Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Israel gempur Beirut, Damsyik dan Gaza dalam tempoh beberapa jam

50 anggota Hezbollah maut dalam serangan Israel di Lebanon, 7 orang awam mati di Syria; 12 di Gaza
Oct 9, 2024 | 4:01 PM
Askar Syria dan orang ramai memeriksa kerosakan selepas peluru berpandu meledak ke atas bangunan di kejiranan Al-Mazzeh di Damsyik, Syria, pada 8 Oktober. Sekurang-kurangnya tujuh terbunuh selepas Israel menyasarkan sebuah bangunan kediaman di Damsyik.
Askar Syria dan orang ramai memeriksa kerosakan selepas peluru berpandu meledak ke atas bangunan di kejiranan Al-Mazzeh di Damsyik, Syria, pada 8 Oktober. Sekurang-kurangnya tujuh terbunuh selepas Israel menyasarkan sebuah bangunan kediaman di Damsyik. - Foto EPA-EFE

BEIRUT: Dalam perkembangan konflik Timur Tengah yang semakin sengit, Israel telah melancarkan serangan besar-besaran di tiga wilayah utama – Lebanon, Syria dan Jaluran Gaza – dalam tempoh hanya beberapa jam.

Pada 8 Oktober Israel mengumumkan penempatan divisyen baru untuk menyertai pencerobohan darat di selatan Lebanon, satu isyarat jelas bahawa operasi ketenteraan sedang dipergiat. Serangan ini tertumpu di kubu kuat Hezbollah di Beirut, sebuah lokasi strategik yang dilihat sebagai benteng utama kumpulan bersenjata itu.

Tentera Israel berkata serangan udara besar-besaran terhadap infrastruktur bawah tanah Hezbollah di selatan Lebanon dalam tempoh 24 jam membunuh sekurang-kurangnya 50 anggotanya termasuk enam komander sektor dan pegawai wilayah.

Media milik pemerintah Lebanon melaporkan siri serangan udara Israel di kubu kuat Hezbollah di selatan Beirut pada 8 Oktober, menyebabkan ‘kemusnahan besar-besaran’ dan meratakan empat bangunan, selepas tentera Israel memberi amaran supaya penduduk berpindah.

Pada masa yang sama, dua pegawai Israel mengesahkan bahawa serangan turut dilancarkan berhampiran Kedutaan Iran di Damsyik, Syria, dalam usaha yang dipercayai menyasarkan pegawai kanan Hezbollah yang terlibat dalam penyeludupan senjata.

Kementerian Pertahanan Syria melaporkan sekurang-kurangnya tujuh orang awam, termasuk wanita dan kanak-kanak, terbunuh dalam serangan ini, yang memusnahkan bangunan kediaman dan komersial di kawasan Al-Mazzeh di Damsyik, salah sebuah kawasan yang dikawal ketat di ibu negara Syria.

Sementara itu, di Jaluran Gaza, situasi semakin genting apabila serangan udara Israel meragut nyawa sekurang-kurangnya 12 orang awam. Menurut laporan dari agensi berita rasmi Palestin, WAFA, sembilan daripada mereka adalah anggota satu keluarga yang terbunuh dalam serangan yang menyasarkan pangsapuri mereka di kawasan Shejaia, utara Gaza.

Di kem pelarian Nuseirat di tengah Gaza, tiga lagi nyawa termasuk seorang kanak-kanak turut terkorban. Serangan ini menyebabkan banyak kecederaan, memaksa pasukan perubatan yang sudah kekurangan sumber berusaha menyelamatkan nyawa di bawah keadaan yang sangat tertekan.

Hezbollah, kumpulan bersenjata yang disokong Iran, tidak berdiam diri. Dalam serangan balas, mereka melepaskan lebih 180 projektil ke arah Israel. Walaupun kebanyakan projektil berjaya dipintas oleh sistem pertahanan udara Israel, serangan ini membuktikan bahawa Hezbollah masih menjadi ancaman utama dalam konflik ini.

Dalam seminggu terakhir, pertempuran antara Israel dengan sekutu-sekutu Iran telah memuncak. Israel telah berikrar untuk menghancurkan Hezbollah dan sekutu mereka di rantau ini, sebagai tindak balas terhadap serangan peluru berpandu yang dilancarkan oleh Iran pada 1 Oktober.

Di tengah-tengah ketegangan yang meningkat antara Israel dengan Iran, Menteri Pertahanan Israel, Encik Yoav Gallant, telah membatalkan lawatannya ke Pentagon yang dijadualkan pada 9 Oktober.

Media Israel melaporkan bahawa Perdana Menteri Encik Benjamin Netanyahu mahu berbincang terlebih dahulu dengan Presiden Amerika Syarikat, Encik Joe Biden.

Israel sedang mempertimbangkan pilihan bertindak balas terhadap serangan peluru berpandu Teheran pada 1 Oktober lalu, yang merupakan serangan kedua Iran terhadap Israel pada 2024.

Pentagon tidak memberikan sebab rasmi pembatalan lawatan Encik Gallant dan mengarahkan wartawan untuk menghubungi kementerian pertahanan Israel. Portal berita Israel melaporkan bahawa Encik Gallant berharap lawatan ini akan memperkukuhkan koordinasi mengenai isu Iran.

Namun, Encik Netanyahu meletakkan dua syarat sebelum Encik Gallant berlepas: panggilan dengan Encik Biden dan kelulusan kabinet mengenai tindak balas terhadap Iran. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg