Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Sidang Puncak Luar Biasa Arab-Islam bincang krisis Palestin-Lebanon

Beri tumpuan usaha lakar strategi jangka panjang henti konflik
Nov 11, 2024 | 1:27 PM
Menteri Luar Arab Saudi, Putera Faisal Farhan Al-Saud (lima dari kiri), mempengerusikan Mesyuarat Persediaan Menteri bagi Sidang Puncak Luar Biasa Arab-Islam  untuk berbincang konflik Israel dengan Hamas di Gaza dan Hezbollah di Lebanon, di Riyadh, Arab Saudi, pada 10 November.
Menteri Luar Arab Saudi, Putera Faisal Farhan Al-Saud (lima dari kiri), mempengerusikan Mesyuarat Persediaan Menteri bagi Sidang Puncak Luar Biasa Arab-Islam untuk berbincang konflik Israel dengan Hamas di Gaza dan Hezbollah di Lebanon, di Riyadh, Arab Saudi, pada 10 November. - Foto REUTERS

RIYADH: Arab Saudi menganjurkan Sidang Puncak Luar Biasa Arab-Islam pada 11 November sebagai respons segera terhadap keganasan yang semakin memuncak di Palestin dan Lebanon akibat serangan berterusan oleh Israel.

Menurut laporan Agensi Berita Saudi (SPA), peningkatan krisis dan penderitaan rakyat Palestin dan Lebanon menuntut tindakan bersama yang segera daripada pemimpin Arab dan Islam.

Sidang puncak itu diadakan untuk menghentikan serangan tersebut, melindungi orang awam, memberikan bantuan kepada rakyat Palestin dan Lebanon serta menyeru masyarakat antarabangsa agar mengambil tindakan tegas dalam mewujudkan kestabilan dan kedamaian berpanjangan di rantau itu.

Daya usaha itu selari dengan peranan bersejarah Arab Saudi dalam menjaga kepentingan Islam dan umat Islam, khususnya isu Palestin.

Di bawah kepimpinan Raja Salman Abdulaziz Al Saud, dan Putera Mahkota, Mohammed Salman, Arab Saudi menyeru negara Arab dan Islam agar bersidang di Riyadh bagi membincangkan langkah yang perlu diambil untuk meredakan ketegangan dan menghentikan krisis itu.

“Arab Saudi beriltizam mempertahankan hak dan kepentingan rakyat Palestin, serta mewujudkan kestabilan di rantau ini melalui tindakan kolektif dan perpaduan negara-negara Islam,” kata SPA dalam satu kenyataan rasmi.

Sidang puncak itu adalah kesinambungan daripada Sidang Puncak Arab-Islam yang diadakan di Riyadh pada November 2023, yang ketika itu juga telah menyeru kepada perpaduan serantau bagi menangani cabaran besar di Gaza dan wilayah Palestin yang lain.

Negara anggota bersetuju berganding bahu dalam menghadapi konflik itu, termasuk meneruskan tekanan kepada masyarakat antarabangsa agar menghentikan serangan ke atas Gaza dan menjalankan proses politik yang serius bagi mencapai perdamaian menyeluruh.

Sidang Puncak kali ini dijangka dihadiri pemimpin utama termasuk Menteri Luar Arab Saudi, Putera Faisal Farhan, yang telah mengetuai mesyuarat persediaan bersama para menteri luar dari Jordan, Mesir, Qatar, Turkey, Indonesia, Malaysia, Nigeria, Palestin, Liga Arab serta Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).

Pertemuan itu akan memberi tumpuan pada usaha untuk menghentikan konflik yang kian meruncing di Gaza dan Lebanon serta membincangkan strategi jangka panjang ke arah penyelesaian konflik Israel-Palestin melalui pendekatan dua negara.

Pada masa yang sama, kumpulan Hamas juga menyeru negara Islam agar lebih tanggungjawab terhadap Baitulmakdis.

“Ini adalah masa untuk negara-negara Islam memenuhi tanggungjawab agama dan politik mereka terhadap kota suci yang terus dicengkam penjajahan,” kata anggota biro politik Hamas, Encik Haroun Nasser al-Din.

Dalam laporan AFP pada 11 November, puluhan mangsa di Lebanon dan Gaza terbunuh dalam keadaan ngeri akibat serangan udara Israel, semalaman, sebelum luput tarikh akhir yang diberikan Amerika Syarikat untuk Israel meningkatkan akses bantuan ke Palestin.

Satu lagi serangan di selatan ibu kota Syria, Damsyik mengorbankan sembilan orang termasuk seorang komander Hezbollah, lapor pemantau perang.

Menurut agensi pertahanan awam di Jaluran Gaza, 13 kanak-kanak antara 30 orang yang terbunuh akibat serangan Israel di utara wilayah itu.

Sekutu utama Israel, Amerika pada 15 Oktober memberi amaran bahawa ia boleh menahan sebahagian bantuan bernilai berbilion dolar melainkan Israel menambah baik penghantaran bantuan ke Jaluran Gaza dalam tempoh 30 hari, yang tamat pada 13 November. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg