Timur Tengah
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pegawai kanan AS bersiap lancar serangan ke atas Iran dalam beberapa hari

Jun 19, 2025 | 12:40 PM
tunjuk perasaan, wilshire, LA
Anggota Marin Amerika Syarikat mengawal keadaan sedang penunjuk perasaan membawa plakad semasa demonstrasi, ‘No War on Iran’, di luar Bangunan Persekutuan Wilshire, Los Angeles, pada 18 Jun. - Foto AFP

WASHINGTON: Pegawai kanan Amerika Syarikat dilaporkan bersiap sedia menghadapi kemungkinan melancarkan serangan ke atas Iran dalam beberapa hari akan datang, menurut sumber yang arif tentang perbincangan tertutup itu.

Langkah itu menandakan Washington sedang membuka landasan untuk terlibat secara langsung dalam konflik dengan Teheran.

Keadaan itu masih berubah-ubah dan boleh bertukar pada bila-bila masa, kata mereka yang enggan dinamakan kerana perkara itu bersifat sulit.

Beberapa sumber menyebut rancangan serangan hujung minggu.

Seorang pegawai berkata pemimpin tertinggi di beberapa agensi persekutuan telah mula membuat persiapan bagi kemungkinan serangan.

Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, sejak beberapa hari lalu secara terbuka membayangkan serangan tersebut.

Iran berperang dengan Israel hampir seminggu.

Bercakap kepada wartawan di Rumah Putih pada 18 Jun, Encik Trump berkata beliau “ada beberapa idea” dan lebih suka membuat “keputusan muktamad sesaat sebelum tiba waktunya” kerana keadaan di Timur Tengah sentiasa berubah.

Beberapa jam sebelumnya, apabila ditanya sama ada beliau semakin hampir menyerang Iran, beliau menjawab: “Mungkin ya, mungkin tidak.”

Seorang pegawai Rumah Putih menegaskan semua pilihan kekal terbuka.

Sikap Encik Trump yang kini cenderung kepada tindakan ketenteraan berbeza sama sekali daripada kenyataannya sebelum ini.

Awalnya beliau menggesa rundingan diplomatik untuk mencapai perjanjian pelucutan senjata nuklear dengan Iran.

Menunggu beberapa hari sebelum menyerang memberi ruang kepada pemimpin Iran menunjukkan kesediaan mengurangkan kapasiti pengayaan uranium demi mengelak serangan Amerika.

Menteri Luar Iran, Encik Abbas Araghchi, dalam hantaran media sosial pada 18 Jun menegaskan negaranya “komited kepada diplomasi” dan tidak pernah, serta tidak akan sesekali mengejar senjata nuklear.

Menurut sumber, menteri luar Britain, Perancis dan Jerman merancang bertemu rakan sejawat Iran pada 20 Jun di Geneva.

Di samping itu, Senator Amerika, Encik Lindsey Graham, dari Carolina Selatan memainkan peranan penting menggesa Encik Trump mempertimbangkan tindakan ketenteraan, kata sumber.

Encik Trump dilapor beberapa kali menghubungi Encik Graham.

“Beliau sudah beri peluang diplomasi. Saya rasa mereka tersilap perkiraan,” kata Encik Graham mengenai Iran pada 18 Jun.

“Lagi cepat kita hapuskan ancaman ini, lagi baik,” tambah beliau.

Encik Graham, yang bercakap dengan Encik Trump pada 17 Jun, berkata Presiden “sangat fokus, tenang” dan benar-benar tidak mahu Iran menguasai senjata nuklear.

Sekian lama Encik Trump menekankan Amerika harus menjauhi konflik asing dan menumpukan isu dalam negara.

Dalam satu panggilan pada 17 Jun, beliau menggalakkan Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, agar “teruskan” operasi ofensif, sambil menambah beliau tidak memberi petunjuk bahawa tentera Amerika akan menyertai serangan tersebut.

Timbalan Menteri Luar Iran, Encik Kazem Gharibabadi, sekali lagi memberi amaran kepada Amerika Syarikat agar tidak campur tangan secara langsung dalam konflik Iran-Israel yang semakin meruncing.

Dalam kenyataan yang dipetik oleh Reuters, Encik Gharibabadi menegaskan Iran tidak berhasrat untuk membesarkan konflik tersebut, namun bersedia bertindak untuk memberi pengajaran kepada pihak yang menceroboh sekiranya perlu.

Iran sebelum ini telah beberapa kali memberi amaran kepada kuasa-kuasa luar agar tidak mencetuskan ketegangan di rantau tersebut, sambil menegaskan komitmen negara itu terhadap kestabilan serantau.

Encik Netanyahu pda 19 Jun memberi amaran bahawa Iran akan menerima balasan susulan serangan peluru berpandu di Hospital Soroka di Be’er Sheva, selatan Israel.

Dalam satu kenyataan yang dimuat naik di platform media sosial X, Encik Netanyahu berkata, pihak Iran telah melancarkan peluru berpandu ke arah Hospital Soroka di Be’er Sheva dan ke kawasan orang awam dan pihaknya akan memastikan mereka di Teheran menerima akibatnya.

Hospital Soroka, yang merupakan pusat perubatan terbesar di selatan Israel menempatkan lebih 1,000 katil mengalami kerosakan besar akibat serangan tersebut. Serangan ini berlaku ketika ketegangan antara Israel dan Iran semakin memuncak, dengan Israel turut melancarkan serangan udara ke atas kemudahan nuklear Iran di Arak dan Natanz. - Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg