BEIRUT: Israel melancarkan serangan ke atas ibu kota Lebanon, Beirut, pada 6 Mei, buat kali pertama sejak persetujuan gencatan senjata bersama Hezbollah dimeterai pada April. 

Pihak Israel menyatakan serangan itu menyasarkan seorang komander pasukan elit kumpulan tersebut, Radwan, di pinggir selatan bandar berkenaan.

Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, dan Menteri Pertahanan, Encik Israel Katz, mengumumkan tindakan tersebut dalam satu kenyataan bersama.

Media Israel melaporkan komander tersebut telah terbunuh dalam serangan itu, namun masih belum ada pengesahan rasmi daripada pihak tentera Israel mahupun Hezbollah.

Gencatan senjata di Lebanon menjadi asas kepada perdamaian lebih luas antara Amerika Syarikat dengan Iran, dengan pemberhentian serangan Israel di Lebanon menjadi tuntutan utama pihak Iran.

Ketika Iran dan Amerika menyatakan mereka semakin hampir mencapai kesepakatan bagi menamatkan konflik, serangan terbaru itu mengancam gencatan senjata yang sebelum ini membawa kepada pemberhentian serangan Israel ke atas Beirut.

Tentera Israel kekal berada di kawasan selatan Sungai Litani dan serangan di selatan Lebanon dilaporkan terus berlaku.

Hezbollah, yang merupakan sekutu Iran, bertindak balas dengan melepaskan tembakan dan melancarkan dron bersenjata ke arah tentera Israel.

Sebelum ini pada 6 Mei, Israel mengarahkan penduduk untuk berpindah dari beberapa kampung di utara Sungai Litani, yang mungkin menandakan peluasan zon operasi Israel.

Rundingan antara Israel dengan Lebanon masih diteruskan, namun ia sebahagian besarnya hanya dilakukan di peringkat duta.

Perdana Menteri Lebanon, Encik Nawaf Salam, pada 6 Mei berkata masih terlalu awal membincangkan sebarang pertemuan peringkat tinggi antara Lebanon dengan Israel.

Encik Salam berkata usaha memperkukuh gencatan senjata akan menjadi asas kepada sebarang rundingan baru antara utusan pemerintah Lebanon dengan Israel di Washington, menurut laporan Agensi Berita Nasional Lebanon.

Pada April lalu, Washington menganjurkan dua pertemuan antara duta Israel dengan Lebanon ke Amerika, dengan langkah tersebut menerima bantahan keras daripada Hezbollah.

Susulan serangan Amerika dan Israel ke atas Iran pada 28 Februari, Hezbollah bertindak melepaskan tembakan ke arah Israel pada 2 Mac sebagai tanda sokongan kepada Teheran. 

Sejak itu, pentadbiran Lebanon yang diterajui Encik Salam dan Presiden, Encik Joseph Aoun, telah memulakan hubungan peringkat tertinggi Beirut dengan Israel dalam tempoh beberapa dekad.

Perkembangan itu mencerminkan perpecahan mendalam antara kumpulan Syiah itu dengan penentang mereka di Lebanon.

Ketika mengumumkan langkah melanjutkan gencatan senjata selama tiga minggu pada 23 April, Presiden Amerika, Encik Donald Trump, menyatakan kesediaan beliau menerima kunjungan Encik Netanyahu dan Encik Aoun dalam masa terdekat.

Encik Trump berkata beliau nampak ‘peluang besar’ bagi kedua-dua negara mencapai perjanjian damai pada 2026.

Encik Salam menegaskan Lebanon tidak berhasrat melakukan “normalisasi dengan Israel, sebaliknya ingin mencapai keamanan”.

“Tuntutan minimum kami ialah (mendapatkan) jadual bagi pengunduran tentera Israel,” katanya

Encik Salam menambah pemerintah akan merangka pelan bagi memastikan pemilikan senjata berada di bawah kawalan penuh negara – satu usaha yang menyasarkan pelucutan senjata Hezbollah.

Dalam pada itu, Encik Aoun berkata masanya belum sesuai untuk mengadakan pertemuan dengan Encik Netanyahu, kerana Lebanon “harus mencapai perjanjian keselamatan dan penghentian serangan Israel terlebih dahulu, sebelum kami membangkitkan isu mengenai pertemuan antara kita,” katanya. – Reuters.