Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Israel dilapor bina pangkalan kekal di Gaza

Dec 5, 2024 | 11:34 AM
Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu (duduk, dua dari kanan), bersama Menteri Pertahanan, Encik Israel Katz (kanan), dan Ketua Staf Tentera, Encik Herzi Halevi (duduk, tiga dari kanan), ketika sesi taklimat di Koridor Netzarim, laluan bekalan tentera utama Israel yang membahagi Jaluran Gaza, pada 19 November.
Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu (duduk, dua dari kanan), bersama Menteri Pertahanan, Encik Israel Katz (kanan), dan Ketua Staf Tentera, Encik Herzi Halevi (duduk, tiga dari kanan), ketika sesi taklimat di Koridor Netzarim, laluan bekalan tentera utama Israel yang membahagi Jaluran Gaza, pada 19 November. - Foto AFP

WASHINGTON: Amerika Syarikat menyuarakan bantahan terhadap sebarang pembinaan pangkalan kekal Israel di Jaluran Gaza, susulan laporan, The New York Times, yang mendakwa Israel mempercepat pembangunan pangkalan tenteranya.

Laporan itu, berdasarkan analisis imej satelit, menunjukkan pembinaan pangkalan disertai dengan pemusnahan lebih 600 bangunan di kawasan tengah Gaza.

Langkah itu mencetuskan spekulasi bahawa Israel mungkin sedang bersiap untuk mengekalkan kawalan jangka panjang di kawasan tersebut.

Jurucakap Jabatan Negara Amerika Syarikat, Encik Vedant Patel, berkata: “Jika laporan ini benar, ia jelas bertentangan dengan prinsip yang telah dinyatakan oleh Setiausaha Negara Antony Blinken pada permulaan konflik.”

Beliau menambah bahawa sebarang pengurangan wilayah Gaza atau pemindahan paksa rakyat Palestin adalah tidak boleh diterima.

Tentera Israel dilaporkan memperluas kawalan mereka di koridor Netzarim, laluan sepanjang empat batu (6.34 kilometer) yang membelah Gaza dari sempadan Israel hingga ke Laut Mediterranean.

Kawasan itu telah berubah menjadi blok seluas 18 batu persegi di bawah kawalan Israel, menurut analisis imej satelit dan kenyataan tentera Israel.

Dalam tempoh tiga bulan lalu, lebih 600 bangunan telah dimusnahkan di sekitar koridor itu, dipercayai untuk mewujudkan zon penampan.

Prasarana ketenteraan, termasuk menara komunikasi dan kubu pertahanan, juga sedang diperluaskan dengan cepat.

Seorang jurucakap tentera Israel, Leftenan Kolonel Nadav Shoshani, berkata: “Langkah ini adalah atas sebab operasi demi memastikan keselamatan kawasan tersebut.”

Namun, tindakan Israel itu telah mencetuskan kebimbangan antarabangsa.

Pakar tentera Israel sendiri menyatakan bahawa prasarana baru di kawasan tersebut mungkin bertujuan untuk memastikan kawalan berterusan ke atas Gaza walaupun selepas perang tamat.

Beberapa menteri Israel dilaporkan mengusulkan agar kawalan tentera itu membuka jalan untuk penempatan semula penduduk Yahudi di Gaza.

Bagaimanapun, Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, menafikan rancangan tersebut buat masa ini.

Bekas kawasan penempatan Netzarim, yang kini berada di bawah kawalan sepenuhnya Israel, menjadi tumpuan kepada isu tersebut.

Seorang penganalisis politik Palestin, Encik Ahmed Mansour, berkata: “Apa yang kita lihat adalah langkah-langkah awal ke arah  pengambilan wilayah secara de facto.

“Ini akan memberi kesan buruk kepada kestabilan di rantau ini dan hak rakyat Palestin.”

Amerika Syarikat menggesa Israel supaya menghormati prinsip hak asasi manusia dan kedaulatan wilayah Gaza.

Langkah itu, jika diteruskan tanpa dialog, berisiko mencetuskan ketegangan lebih besar di Timur Tengah. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg