Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Israel bunuh ketua tentera Hezbollah dalam serangan ke atas Beirut

Serangan Israel lintas ‘garisan merah’, kata pegawai Hezbollah
Nov 24, 2025 | 2:08 PM
Israel,  serangan ke atas ketua tentera Hezbollah, Beirut
Pekerja membersihkan puing-puing bangunan dan kenderaan yang rosak selepas serangan udara Israel yang disasarkan terhadap kumpulan Hezbollah di pinggir bandar selatan Beirut, Lebanon, pada 23 November 2025. - Foto EPA

BEIRUT/BAITULMAKDIS: Israel membunuh pegawai tertinggi tentera kumpulan Hezbollah di Lebanon dalam serangan udara di pinggir bandar selatan Beirut pada 23 November, kata tentera Israel, di sebalik gencatan senjata hasil usaha Amerika Syarikat setahun lalu.

Serangan itu, yang pertama di pinggir ibu kota Lebanon dalam beberapa bulan, menyasarkan pemangku ketua staf Hezbollah yang disokong Iran, Encik Ali Tabtabai, kata tentera Israel dalam satu kenyataan.

Hezbollah mengesahkan kematian Encik Tabtabai dalam satu kenyataan dan menyifatkannya sebagai komander hebat yang berjuang menentang Israel sehingga ke saat-saat akhir hayatnya.

Tetapi, ia tidak memberikan butiran tentang peranannya itu.

Serangan Israel melintasi “garisan merah”, kata pegawai Hezbollah, Encik Mahmoud Qmati, ketika beliau berdiri berhampiran bangunan yang dibom di pinggir bandar Haret Hreik, kubu kuat kumpulan itu.

Kepimpinan Hezbollah akan memutuskan bentuk tindak balas yang bakal diambil, tambahnya.

Kementerian Kesihatan Lebanon berkata serangan itu membunuh lima orang dan mencederakan 28 yang lain.

Serangan berlaku ke atas sebuah bangunan bertingkat, menyebabkan serpihan terhempas ke atas kereta di jalan utama di bawahnya.

Orang ramai dilihat bergegas keluar dari pangsapuri mereka kerana bimbang dilanda pengeboman selanjutnya oleh Israel.

Amerika mengenakan sekatan ke atas Encik Tabtabai pada 2016, mengenal pasti beliau sebagai pemimpin utama Hezbollah dan menawarkan ganjaran sehingga AS$5 juta ($6.5 juta) untuk maklumat mengenainya.

Menurut kenyataan tentera Israel, Encik Tabtabai “mengetuai kebanyakan unit Hezbollah dan bekerja keras meningkatkan tahap kesediaan untuk berperang dengan Israel”.

Dalam satu kenyataan ringkas yang disiarkan di televisyen, Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, berkata Israel tidak akan membenarkan Hezbollah membangunkan semula pasukannya dan beliau menjangkakan pemerintah Lebanon “akan memenuhi kewajipannya untuk melucutkan senjata Hezbollah”.

Presiden Lebanon, Encik Joseph Aoun, menggesa masyarakat antarabangsa supaya campur tangan bagi menghentikan serangan Israel.

Serangan itu berlaku seminggu sebelum Paus (Pope) Leo dijadual mendarat di Lebanon dalam lawatan luar negara pertamanya.

Ramai rakyat Lebanon berharap lawatan itu dapat memberi isyarat negara itu menuju ke arah masa depan yang lebih baik.

Gencatan senjata November 2024 bertujuan menamatkan pertempuran selama setahun antara Hezbollah dengan tentera Israel.

Ia dicetuskan oleh serangan roket Hezbollah ke atas pos Israel sehari selepas serangan 7 Oktober 2023 oleh sekutu Palestinnya, militan Hamas, ke atas Israel.

Tetapi Israel telah meneruskan serangan hampir setiap hari ke atas Lebanon sejak gencatan senjata itu, menyasarkan apa yang dikatakannya sebagai depoh senjata Hezbollah, anggotanya dan usaha kumpulan itu untuk bangkit semula.

Ia telah meningkatkan serangan dalam beberapa minggu kebelakangan ini.

Ditanya sama ada Israel telah memaklumkan kepada Amerika sebelum melakukan serangan itu, jurucakap pemerintah Israel, Encik Shosh Bedrosian, berkata Israel membuat keputusan secara bebas.

Israel menghapuskan sebahagian besar kepimpinan kumpulan itu semasa perang selama setahun, termasuk ketuanya ketika itu, Encik Hassan Nasrallah.

Israel dan Lebanon telah saling menyalahkan atas pelanggaran gencatan senjata sejak 2024.

Lebanon menyatakan serangan berterusan Israel dan pendudukan lima pos di selatan wilayahnya merupakan pelanggaran besar.

Encik Aoun menyatakan pihaknya terbuka untuk rundingan tetapi belum menerima tindak balas positif daripada pegawai Israel.

Israel menuduh Hezbollah cuba berkumpul semula di selatan Lebanon, dan menekankan agar pemerintah Lebanon lebih agresif dalam merampas semua senjata tanpa izin di seluruh negara, termasuk milik Hezbollah.

Hezbollah pula tidak menyerang Israel sejak gencatan senjata dikuatkuasakan. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg