Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Israel dakwa sasar ‘pengganas’ yang beroperasi dari sekolah kendalian PBB di Gaza

Jul 9, 2024 | 1:26 PM
Penduduk Palestin memerhatikan kerosakan yang berlaku ekoran serangan udara Israel ke atas sekolah Al-Jawni di Nuseirat, yang dikendalikan oleh Agensi Bantuan dan Kerja Menyelamat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA).
Penduduk Palestin memerhatikan kerosakan yang berlaku ekoran serangan udara Israel ke atas sekolah Al-Jawni di Nuseirat, yang dikendalikan oleh Agensi Bantuan dan Kerja Menyelamat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA). - Foto EPA-EFE

BAITULMAKDIS: Angkatan Udara Israel (IAF) berkata ia telah menyerang “beberapa pengganas” di tengah Gaza yang didakwa menggunakan sebuah sekolah di kawasan Nuseirat bagi melindungi kegiatan mereka.

“Berdasarkan risikan dan menggunakan peluru yang tepat, IAF telah menyerang beberapa pengganas yang menjalankan aktiviti keganasan, menggunakan prasarana sekolah di kawasan Nuseirat sebagai tempat perlindungan mereka,” kata IAF dalam satu kenyataan pada 8 Julai.

Sumber di Hospital Al-Awda di Nuseirat memberitahu bahawa ia telah merawat beberapa orang yang cedera akibat serangan terhadap sebuah sekolah yang dikendalikan oleh Agensi Bantuan dan Kerja Menyelamat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA) itu.

Tentera Israel berkata Hamas dan Jihad Islam “secara sistematik melanggar undang-undang antarabangsa, mengeksploitasi prasarana awam dan penduduk sebagai perisai manusia untuk melakukan serangan terhadap negara Israel”.

Pada 6 Julai, kementerian kesihatan di Gaza yang dikendalikan Hamas berkata 16 orang terbunuh dalam serangan Israel ke atas sebuah sekolah yang menempatkan penduduk yang kehilangan tempat tinggal di Nuseirat.

Pada masa itu, tentera Israel mendakwa pesawatnya telah menyasarkan “pengganas” yang beroperasi di sekitar sekolah Al-Jawni di Nuseirat, yang dikendalikan oleh UNRWA.

Perang di Gaza memasuki bulan ke-10 pada 7 Julai.

Perang meletus apabila Hamas menyerang selatan Israel pada 7 Oktober, membunuh lebih 1,400 orang dan 240 yang lain ditahan sebagai tebusan.

Seramai 116 tebusan masih kekal ditahan Hamas di Gaza, termasuk 42 yang dikatakan tentera telah mati.

Israel bertindak balas dengan serangan berterusan yang sehingga kini telah membunuh sekurang-kurangnya 38,193 orang di Gaza, juga kebanyakan orang awam, berdasarkan perangkaan kementerian kesihatan wilayah itu. – AFP.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg