Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Israel gempur, tahan 20 penduduk Palestin di Tebing Barat

Jan 5, 2024 | 4:22 PM
ANGKARA SERANGAN: Sebuah bangunan rosak teruk selepas tentera Israel menggempur kem pelarian Palestin di Nur Shams, di Tebing Barat yang diduduki Israel, pada 4 Januari.
ANGKARA SERANGAN: Sebuah bangunan rosak teruk selepas tentera Israel menggempur kem pelarian Palestin di Nur Shams, di Tebing Barat yang diduduki Israel, pada 4 Januari. - Foto AFP

TEBING BARAT: Di tengah-tengah pertempuran di beberapa kawasan kejiranan di Tebing Barat yang diduduki Israel, tentera Israel menangkap sekurang-kurangnya 20 penduduk Palestin dan membunuh seorang, lapor media tempatan dan kumpulan hak asasi manusia Palestin.

Kelab Tahanan Palestin, sebuah kumpulan hak asasi bukan pemerintah, berkata dalam satu kenyataan pada 4 Januari bahawa tentera Israel telah membuat tangkapan di Nur Shams, kejiranan berhampiran bandar Tulkarem.

Kenyataan itu menyebut bahawa tentera Israel telah memindahkan lebih 100 rakyat Palestin ke kawasan lain, dan menyoal siasat kira-kira 500 orang, termasuk wanita dan kanak-kanak.

Jurucakap tentera Israel, Laksamana Muda Daniel Hagari, berkata bahawa operasi di Nur Shams dijalankan lebih 40 jam dan “memusnahkan banyak bahan letupan dan berjaya menahan puluhan suspek pengganas”.

Encik Wafa Awwad, seorang wartawan agensi berita rasmi Palestin, adalah antara yang ditahan, kata syarikatnya dan Kelab Tahanan Palestin.

Media berita Palestin melaporkan Israel juga telah melakukan serbuan di lokasi lain di Tebing Barat yang didudukinya termasuk di Ramallah, Hebron, Bethlehem, Nablus dan Jenin.

Gambar dari Nur Shams dan Sir, sebuah kampung dekat Jenin, menunjukkan penduduk di kedua-dua kawasan menilai kerosakan akibat pertempuran pada 4 Januari.

Walaupun perang antara Israel dan Hamas telah tertumpu di Jaluran Gaza sejak ia bermula hampir tiga bulan lalu, keganasan juga telah meningkat di Tebing Barat.

Tentera Israel kerap melakukan serbuan di seluruh Tebing Barat, beberapa daripadanya membawa maut, dan telah membuat beribu-ribu tangkapan. Keganasan antara penduduk Palestin dan orang awam Israel di kawasan itu telah meningkat.

Semasa lawatan ke Tebing Barat pada 4 Januari, Encik Benny Gantz, seorang anggota Kabinet perang Israel, berkata bahawa tentera Israel akan memerangi keganasan di mana sahaja ia menghadapinya.

Beliau menambah bahawa melindungi penempatan Israel adalah “isu utama” dan inilah sebabnya pasukan tentera Israel telah meluaskan kehadiran mereka di kawasan itu.

Penempatan Israel di Tebing Barat, yang ditawan Israel dalam perang 1967, dianggap haram oleh Amerika Syarikat dan banyak negara lain di seluruh dunia.- Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg