Topik diikuti
Pergi ke BHkuRakyat Lebanon berhati-hati sambut gencatan senjata
Rakyat Lebanon berhati-hati sambut gencatan senjata
Rakyat Lebanon berhati-hati sambut gencatan senjata
BEIRUT: Rakyat Lebanon menunjukkan reaksi bercampur-campur susulan pelaksanaan gencatan senjata antara Israel dengan Lebanon dengan sebahagian memilih untuk kembali ke kampung halaman.
Manakala ramai lagi mengambil pendekatan berhati-hati dan menunggu kepastian sebelum pulang.
Di bandar Sidon, konvoi kenderaan dilihat memenuhi jalan raya seawal pagi 17 April apabila penduduk yang dipindahkan mula pulang ke rumah masing-masing.
Ada yang mengibarkan bendera sebagai tanda kegembiraan terhadap gencatan senjata sementara itu.
Namun di ibu negara, Beirut, suasana jauh berbeza.
Ramai penduduk yang masih berlindung di pusat pemindahan menyatakan mereka tidak yakin gencatan senjata itu akan bertahan.
“Kami tidak percaya Israel akan mematuhi perjanjian ini. Kami akan tunggu dan lihat dahulu,” kata seorang penduduk yang ditemui di pusat pemindahan di pusat bandar Beirut.
Lebih sejuta penduduk, kebanyakannya dari selatan Lebanon, terpaksa meninggalkan kediaman mereka akibat konflik yang berlarutan sejak beberapa minggu lalu.
Namun, hanya sebilangan kecil dilihat bersedia untuk kembali dalam masa terdekat.
Di pinggir selatan Beirut, kemusnahan jelas kelihatan.
Rumah Encik Fadal Alawi di kawasan Hay el-Sellom, hampir musnah sepenuhnya, dengan hanya satu bilik yang masih berdiri.
Kediaman jirannya, Encik Haytham Dandash, dan isterinya, Cik Ruwayda Zaiter, ranap sepenuhnya.
“Kami akan kekal di sini sepanjang 10 hari ini.
“Hanya jika ada perjanjian jangka panjang barulah kami akan pulang,” kata Encik Dandash.
Beliau dan isterinya kini tinggal di khemah dengan tilam nipis, yang menurutnya menyebabkan sakit belakang.
Gencatan senjata selama 10 hari antara Israel dengan Lebanon mula berkuat kuasa pada tengah malam 17 April waktu Beirut, selepas enam minggu pertempuran sengit antara Israel dengan kumpulan bersenjata Hezbollah.
Gencatan senjata itu berkuat kuasa beberapa jam selepas diumumkan Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, susulan perbincangan dengan Presiden Lebanon, Encik Joseph Aoun.
Berbeza dengan gencatan senjata pada November 2024, yang disambut dengan penuh kegembiraan apabila keluarga segera pulang ke rumah, suasana kali ini lebih suram dan penuh keraguan.
“Dulu orang terus balik. Sekarang, ramai masih tunggu,” kata seorang penduduk di kawasan pesisir Beirut.
Sebahagian penduduk menyatakan mereka akan menunggu sehingga waktu siang untuk menilai keadaan sebelum kembali meninjau rumah masing-masing di kawasan yang terjejas teruk.
Seorang pemandu tuk-tuk, Encik Ali Jaber, dari Mayfadoun berhampiran Nabatieh, berkata beliau tidak berani mengambil risiko.
“Saya tidak yakin Israel tidak akan menyerang kenderaan di lebuh raya,” katanya.
Tentera Israel mengeluarkan amaran kepada penduduk di selatan Lebanon supaya tidak bergerak ke selatan Sungai Litani, walaupun perjanjian gencatan senjata telah mula dilaksanakan.
Jurucakap tentera Israel, Encik Avichay Adraee, dalam satu kenyataan yang dimuat naik di platform X, menyifatkan mesej itu sebagai “amaran segera” kepada penduduk setempat.
Beliau berkata meskipun gencatan senjata telah memasuki fasa pelaksanaan, tentera Israel masih mengekalkan kedudukan sedia ada bagi menangani apa yang didakwa sebagai kegiatan keganasan berterusan oleh Hezbollah.
Menjelang pelaksanaan gencatan senjata, tentera Israel dilaporkan terus melancarkan serangan udara intensif di selatan Lebanon termasuk di kawasan seperti Bint Jbeil, yang menyaksikan pertempuran hebat dalam beberapa hari kebelakangan ini.
Dalam kenyataannya, Hezbollah mengingatkan orang ramai agar tidak tergesa-gesa pulang ke kawasan konflik.
“Israel mempunyai sejarah melanggar janji dan perjanjian.
“Kami menyeru orang ramai supaya bersabar dan tidak kembali ke kawasan sasaran sehingga keadaan benar-benar jelas,” tambah kenyataan kumpulan itu.
Sebahagian penduduk turut menyatakan mereka hanya akan kembali selepas mendapat jaminan daripada pemimpin politik seperti Speaker Parlimen Lebanon, Encik Nabih Berri, atau Hezbollah.
Dalam masa sama, keadaan kemanusiaan semakin meruncing, dengan bantuan yang sebelum ini diagihkan secara meluas kini semakin berkurangan.
“Pada awalnya, banyak bantuan diagihkan, terutama sepanjang Ramadan.
“Tetapi sekarang, tiada lagi bantuan,” kata Encik Alawi.
Cik Ruwayda Zaiter turut menunjukkan rakaman video kepada wartawan, memaparkan orang ramai berlari mengejar sebuah kenderaan yang mengagihkan wang bantuan sebelum ia beredar dengan tergesa-gesa. – Agensi berita.
