Timur Tengah
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Hamas sedia kembali ke meja rundingan tamatkan perang di Gaza

Netanyahu beri bayangan rundingan Gaza beri tumpuan bebaskan semua tebusan serentak
Aug 14, 2025 | 11:12 AM
Askar Israel bertugas melibatkan kereta kebal berhampiran sempadan dengan Gaza, di Israel, 13 Ogos 2025.
Askar Israel bertugas melibatkan kereta kebal berhampiran sempadan dengan Gaza, di Israel, 13 Ogos 2025. - Foto REUTERS

KAHIRAH: Kumpulan Hamas, menyatakan kesediaan untuk “segera” kembali ke meja rundingan gencatan senjata bagi menamatkan perang Israel di Gaza.

Demikian menurut sumber Mesir pada 13 Ogos.

Menurut sumber keselamatan Mesir, rundingan itu turut melibatkan cadangan gencatan senjata menyeluruh yang akan menyaksikan Hamas menyerahkan pentadbiran Gaza dan melucutkan senjata sebagai sebahagian daripada pelan damai pasca-konflik.

Hamas menyatakan kesediaan menyerahkan pentadbiran kepada entiti teknokrat bukan partisan yang dipersetujui semua pihak Palestin.

Ketua perunding Hamas, Encik Khalil al-Hayya, telah mengadakan pertemuan penting dengan pegawai keselamatan Mesir di Kahirahk.

Ia khusus bagi membincangkan usaha menghentikan perang di Gaza, mempercepat penyaluran bantuan kemanusiaan, dan menamatkan penderitaan rakyat Palestin.

Saluran berita milik pemerintah Mesir, Al-Qahera News, memetik sumber itu sebagai berkata bahawa delegasi Hamas telah mengadakan pertemuan di Kahirah dengan Ketua Perisikan Mesir, Encik Hassan Rashad, bagi membincangkan usaha meredakan ketegangan di Gaza.

“Mesir sedang menggandakan usaha menghubungi semua pihak untuk mencapai gencatan senjata sebagai persediaan menamatkan perang,” kata sumber berkenaan.

Beliau menambah, Hamas “mengulangi iltizam untuk kembali dengan segera ke rundingan gencatan senjata dan meredakan ketegangan, serta menghargai usaha Mesir menyalurkan bantuan ke Gaza dan membantu penduduknya”.

Delegasi Hamas tiba di Kahirah pada 12 Ogos untuk mengadakan perbincangan dengan pegawai Mesir, selepas Kabinet Keselamatan Israel pada 8 Ogos meluluskan rancangan menduduki semula seluruh Jaluran Gaza.

Menteri Luar Mesir, Encik Badr Abdelatty, berkata Mesir, Qatar dan Amerika Syarikat masih berusaha menghidupkan semula cadangan asal yang lebih berperingkat.

“Matlamat utama adalah kembali kepada cadangan asal gencatan 60 hari dengan pembebasan sebahagian tebusan dan sebahagian tahanan Palestin, serta kemasukan bantuan kemanusiaan dan perubatan tanpa halangan,” katanya.

Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, pula memberi isyarat bahawa usaha gencatan kini terarah kepada perjanjian menyeluruh yang akan membebaskan semua tebusan yang masih ditahan secara serentak.

Cadangan terdahulu adalah bagi gencatan 60 hari dengan pembebasan sebahagian tebusan yang masih hidup.

Hamas mengesahkan pertemuan itu sebagai “perbincangan awal” dengan pegawai Mesir.

Media Israel melaporkan cadangan gencatan 60 hari termasuk pembebasan 10 tebusan hidup secara dua peringkat; penyerahan 18 mayat tebusan secara tiga peringkat; pertukaran dengan sebahagian tahanan Palestin; dan kemasukan bantuan kemanusiaan.

Sumber diplomatik memaklumkan, para pengantara melihat terdapat peluang dalam beberapa minggu akan datang untuk memuktamadkan perjanjian.

Rundingan tidak langsung Israel-Hamas sebelum ini terhenti Julai lalu selepas Israel mengumumkan rancangan meluaskan operasi ketenteraan dan menawan seluruh Gaza termasuk kawasan yang kini menampung sebahagian besar daripada dua juta penduduknya.

Media Israel menjangkakan operasi baru itu hanya akan bermula pada Oktober, memberi masa untuk persiapan ketenteraan termasuk kerahan secara besar-besaran anggota simpanan.

Dalam wawancara dengan saluran, i24News, pada 12 Ogos, Encik Netanyahu ditanya sama ada gencatan sebahagian masih menjadi pilihan.

“Saya rasa itu sudah berlalu,” jawab beliau. “Kami sudah cuba pelbagai cara, tetapi ternyata mereka hanya memperdayakan kami.”

Mengenai tebusan, Encik Netanyahu menegaskan:

“Saya mahu semua, pembebasan semua tebusan, sama ada hidup atau sudah meninggal dunia, itu tahap yang kita berada sekarang.”

Hamas dan kumpulan bersenjata Palestin lain dipercayai masih menahan 50 tebusan yang diculik dalam serangan 7 Oktober 2023, dengan anggaran 20 daripadanya masih hidup.

Media memetik pegawai Arab tanpa nama sebagai berkata bahawa pengantara serantau, termasuk Mesir dan Qatar, sedang merangka kerangka perjanjian baru yang membabitkan pembebasan semua tebusan sebagai balasan kepada penamatan perang dan pengunduran tentera Israel.

Namun, pelaksanaan dalam masa singkat dilihat sukar kerana Israel menuntut Hamas melepaskan kawalan ke atas Gaza serta melucutkan senjata.

Encik Netanyahu tetap menegaskan perang hanya akan tamat apabila semua tebusan dibebaskan dan Hamas menyerah diri.

Beliau juga mahu Israel mengekalkan kawalan keselamatan tanpa had ke atas Gaza.

Sementara itu, serangan Israel di Gaza terus meningkat.

Kementerian Kesihatan yang dikendalikan Hamas pada 13 Ogos melaporkan sekurang-kurangnya 123 penduduk Palestin terbunuh dalam tempoh 24 jam sejak 13 Ogos dan serangan udara banyak tertumpu di Bandar Gaza, memusnahkan rumah-rumah di kawasan Zaytoun.

Hospital al-Shifa melaporkan tujuh sekeluarga, termasuk lima kanak-kanak, terbunuh apabila khemah mereka diserang di Tel al-Hawa.

Hospital al-Ahli pula berkata 10 orang terbunuh dalam serangan ke atas sebuah rumah di Zaytoun.

Tentera Israel mengesahkan operasi baru di Zaytoun, dengan Ketua Turus Tentera, Leftenan Jeneral Eyal Zamir, meluluskan rangka operasi utama di Gaza.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu memberi amaran kebuluran meluas sedang berlaku, manakala Program Makanan Sedunia (WFP) melaporkan tahap kebuluran dan kekurangan zat kini paling tinggi sejak konflik bermula. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg