KAHIRAH: Tentera Israel meningkatkan pengeboman di seluruh Semenanjung Gaza pada 7 November dan mengarahkan lebih banyak pemindahan, mewujudkan gelombang pemindahan baru dari utara Gaza.
Ia sekali gus membuat rakyat Palestin bimbang mereka tidak akan dapat kembali.
Pegawai Kesihatan Palestin berkata sekurang-kurangnya 10 orang terbunuh dan beberapa lagi cedera dalam serangan udara Israel ke atas sebuah sekolah yang menempatkan keluarga pelarian di kem pelarian Shati di Bandar Gaza.
Israel tidak memberi sebarang komen.
Ketika kereta kebal Israel maju di Beit Lahiya sejak sebulan serangan baru di utara Gaza, berpuluh-puluh keluarga berpusu-pusu keluar, mencari perlindungan di sekolah-sekolah dan tempat perlindungan lain di bandar Gaza,
Mereka membawa apa sahaja barangan dan makanan yang boleh dipikul.
Dron berlegar di udara menyiarkan perintah pemindahan, yang juga disampaikan di media sosial, pesanan audio dan teks yang dihantar ke telefon bimbit penduduk, kata Encik Ahmed yang kehilangan tempat tinggal.
“Selepas mereka pindahkan kebanyakan atau semua orang di Jabalia, kini mereka jatuhkan bom di mana-mana, membunuh orang di jalan raya dan di dalam rumah mereka untuk memaksa semua orang keluar,” kata Encik Ahmed, kepada agensi berita, Reuters, melalui aplikasi sembang.
Beliau tidak memberikan nama penuh kerana takut tindakan bakal diambil.
Pegawai Palestin berkata Israel sedang melaksanakan rancangan “pembersihan etnik”.
Para pegawai dan penduduk berkata tiada bantuan yang masuk ke Jabalia, Beit Lahiya dan Beit Hanoun sejak serbuan itu bermula pada 5 Oktober.
Tentera Israel berkata ia terpaksa mengosongkan Jabalia dan mula memindahkan penduduk dari Beit Lahiya yang berdekatan pada 6 November supaya ia boleh menyerang kumpulan Hamas yang mereka dakwa telah berkumpul semula di sana.
Dalam masa yang sama, tentera Israel turut menafikan laporan akhbar bahawa mereka yang dipindahkan dari utara Gaza tidak akan dibenarkan pulang.
Ia mendakwa tetap membenarkan penghantaran bantuan ke utara Gaza dan kawasan Jabalia, meskipun ia masih terlibat dalam “pertempuran sengit”.
Menurutnya, 300 trak bantuan dari Amiriah Arab Bersatu (UAE) telah tiba di pelabuhan Ashdod dan akan dihantar ke Gaza melalui persimpangan Erez di utara dan Kerem Shalom di selatan.
Setelah itu, tentera Israel menghantar arahan pemindahan baru kepada penduduk di kawasan kejiranan berhampiran dan di dalam bandar Gaza, dengan memberi alasan kumpulan militan Palestin melancarkan roket dari sana.
Perintah baru itu meliputi bahagian utara kem Shati dan tiga kawasan kejiranan lain di Bandar Gaza. – Reuters.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg