GAZA: Kereta-kereta kebal Israel telah memasuki lebih jauh ke dalam Khan Younis di selatan Jaluran Gaza dan melancarkan serangan ke seluruh wilayah itu ketika mereka memerangi Hamas, membunuh sekurang-kurangnya 34 rakyat Palestin.
Dalam masa yang sama, Israel pada 28 Ogos melancarkan operasi tentera besar-besaran di Tebing Barat yang diduduki dan mendakwa membunuh sembilan anggota kumpulan Palestin.
Israel melancarkan operasi tentera terancang di empat bandar di utara Tebing Barat, iaitu Jenin, Nablus, Tubas dan Tulkarem.
Pertubuhan Bulan Sabit Merah Palestin pula melaporkan 10 penduduk Palestin maut dan 22 cedera di Tebing Barat dan seorang pegawai perbandaran Tulkarem mengesahkan bahawa skala kemusnahan adalah ‘sangat besar’.
Tentera Israel menyerang prasarana, khususnya di bandar Tulkarem dan kem Nur Shams serta memusnahkan sistem air selain kumbahan, lapor agensi berita, AFP.
Penduduk Khan Younis pula berkata kereta-kereta kebal Israel meluru ke tengah bandar dan mereka telah diarahkan supaya segera berpindah ke timur, memaksa mereka menyelamatkan diri.
Pegawai Kesihatan Palestin berkata serangan Israel di Khan Younis membunuh sekurang-kurangnya 11 orang.
Di pusat bandar Deir Al-Balah, kawasan yang menjadi tempat sejuta orang berlindung, serangan udara Israel membunuh lapan warga Palestin berhampiran sebuah sekolah yang menempatkan keluarga yang kehilangan tempat tinggal, kata pegawai perubatan.
Di Nuseirat, di tengah Gaza, wartawan Encik Mohammed Abed-Rabbo, terbunuh bersama kakaknya dalam serangan Israel ke atas rumah mereka, kata pegawai itu lagi.
Dalam beberapa hari kebelakangan ini, Israel telah mengeluarkan perintah pemindahan paling banyak di seluruh Gaza sejak permulaan perang hampir 11 bulan, menyebabkan bantahan daripada rakyat Palestin, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan pegawai bantuan berhubung semakin berkurangnya zon kemanusiaan dan kawasan selamat.
Tentera Israel berkata ia mengarahkan pemindahan di kawasan yang menjadi tempat Hamas dan anggota kumpulan melancarkan serangan, termasuk tembakan roket ke Israel.
Sayap bersenjata Hamas dan Jihad Islam berkata anggota yang terlibat dalam pertempuran dengan tentera Israel di kawasan berbeza di seluruh wilayah, menembak roket antikereta kebal dan mortar.
Perang meletus apabila Hamas menyerang selatan Israel pada 7 Oktober, membunuh lebih 1,400 orang dan menahan lebih 240 yang lain sebagai tebusan.
Serangan balas dan berterusan Israel telah membunuh lebih 40,500 rakyat Palestin, menurut Kementerian Kesihatan Gaza.
Rundingan antarabangsa untuk menamatkan konflik menerusi rundingan gencatan senjata diteruskan, dengan Hamas dan Israel dipersalahkan kerana kurang kemajuan.
Dalam pada itu, beratus-ratus tentera Israel dengan helikopter, dron dan kenderaan berperisai menyerbu bandar Jenin dan Tulkarem dan kawasan lain di Tebing Barat yang diduduki Israel pada 28 Ogos, membunuh sekurang-kurangnya 10 rakyat Palestin.
Serangan itu merupakan salah satu yang terbesar dilihat di Tebing Barat sejak beberapa bulan lalu.
Di Tebing Barat, seorang pegawai perbandaran Tulkarem mengesahkan bahawa skala kemusnahan adalah ‘sangat besar’.
Sayap bersenjata Hamas, Jihad Islam dan Fatah berkata dalam kenyataan berasingan bahawa anggota kumpulan mereka telah meletupkan bom terhadap kenderaan tentera Israel di Jenin, Tulkarm dan Far’a, sebuah bandar di Lembah Jordan.
Jurucakap tentera berkata operasi itu dilancarkan menyusuli peningkatan mendadak dalam kegiatan militan dalam beberapa bulan kebelakangan ini, dengan lebih 150 serangan dari Tulkarem dan Jenin melibatkan tembakan atau bahan letupan sepanjang tahun lalu.
“Ancaman keganasan di kawasan ini bukan baru, ia bukan bermula semalam dan ia tidak akan berakhir esok,” kata jurucakap tentera Israel, Leftenan Kolonel Nadav Shoshani kepada media. – Reuters.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg