BEIRUT/BAITULMAKDIS: Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, mengancam Hezbollah pada 28 November dengan “perang intensif” jika ia melanggar gencatan senjata di Lebanon yang masuk hari kedua.
Beberapa jam sebelum itu, tentera Israel berkata ia menyerang kemudahan senjata Hezbollah di selatan Lebanon selepas “aktiviti pengganas dikenal pasti” berlaku di kawasan berkenaan.
Terdahulu, tentera Israel telah melepaskan tembakan ke arah orang ramai yang dikatakan melanggar gencatan senjata.
Gencatan senjata itu, yang berkuat kuasa sebelum subuh pada 27 November, bertujuan menamatkan perang yang telah membunuh ribuan orang di Lebanon dan mencetuskan perpindahan penduduk secara besar-besaran di Lebanon dan Israel.
“Jika perlu, saya memberi arahan kepada (tentera Israel)“ untuk melancarkan “perang intensif” sekiranya berlaku sebarang pelanggaran gencatan senjata, kata Encik Netanyahu, dalam temu bual dengan penyiar Israel Channel 14.
Sebelum ini, tentera Israel berkata “aktiviti pengganas dikenal pasti dalam kemudahan yang digunakan oleh Hezbollah untuk menyimpan roket jarak pertengahan di selatan Lebanon,” sambil menambah bahawa “ancaman itu digagalkan” oleh tentera udaranya.
Datuk bandar Baysariyeh di selatan Lebanon, Encik Nazih Eid, memberitahu AFP serangan Israel telah berlaku di kawasan bandarnya.
“Mereka menyasarkan kawasan hutan yang tidak boleh diakses oleh orang awam,” katanya.
Perjanjian untuk menamatkan perang di Lebanon itu diuruskan sekutu utama Israel, Amerika Syarikat dan Perancis.
Di bawah perjanjian itu, tentera Israel akan mengekalkan kedudukan tetapi gencatan senjata selama 60 hari akan bermula apabila tentera dan pasukan keselamatan Lebanon bergerak ke arah selatan”, kata seorang pegawai Amerika dengan syarat namanya tidak disiarkan.
Israel pula harus memulakan pengunduran berperingkat tanpa meninggalkan ruang yang membolehkan Hezbollah atau orang ramai tergesa-gesa masuk, kata pegawai itu.
Pada 28 November, tentera Lebanon telah dikerah ke selatan – kawasan yang telah sekian lama dikuasai Hezbollah dan hanya tentera dan pasukan pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dibenarkan mengekalkan kehadiran bersenjata di bawah syarat gencatan senjata.
Tentera Israel dan Lebanon telah menyeru penduduk di perkampungan di barisan hadapan supaya mengelak daripada pulang segera ke rumah masing-masing.
Terdahulu pada 28 November, tembakan tentera Israel telah mencederakan dua orang di sebuah perkampungan sempadan, lapor National News Agency.
Tentera Israel berkata “sejak sejam lalu, beberapa suspek tiba dengan kenderaan ke beberapa kawasan di selatan Lebanon – perbuatan yang melanggar syarat gencatan senjata”.
Tentera “melepaskan tembakan ke arah mereka”, kata kenyataan itu, sambil menambah bahawa tentera Israel “tetap berada di selatan Lebanon dan akan secara aktif menguatkuasakan pelanggaran perjanjian gencatan senjata”.
Namun, gencatan senjata umumnya masih dipatuhi.
Sumber tentera Lebanon berkata pasukannya “menjalankan rondaan dan menubuhkan pusat pemeriksaan” di selatan Sungai Litani, tanpa mara ke kawasan tentera Israel masih berada.
Tentera Israel pada 28 November mengumumkan perintah berkurung pada waktu malam untuk kawasan di selatan sungai tersebut.
Meskipun terdapat kegembiraan di Lebanon dengan berakhirnya perang, namun negara itu perlu menjalani tempoh pemulihan panjang.
Puluhan ribu rakyat Lebanon yang melarikan diri dari rumah mereka semasa perang, telah pulang ke bandar dan kampung mereka tetapi mendapatinya telah musnah.
“Di sebalik semua kemusnahan dan kesedihan, kami gembira kerana dapat kembali,” kata Cik Umm Mohammed Bzeih, seorang balu yang melarikan diri dari kampung selatan Zibqin bersama empat anaknya.
“Saya rasa seolah-olah jiwa kami telah kembali,” katanya, yang kelihatan letih ketika menyapu kaca pecah dan runtuhan yang menutupi lantai.
Pada 27 November, dalam kenyataan pertama selepas gencatan senjata, Hezbollah berkata anggotanya akan “tetap dalam keadaan bersedia sepenuhnya untuk menghadapi cita-cita dan serangan Israel”. – Reuters.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg