Topik diikuti
Pergi ke BHkuGencatan senjata 10 hari Lebanon-Israel kuat kuasa 17 Apr
Gencatan senjata 10 hari Lebanon-Israel kuat kuasa 17 Apr
Trump usaha atur pertemuan bersemuka pertama antara pemimpin kededua negara
Gencatan senjata 10 hari Lebanon-Israel kuat kuasa 17 Apr
BEIRUT: Gencatan senjata selama 10 hari antara Lebanon dengan Israel mula berkuat kuasa pada 17 April.
Ini ketika Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, berusaha mengatur pertemuan bersemuka pertama antara pemimpin kedua-dua negara.
Menurut Encik Trump, gencatan senjata itu bermula pada tengah malam waktu tempatan di Lebanon dan Israel, susulan usaha Washington untuk menamatkan konflik yang lebih luas melibatkan Iran.
“Dua pemimpin ini telah bersetuju untuk mencapai keamanan antara negara mereka, gencatan senjata rasmi selama 10 hari akan dilaksanakan,” katanya dalam satu kenyataan.
Perang di Asia Barat tercetus pada 28 Februari apabila Amerika Syarikat dan Israel melancarkan serangan terhadap Iran, sebelum Lebanon turut terlibat selepas Hezbollah melancarkan roket ke arah Israel pada 2 Mac.
Sejak itu, serangan Israel di Lebanon dilaporkan mengorbankan lebih 2,000 orang dan menyebabkan lebih sejuta penduduk hilang tempat tinggal, selain pencerobohan darat di selatan negara itu.
Walaupun gencatan senjata mula berkuat kuasa, tentera Israel memaklumkan ia telah menyerang lebih 380 sasaran yang dikaitkan dengan Hezbollah di selatan Lebanon sambil menegaskan ia kekal dalam keadaan “bersiap siaga” untuk meneruskan operasi jika perlu.
Dalam perkembangan sama, Encik Trump berkata perjanjian itu dicapai selepas perbualan telefon yang disifatkannya sebagai “cemerlang” dengan Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, dan Presiden Lebanon, Encik Joseph Aoun.
Beliau turut menjangkakan kedua-dua pemimpin itu akan mengunjungi Rumah Putih dalam tempoh beberapa hari akan datang, satu langkah yang dilihat sebagai berpotensi menjadi titik perubahan penting dalam hubungan serantau.
Namun, keadaan di lapangan masih tegang.
Tembakan kedengaran di pinggir selatan Beirut, kubu kuat Hezbollah, sebaik sahaja gencatan senjata berkuat kuasa, dipercayai sebagai tanda sambutan spontan, walaupun belum dapat disahkan.
Beberapa jam sebelum gencatan senjata bermula, serangan Israel di bandar Ghazieh di selatan Lebanon mengorbankan sekurang-kurangnya tujuh orang dan mencederakan 33 yang lain, ujar Kementerian Kesihatan Lebanon.
Di Israel pula, seorang jurucakap hospital memaklumkan tiga individu cedera dalam kejadian berasingan sebelum perjanjian itu berkuat kuasa.
Encik Netanyahu, menyifatkan gencatan senjata itu sebagai peluang ke arah “perjanjian damai bersejarah” dengan Beirut, namun, menegaskan pelucutan senjata Hezbollah kekal sebagai syarat utama.
menurut Encik Trump, Hezbollah termasuk dalam perjanjian itu, tetapi Jabatan Negara Amerika menjelaskan, Lebanon bertanggungjawab untuk membubarkan kumpulan bersenjata yang disokong Iran itu.
Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Encik Antonio Guterres, mengalu-alukan gencatan senjata tersebut dan menggesa semua pihak supaya menghormatinya sepenuhnya.
Di Beirut, reaksi penduduk menunjukkan kelegaan bercampur kebimbangan.
Ahli Parlimen Hezbollah, Encik Ibrahim al-Moussawi, pula berkata kumpulan itu akan “mematuhi secara berhati-hati” gencatan senjata selagi Israel menghentikan serangan.
Beliau turut menyatakan penghargaan kepada Iran atas tekanan yang membantu memihak kepada Lebanon.
“Gencatan senjata ini tidak akan berlaku tanpa peranan Iran, yang melihatnya setara dengan penutupan Selat Hormuz,” katanya.
Sementara itu, Perdana Menteri Lebanon, Encik Nawaf Salam, menyifatkan gencatan senjata sebagai tuntutan utama negaranya sejak awal konflik.
“Ini adalah tuntutan utama Lebanon yang kami perjuangkan sejak hari pertama perang,” katanya.
Namun, menurut sumber rasmi, Presiden Aoun menolak permintaan Encik Trump untuk mengadakan panggilan telefon secara langsung dengan Encik Netanyahu, mencerminkan sensitiviti politik yang masih wujud antara kedua-dua negara.
Perjanjian itu dimeterai selepas pertemuan antara duta Israel dengan Lebanon di Washington pada 15 April lalu, yang merupakan rundingan langsung pertama antara kedua-dua pihak sejak 1993. – Agensi berita.
