan dalam pelanggaran undang-undang kemanusiaan antarabangsa. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg