BEIRUT: Tentera Israel buat pertama kali mendedahkan peta garisan penempatan tenteranya di selatan Lebanon pada 19 April, hanya beberapa hari selepas gencatan senjata dengan Hezbollah berkuat kuasa, sekali gus membawa puluhan kampung Lebanon di bawah kawalan Israel.

Garisan tersebut membentang kira-kira lima hingga 10 kilometer ke dalam wilayah Lebanon dari sempadan, dalam usaha mewujudkan zon penampan bagi melindungi kawasan utara Israel daripada serangan.

“Lima divisyen bersama pasukan tentera laut Israel kini beroperasi serentak di selatan garisan pertahanan hadapan untuk melumpuhkan infrastruktur Hezbollah dan menghalang ancaman terhadap komuniti di utara Israel,” menurut kenyataan tentera Israel.

Israel dan Lebanon mencapai persetujuan gencatan senjata yang disokong Amerika Syarikat pada 16 April, susulan rundingan langsung pertama antara kedua-dua pihak dalam beberapa dekad.

Perjanjian itu dilihat sebagai langkah awal bagi membuka ruang kepada rundingan lebih besar melibatkan Iran dan Amerika Syarikat, walaupun tentera Israel masih mengekalkan kedudukan jauh di dalam wilayah Lebanon.

Setakat ini, tiada kenyataan rasmi dikeluarkan oleh pemerintah Lebanon atau Hezbollah berhubung pendedahan peta tersebut.

Tentera Israel dilaporkan telah memusnahkan beberapa kampung di kawasan tersebut, dengan alasan untuk menghapuskan ancaman daripada Hezbollah.

Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz berkata, rumah yang digunakan oleh Hezbollah akan dirobohkan.
“Sebarang struktur yang mengancam tentera kami dan laluan yang disyaki mengandungi bahan letupan mesti dimusnahkan segera,” katanya.

Sumber keselamatan Lebanon memaklumkan bahawa sebahagian penduduk dibenarkan kembali ke kampung tertentu, namun kebanyakan kawasan di selatan garisan tersebut masih tidak boleh diakses.

Lebanon terheret ke dalam konflik pada 2 Mac apabila Hezbollah melancarkan serangan sebagai sokongan kepada Iran, yang kemudian mencetuskan serangan balas Israel. Menurut pihak berkuasa Lebanon, lebih 2,100 orang terbunuh termasuk 177 kanak-kanak, manakala lebih 1.2 juta penduduk terpaksa meninggalkan kediaman mereka.

Hezbollah pula dilaporkan kehilangan sekurang-kurangnya 400 anggota setakat akhir Mac, walaupun angka rasmi tidak didedahkan. Serangan balas Hezbollah yang melibatkan roket dan dron turut mengorbankan dua orang awam di Israel, selain 15 anggota tentera Israel yang terbunuh di Lebanon.

Langkah Israel ini dilihat sebagai usaha menghidupkan semula zon keselamatan yang pernah diwujudkan antara 1985 hingga 2000. Walaupun tentera Israel mengelakkan penggunaan istilah tersebut dan lebih cenderung menyebutnya sebagai “kawasan pertahanan hadapan”, penganalisis melihat persamaan ketara dari segi lokasi dan strategi.

Dalam satu lawatan media yang dikawal ketat, wartawan Israel dibawa ke kawasan tersebut, termasuk ke kampung Ayta ash-Shab yang dilaporkan musnah teruk akibat pertempuran.

Komander Briged Infantri Nahal, Kolonel Arik Moyal berkata istilah yang digunakan tidak penting berbanding objektif operasi. “Apa pun nama yang digunakan, yang penting adalah memastikan keselamatan,” katanya. - Agensi berita