Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Jurukamera Al Jazeera maut akibat serangan dron di sekolah Gaza

Dec 16, 2023 | 3:24 PM
TERKORBAN: Jurukamera Samer Abu Daqqa terbunuh dalam serangan dron di Gaza.
TERKORBAN: Jurukamera Samer Abu Daqqa terbunuh dalam serangan dron di Gaza. - Foto AL JAZEERA

KAHIRAH: Seorang jurukamera Al Jazeera terbunuh akibat serangan dron pada 15 Disember ketika membuat liputan mengenai pengeboman sekolah yang digunakan sebagai tempat perlindungan bagi mereka yang kehilangan tempat tinggal di Jaluran Gaza, lapor penyiar Arab itu.

Jurukamera Samer Abu Daqqa tidak dapat menerima rawatan perubatan selepas tercedera dalam serangan di Sekolah Farhana di Khan Younis dan meninggal dunia akibat kecederaannya sebelum ambulans dibenarkan ke kawasan itu, kata Al Jazeera.

Al Jazeera berkata Israel melancarkan serangan dron ke arah sekolah itu. Reuters tidak dapat mengesahkan butiran kejadian itu.

Tentera Israel tidak menjawab permintaan untuk memberi komen.

“Menyusuli kecederaan Samer, beliau dibiarkan mati setelah mengalami pendarahan selama lebih lima jam, ketika tentera Israel menghalang ambulans dan pekerja penyelamat daripada menghampirinya, sekali gus gagal memberi rawatan kecemasan yang sangat diperlukan,” kata Al Jazeera dalam satu kenyataan.

Wartawan itu membuat laporan dari bandar di selatan Gaza, yang menjadi tumpuan serangan darat Israel sejak kebelakangan ini.

Tiga pekerja penyelamat Gaza turut terbunuh dalam serangan ke atas sekolah itu, kata jabatan Pertahanan Awam, sebahagian daripada kementerian dalam negeri yang dikawal Hamas. Reuters tidak dapat segera mengesahkan urutan peristiwa.

Tambahan itu, ketua koresponden Al Jazeera, Wael al-Dahdouh cedera di tangannya dalam serangan itu tetapi dapat pergi ke hospital berdekatan untuk rawatan bagi kecederaannya, kata Al Jazeera.

Dahdouh, seorang wartawan Gaza, dikenali penonton di seluruh Timur Tengah selepas mendapat tahu pada November semasa siaran langsung penuh emosi bahawa isteri, anak lelaki, anak perempuan dan cucunya terbunuh dalam apa yang dilaporkan sebagai serangan udara Israel. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg