BAITULMAKDIS: Tentera Israel berkata Iran melancarkan peluru berpandu dengan peledak berangkai di kawasan berpenduduk di tengah Israel pada 19 Jun.
Jurucakap tentera Israel, Leftenan Kolonel (Lt-Kol) Nadav Shoshani, berkata itu adalah kali pertama senjata jenis itu digunakan dalam perang yang berlaku kini.
Duta Iran ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) enggan memberi sebarang respons berhubung dakwaan Israel berkaitan peluru berpandu balistik yang melanda Or Yehuda, Israel, dan bandar berdekatan.
Tiada siapa yang terbunuh dalam serangan peluru berpandu atau pengeboman oleh Iran itu.
Peluru berpandu Iran itu mempunyai kepala peledak yang menaburkan banyak bom dan boleh menyebabkan kemudaratan kepada orang awam.
Lebih 100 negara telah menandatangani perjanjian 2008 untuk melarang pengunaan senjata sedemikian.
Tetapi Israel dan Iran, malah negara besar seperti Amerika Syarikat, Russia, China dan India tidak menerima pakai larangan tersebut.
Video dan gambar yang diperoleh menunjukkan bom yang tidak meletup di teres sebuah apartmen di Or Yehuda selepas serangan peluru berpandu Iran pada 19 Jun.
Objek itu, yang menyerupai peluru artileri atau kepala peledak roket, berkemungkinan besar adalah senjata serupa pada beberapa peluru berpandu balistik Iran yang digunakan sejak 2014.
Demikian menurut Penyelidik di Institut Antarabangsa untuk Kajian Strategik, sebuah badan pemikir yang berpangkalan di London, Encik Fabian Hinz.
“Peluang untuk terkena sesuatu meningkat apabila anda mempunyai peluru berpandu yang mungkin tidak tepat seperti yang anda mahukan,” tambahnya.
The New York Times turut mengesahkan gambar dan video yang menunjukkan tiga kawah kecil di kawasan yang sama selaras dengan letupan peluru daripada kepala peledak berkelompok.
Kawah berada di kaki lima, halaman belakang, dan tempat letak kereta hospital.
Pusat Perintah Barisan Hadapan, unit tentera Israel yang bertanggungjawab terhadap tindak balas kecemasan, memaklumkan bahawa “sebutir peluru berpandu yang membawa bahan letupan telah mengenai sasaran dan serpihannya tersebar ke kawasan yang agak luas”.
Pihak tentera turut memberi amaran kepada orang awam agar berwaspada terhadap peluru berpandu yang mungkin tidak meledak tetapi masih berbahaya.
Sesiapa yang menjumpai objek sedemikian diminta supaya melaporkannya segera kepada pihak berkuasa.
Pusat itu juga berkata ia telah menemui sekurang-kurangnya 10 tapak di tengah Israel yang mungkin telah terkena tembakan senjata berkelompok Iran.
Israel telah menggunakan bom berangkai dalam peperangan lalu dengan yang terkini pada 2006 di Lebanon. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg