BEIRUT: Tentera Israel dilaporkan mula membina satu rangkaian baharu pos tentera tetap di selatan Lebanon bagi mengukuhkan kedudukan tenteranya di kawasan itu, walaupun rundingan damai yang diusahakan Amerika Syarikat sedang berlangsung untuk mengatur pengunduran tentera Israel secara berperingkat.

Menurut laporan akhbar Israel, Maariv, yang memetik sumber keselamatan, pembinaan pos tentera baharu itu bertujuan memperkukuh kawalan Israel di selatan Lebanon, namun lokasi sebenar pos berkenaan tidak didedahkan.

Langkah itu dilihat bercanggah dengan perkembangan positif yang dicapai dalam rundingan antara pegawai Lebanon dengan Israel di Rome pada 15 Julai lalu, apabila kedua-dua pihak bersetuju terhadap rangka kerja serta garis panduan bagi pengunduran tentera Israel dari dua zon perintis di selatan Lebanon.

Laporan itu turut menyatakan tindakan Israel berpotensi mencetuskan ketegangan baharu dengan Washington kerana Amerika terus mendesak supaya Israel mengurangkan kehadiran tenteranya di Lebanon dan Syria.

Presiden Amerika, Encik Donald Trump, dilaporkan mahu Israel memulakan pengunduran tenteranya sebagai sebahagian daripada usaha lebih luas untuk meredakan ketegangan di Asia Barat.

Menurut laporan Axios yang memetik seorang pegawai Amerika, Encik Trump memberitahu Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, bahawa kehadiran tentera Israel di Syria hanya memburukkan lagi keadaan.

“Mereka tidak mahu kamu berada di sana. Kamu perlu mengundurkan tentera,” kata Encik Trump kepada Encik Netanyahu, menurut laporan itu.

Pada 26 Jun lalu, Lebanon dan Israel menandatangani perjanjian rangka kerja yang diusahakan Amerika Syarikat bagi membolehkan pengunduran tentera Israel secara berperingkat dari semua wilayah Lebanon yang diduduki.

Perjanjian itu menetapkan proses pengunduran akan dimulakan menerusi dua zon rintisan selamat, namun lokasi kedua-dua kawasan itu tidak diumumkan atas faktor keselamatan.

Bagaimanapun, perjanjian berkenaan tidak menetapkan tarikh akhir pengunduran kerana ia bergantung kepada keupayaan tentera Lebanon mengambil alih sepenuhnya tanggungjawab keselamatan di kawasan yang dikosongkan serta pelucutan senjata kumpulan bersenjata, termasuk Hezbollah.

Sementara itu, Menteri Pertahanan Israel, Encik Israel Katz, menegaskan negaranya tetap berhasrat mengekalkan kehadiran tentera di kawasan yang dianggap sebagai “zon keselamatan” di Lebanon, Syria dan Gaza.

Dalam perbualan telefon dengan Setiausaha Pertahanan Amerika, Encik Pete Hegseth, Encik Katz berkata kehadiran tentera Israel penting bagi melindungi sempadan negara itu serta komuniti berhampiran daripada ancaman kumpulan bersenjata.

“Kami tidak pernah meminta Amerika menjaga keselamatan sempadan kami. Israel akan terus mempertahankan kepentingan keselamatannya sendiri,” katanya.

Kenyataan itu sekali gus memperlihatkan perbezaan pendirian antara Israel demgan Amerika berhubung masa depan penempatan tentera Israel di negara jiran.

Selepas kejatuhan pemerintah Syria, Bashar al-Assad, pada Disember 2024, tentera Israel memasuki zon penampan yang dipantau Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Bukit Golan.

Sejak itu, Israel turut melancarkan beberapa operasi ketenteraan dan serangan udara di wilayah Syria, selain menyatakan hasrat mewujudkan zon bebas tentera di selatan negara itu.

Di Lebanon pula, tentera Israel masih ditempatkan di kawasan yang disifatkannya sebagai zon keselamatan, meliputi kira-kira 10 kilometer dari sempadan Israel ke dalam wilayah Lebanon.

Lebanon dan Israel yang tidak mempunyai hubungan diplomatik rasmi kini sedang mengadakan rundingan bagi menamatkan konflik yang tercetus selepas Hezbollah melancarkan serangan terhadap Israel pada Mac lalu.

Pusingan kelima rundingan yang diadakan di Rome pada 15 Julai memberi tumpuan kepada pelaksanaan pengunduran tentera Israel daripada dua zon selamat sebagai langkah awal sebelum proses yang lebih menyeluruh dilaksanakan.

Rundingan itu di antara oleh Amerika dan dianggap sebagai ujian penting bagi menentukan sama ada kedua-dua pihak mampu melaksanakan perjanjian yang dipersetujui Jun lalu.

Sementara itu, menurut angka rasmi Lebanon, serangan Israel sejak Mac lalu telah mengorbankan sekurang-kurangnya 4,324 orang, mencederakan 12,223 lagi dan memaksa lebih sejuta penduduk meninggalkan kediaman mereka.

Selain terus menduduki beberapa kawasan di selatan Lebanon, tentera Israel juga masih menguasai kira-kira 60 peratus wilayah Gaza serta keseluruhan kawasan sempadan di sepanjang Israel dan Mesir, sekali gus menunjukkan operasi ketenteraannya di rantau itu masih diteruskan meskipun usaha diplomatik sedang dipergiat. – Agensi berita.