BEIRUT: Serangan udara Israel telah menyasarkan pinggir bandar selatan Beirut untuk hari kedua berturut-turut ketika perunding Lebanon menunggu cadangan gencatan senjata baru daripada Washington.
Sejak pagi 13 November, serangan udara Israel meratakan setengah dozen bangunan di Dahiyeh dan membunuh sekurang-kurangnya lapan orang di Dawhit Aramoun, sebuah kampung di selatan ibu negara.
Tiga wanita dan tiga kanak-kanak adalah antara yang terbunuh, kata Kementerian Kesihatan Awam Lebanon.
Tentera Israel meningkatkan serangannya ke atas Lebanon pada September berikutan hampir setahun balas membalas bedilan rentas sempadan dengan Hezbollah, yang mula melancarkan roket ke arah Israel dalam apa yang dikatakan sebagai “perpaduan” dengan rakyat Palestin di Gaza.
Kementerian kesihatan Lebanon berkata sejak 8 Oktober, 3,365 orang telah terbunuh oleh serangan Israel dan 14,344 yang lain cedera.
Tentera Israel berkata tentera udaranya telah memusnahkan sembilan kemudahan penyimpanan senjata dan pusat arahan Hezbollah di sekitar Beirut. Ia juga mendakwa Hezbollah telah melancarkan 40 peluru berpandu ke Israel.
Tentera Israel mengumumkan bahawa enam askarnya terbunuh semasa pertempuran di selatan Lebanon. Sejak Israel melancarkan serangan daratnya di selatan Lebanon, sekurang-kurangnya 47 tentera Israel telah terbunuh.
Hezbollah berkata bahawa ia melancarkan peluru berpandu balistik ke ibu pejabat tentera Israel. Dalam satu kenyataan, kumpulan itu berkata ia menyasarkan tapak itu, yang menempatkan kedua-dua kementerian pertahanan dan ibu pejabat tentera Israel.
Terdahulu, kumpulan itu berkata ia telah menyasarkan tapak yang sama dengan dron, dan kemudian berkata ia telah melepaskan peluru berpandu di tapak lain berhampiran ibu negara Israel, Tel Aviv.
Ia berkata tapak itu dimiliki pengeluar senjata Israeli Weapons Industries (IWI).
Utusan Rumah Putih, Encik Amos Hochstein, yang telah menerajui beberapa percubaan sia-sia untuk menjadi perantara gencatan senjata sepanjang tahun lalu, berkata beliau berpendapat masih “ada peluang” untuk gencatan senjata dicapai di Lebanon tidak lama lagi.
“Saya berharap kita boleh mencapainya kelak,” tambahnya.
Komennya mencadangkan kemungkinan tawaran terakhir oleh pentadbiran Presiden Amerika, Encik Joe Biden, yang akan menamatkan jawatannya pada Januari, untuk mencapai perjanjian gencatan senjata di Lebanon.
Speaker Parlimen Lebanon, Encik Nabih Berri, yang telah disahkan Hezbollah sebagai perundingnya, dipetik sebagai berkata pada 11 November bahawa Lebanon sedang menunggu cadangan gencatan senjata yang konkrit.
“Apa yang ada di atas meja hanyalah Resolusi 1701 dan peruntukannya, yang mesti dilaksanakan dan dipatuhi oleh kedua-dua pihak, bukan oleh pihak Lebanon sahaja,” kata Encik Berri kepada akhbar Asharq Al-Awsat.
Pada 11 November, Menteri Luar Israel Encik Gideon Saar berkata terdapat “kemajuan tertentu” dalam rundingan gencatan senjata di sebalik cabaran utama melibatkan penguatkuasaannya.
Menteri pertahanan Israel, Encik Israel Katz, memberitahu komander tentera Israel bahawa “kami tidak akan berganjak dan kami tidak akan membenarkan sebarang pengaturan yang tidak termasuk dalam mencapai objektif perang kami.”
Encik Katz menambah bahawa matlamat perang Israel termasuk melucutkan senjata Hezbollah dan mengusir mereka ke seberang Sungai Litani, yang mengalir merentasi selatan Lebanon. – Reuters.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg