Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Israel didakwa gunakan kelaparan sebagai senjata perang di Gaza

Dec 19, 2023 | 1:02 PM
SEKAT MAKANAN: Para penduduk Palestin berasak-asak bagi mendapatkan makanan yang diagihkan oleh sebuah badan amal di Rafah, selatan Gaza pada 17 Disember.
SEKAT MAKANAN: Para penduduk Palestin berasak-asak bagi mendapatkan makanan yang diagihkan oleh sebuah badan amal di Rafah, selatan Gaza pada 17 Disember. - Foto REUTERS

GAZA: Sebuah badan bukan mencari untung antarabangsa menuduh Israel menggunakan kelaparan sebagai senjata perang di Gaza.

Pemerhati Hak Asasi Manusia (HRW) berkata dalam satu kenyataan akhbar pada 18 Disember bahawa Israel sengaja menghalang rakyat Palestin daripada mendapat akses kepada makanan, air dan keperluan asas lain.

Penggunaan kelaparan terhadap penduduk awam adalah jenayah perang, kata badan itu sambil menyeru pemimpin dunia untuk bertindak.

Kenyataan itu memetik dakwaan daripada pegawai Israel, temu bual dengan mangsa yang terselamat, laporan daripada organisasi bantuan serta imej satelit untuk membuktikan bahawa Israel terlibat dalam “penggunaan dasar yang disengajakan untuk menyekat rakyat Palestin daripada sumber yang diperlukan untuk kehidupan harian”.

“Selama lebih dua bulan, Israel telah menafikan penduduk Gaza daripada makanan dan air, dasar yang didorong atau disahkan oleh pegawai tinggi Israel dan mencerminkan niat untuk melaparkan orang awam sebagai kaedah peperangan,” kata Encik Omar Shakir, pengarah HRW bagi Israel dan Palestin.

“Pemimpin dunia harus bersuara menentang jenayah perang yang menjijikkan ini, yang mempunyai kesan buruk ke atas penduduk Gaza,” tambahnya.

Kenyataan itu dikeluarkan ketika Israel menghadapi tekanan dalaman dan luaran yang semakin meningkat berhubung peningkatan korban orang awam akibat pengeboman “secara rambang” di Jaluran Gaza.

Israel telah membunuh lebih 19,000 orang dan mencederakan 50,897 lagi, menurut angka terkini, manakala beribu-ribu dipercayai tertimbus di bawah runtuhan.

Ucapan dan kenyataan daripada pegawai Israel yang mempromosikan kempen dengan sengaja menyekat akses kepada sumber yang diperlukan untuk penduduk Gaza sebagai strategi menunjukkan bahawa Israel tidak merahsiakan niat ini, kata HRW.

Malah dari awal serangan Israel, Menteri Pertahanan Israel, Encik Yoav Gallant, pernah menyatakan bahawa Israel “mengepung sepenuhnya Gaza... tiada elektrik, tiada makanan, tiada air, tiada gas... semuanya ditutup.”

Mahkamah Jenayah Antarabangsa memperuntukkan bahawa orang awam yang disengajakan kelaparan dengan “menafikan mereka daripada asas yang sangat diperlukan untuk kelangsungan hidup mereka, termasuk dengan sengaja menghalang bekalan bantuan”, adalah jenayah perang, kata HRW dalam kenyataan itu.

Imej yang menunjukkan kemusnahan besar-besaran di Gaza, penduduk Palestin yang terdesak menyerbu pengagihan makanan, trak penghantaran bantuan kemanusiaan dan laporan pemusnahan tanah pertanian yang disengajakan menguatkan lagi dakwaan itu.

Pemerintah Israel menyerang balas kenyataan HRW dengan menuduhnya sebagai organisasi “anti-Semitik dan anti-Israel”. – AFP.​

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg