Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Israel, Hamas bertempur di Gaza ketika usaha gencatan senjata dipergiat

Feb 26, 2024 | 3:09 PM
Kereta kebal Israel kelihatan bergerak berhampiran sempadan Israel-Gaza pada 24 Februari.
Kereta kebal Israel kelihatan bergerak berhampiran sempadan Israel-Gaza pada 24 Februari. - Foto REUTERS

BAITULMAKDIS/KAHIRAH: Tentera Israel dan militan Palestin bertempur di serata Jaluran Gaza pada hujung minggu – ketika pengantara mempercepatkan rundingan mengenai kemungkinan gencatan senjata untuk membebaskan tebusan yang ditahan kumpulan Hamas, sekali gus mewujudkan ketenangan pada Ramadan.

Namun, kemungkinan mewujudkan sebarang gencatan senjata kelihatan masih belum pasti dengan Israel berkata pihaknya juga merancang meluaskan usahanya bagi memusnahkan Hamas dengan kumpulan militan Palestin itu pula bertegas dengan tuntutannya untuk menamatkan perang yang berlarutan hampir lima bulan.

Penduduk Gaza berkata tentera Israel membedil beberapa kawasan dengan kereta kebal yang memasuki kawasan Beit Lahiya.

Tentera Israel dan kumpulan Hamas yang bersenjata melancarkan pertempuran di kawasan Zeitoun, di utara Gaza, yang dikatakan telah ditakluki Israel pada awal serangan.

Sekurang-kurangnya 86 penduduk Palestin terbunuh dalam serangan Israel dalam tempoh 24 jam sejak 24 Februari, kata pegawai perubatan pada 25 Februari.

Tentera Israel pula berkata dua askarnya maut dalam pertempuran di selatan Gaza. Tenteranya membunuh atau menangkap lelaki bersenjata Palestin di Zeitoun dan tempat lain.

Sementara itu, Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, memanggil anggota Kabinet perangnya untuk satu taklimat pada lewat 24 Februari oleh ketua risik yang pulang daripada pertemuan dengan pengantara Qatar, Mesir dan Amerika Syarikat di Paris, mengenai kemungkinan gencatan senjata kedua di Gaza.

Penasihat keselamatan negara Rumah Putih, Encik Jake Sullivan, memberitahu CNN bahawa perunding Amerika, Mesir, Qatar dan Israel “mencapai persefahaman” mengenai bentuk asas perjanjian tebusan semasa perbincangan di Paris itu.

Perjanjian itu masih dalam rundingan, kata Encik Sullivan, yang menambah bahawa perlu ada perbincangan tidak langsung oleh Qatar dan Mesir dengan Hamas.

Encik Netanyahu, semasa bercakap dalam rancangan. Face the Nation, terbitan stesen CBS, berkata masih belum jelas sama ada perjanjian tebusan akan menjadi kenyataan melalui rundingan itu.

Beliau enggan membincangkan butirannya tetapi mengatakan Hamas perlu membuat tuntutan yang lebih munasabah.

“Mereka berada di planet lain. Tetapi jika mereka datang ke situasi yang munasabah, maka ya, kita akan mempunyai perjanjian tebusan. Saya harap begitu,” katanya.

Pegawai kanan Hamas, Encik Sami Abu Zuhri, berkata ulasan Encik Netanyahu itu menimbulkan keraguan terhadap kesediaan Israel untuk menghasilkan perjanjian.

“Ulasan (Encik) Netanyahu menunjukkan beliau tidak prihatin untuk mencapai persetujuan,” kata Encik Abu Zuhri kepada Reuters, sambil menuduh pemimpin Israel itu mahu “menjalankan rundingan di bawah pengeboman dan pertumpahan darah (orang Palestin)”.

Sumber keselamatan Mesir pula berkata akan ada lebih banyak rundingan minggu ini di Doha, dengan pengantara berulang-alik antara Hamas dan perwakilan Israel, dengan pusingan susulan di Kahirah.

Tidak ada pengesahan segera dari Israel, Hamas atau Qatar.

Pada tempoh gencatan senjata pada November 2023, kira-kira separuh daripada 253 tebusan telah dibebaskan.

Dalam perjanjian itu, Israel membebaskan tiga kali ganda jumlah tahanan Palestin dari penjaranya, dengan Gaza pula menerima lebih banyak bantuan kemanusiaan.

Media Israel memetik pegawai yang tidak dinamakan sebagai melaporkan terdapat rangka kerja untuk mengembalikan kira-kira sepertiga daripada 130 tebusan yang masih ada dalam tempoh gencatan senjata selama enam minggu, termasuk sepanjang Ramadan. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg