Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Sepanyol hantar kapal tentera iringi konvoi kemanusiaan ke Gaza

Sep 25, 2025 | 12:04 PM
palestin, global sumud flotilla, gaza, sepanyol
Orang ramai mengibarkan bendera Palestin di pelabuhan Ermoupolis, Greece ketika bersiap menyaksikan keberangkatan dua kapal yang menjadi sebahagian misi Global Sumud Flotilla (GSF) menuju Gaza pada 14 September. - Foto REUTERS

MADRID: Sepanyol mengumumkan akan menghantar kapal tentera laut bagi menyokong misi Global Sumud Flotilla (GSF) yang membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza, di tengah ancaman serangan dan gangguan yang didakwa berpunca daripada Israel.

Perdana Menteri Sepanyol, Encik Pedro Sanchez, berkata konvoi kemanusiaan itu disertai rakyat dari 45 negara yang membawa makanan untuk penduduk Gaza dalam menunjukkan solidariti terhadap penderitaan mereka di Gaza.

“Pemerintah Sepanyol menegaskan bahawa undang-undang antarabangsa mesti dihormati dan hak rakyat kami untuk belayar di Laut Mediterranean dalam keadaan selamat juga mesti dipelihara,’’ katanya semasa sidang media di New York, ketika menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA).

Menurut Encik Sanchez, sebuah kapal tindakan maritim lengkap dengan kelengkapan menyelamat akan berlayar dari Cartagena pada 25 September.

Tindakan ini diambil selepas Sepanyol berkerjasama dengan Italy yang lebih awal mengumumkan penghantaran kapal frigat Fasan bagi melindungi warganya di atas kapal flotila untuk membantu operasi bantuan jika diperlukan.

Kementerian Pertahanan Sepanyol juga dilaporkan sedang berbincang dengan Italy mengenai kerjasama yang lebih luas, termasuk kemungkinan penglibatan negara lain seperti Ireland.

Pegawai pertahanan menegaskan misi kapal Eropah itu bukan untuk berkonfrontasi dengan Israel, sebaliknya memberi bantuan kemanusiaan jika keadaan memerlukan.

Kapal Sepanyol itu akan beroperasi di perairan antarabangsa.

Misi GSF, yang terdiri daripada kira-kira 50 kapal, berlayar awal September dengan tujuan memecahkan sekatan laut Israel yang telah menjerut Gaza.

Mereka membawa bantuan kemanusiaan, khususnya bekalan perubatan, ke wilayah yang dihuni 2.4 juta penduduk Palestin dan kini sedang mengalami krisis kelaparan teruk akibat perang hampir dua tahun.

Namun perjalanan itu dicemari insiden berbahaya.

Penganjur melaporkan kapal-kapal mereka diserang 12 dron di perairan antarabangsa, 56 kilometer dari pulau Gavdos, Greece.

Walaupun tiada pihak secara rasmi dipersalahkan, Israel sebelum ini mengugut untuk menghalang flotilla daripada memasuki Gaza. Tentera Israel tidak memberi sebarang komen setakat ini.

Serangan itu dikecam Menteri Pertahanan Italy, Guido Crosetto, yang menyifatkannya “tidak boleh diterima”. “Kami menghantar kapal frigat untuk memastikan bantuan dan menyelamat warga Itali di atas kapal,” katanya, sambil menambah pelaku serangan masih belum dikenal pasti.

Francesca Albanese, peguam antarabangsa dan Pelapor Khas PBB mengenai Wilayah Palestin yang Dijajah, turut menyuarakan kebimbangan di media sosial dan menyeru perlindungan antarabangsa. “Jangan usik flotila!” tegasnya.

Ahli Parlimen Eropah dari Perancis, Cik Rima Hassan, pula meminta Presiden Emmanuel Macron campur tangan kerana “beberapa puluh rakyat Perancis berada di atas kapal flotila”.

Israel sebelum ini menuduh flotila mempunyai hubungan dengan Hamas dan mendakwa mereka melanggar sekatan laut yang kononnya sah.

Namun penganjur menafikan tuduhan itu dan menegaskan misi mereka “berdasarkan prinsip keamanan, pembebasan Palestin dan antikeganasan”.

Mereka menuduh Israel menggunakan dakwaan palsu untuk menghalalkan serangan terhadap sukarelawan tidak bersenjata.

GSF menggunakan kira-kira 50 bot awam dalam usaha memecahkan sekatan laut Israel ke atas Gaza.

Antara aktivis yang menyertainya ialah Cik Greta Thunberg, pejuang iklim dari Sweden.

GSF yang sedang belayar merentasi Laut Mediterranean membawa makanan, ubat-ubatan serta mesej keamanan dijadual tiba di perairan Gaza pada akhir September ini.

Misi bersejarah itu membabitkan lebih 1,000 sukarelawan dari seluruh dunia menaiki hampir 70 kapal dengan matlamat memecahkan sekatan ke atas Gaza. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg