Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Israel dakwa bunuh lima pemimpin Hamas di Gaza

Dec 7, 2023 | 12:48 PM
PEMIMPIN HAMAS JADI SASARAN: Gambar dengan bulatan merah menunjukkan pemimpin Hamas yang dilaporkan telah dihapuskan tentera Israel.
PEMIMPIN HAMAS JADI SASARAN: Gambar dengan bulatan merah menunjukkan pemimpin Hamas yang dilaporkan telah dihapuskan tentera Israel. - Foto IDF

TEL AVIV: Tentera Israel mendakwa mereka telah membunuh lima pemimpin militan Hamas termasuk ketua bahagian udara dan dua komander batalionnya.

Ini berdasarkan bukti gambar pemimpin tentera Hamas dengan lima bulatan merah dengan label ‘dihapuskan’, yang mereka keluarkan pada 5 Disember.

Sayap tentera Hamas, Briged al-Qassam, mengesahkan bulan lalu bahawa sekurang-kurangnya tiga lelaki dalam gambar itu telah terbunuh, termasuk Encik Ahmed al-Ghandour, pemimpin tentera utara Gaza yang dikenali sebagai Abu Anas, dan timbalannya, Encik Wael Rajab. Seorang lagi ialah Encik Rafet Salman, seorang komander batalion Hamas.

Tentera Israel berkata gambar itu diambil ketika para pemimpin Hamas itu bersembunyi di dalam terowong di bawah kawasan perumahan berhampiran Hospital Indonesia di bandar Beit Lahia di utara Gaza.

Unit perisikan Israel menganalisis gambar itu selepas ia dirampas di Gaza tetapi tidak mendedahkan siapa yang mengambilnya. Beberapa butiran gambar, termasuk tarikh dan lokasi tepatnya, tidak dapat disahkan secara bebas.

Tentera Israel tidak menyatakan serangan di lokasi mana para pemimpin Hamas itu terbunuh.

Tentera Israel menambah bahawa mereka sudah menembusi barisan pertahanan dan melakukan “serbuan yang disasarkan di tengah-tengah bandar”, malah menemui dan memusnahkan 30 terowong didakwa milik Hamas.

Tentera Israel terus menyerang bandar utama di selatan Gaza pada 6 Disember tanpa mempedulikan nyawa penduduk Gaza yang kini tiada tempat untuk berlindung.

Walaupun Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sudah memberi amaran berlaku kerosakan menyeluruh dalam ketenteraman awam selepas hampir dua bulan perang tercetus, regim Zionis semakin nekad meningkatkan serangan.

Israel turut mengebom Rafah selepas mereka mengarahkan penduduk berpindah dan mencari perlindungan di tempat lebih selamat.

Penduduk Gaza melarikan diri ke kampung Al-Masawi tetapi sukar mendapatkan tempat perlindungan atau bantuan di sana.

Tentera Israel telah menyasarkan kepimpinan Hamas sejak kumpulan itu melancarkan serangan ke atas selatan Israel selatan pada 7 Oktober yang membunuh sekitar 1,200 orang dan lebih 240 orang ditahan sebagai tebusan.

Sejak itu, Israel telah mengisytiharkan perang terhadap Hamas dengan niat untuk memusnahkan organisasi itu. Ia telah meletakkan Gaza, yang dikuasai kumpulan itu sejak 2007, di bawah pengepungan, memotong bekalan makanan dan bahan api, serta menjadikan jaluran itu sebagai sasaran pengeboman mereka.

“Hamas mahu memisahkan kami; kami merobeknya,” kata Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, pada 5 Disember selepas beliau bertemu keluarga tebusan Israel yang masih ditahan di Gaza.

Menurut Encik Netanyahu, Israel telah membunuh “kira-kira separuh daripada komander batalion Hamas”. Tetapi beliau tidak memberikan nama dan butiran kesemua mereka yang terbunuh. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg