JALURAN GAZA: Hamas dan Israel dijangka membebaskan lebih ramai tebusan dan tahanan pada Rabu – hari terakhir gencatan senjata enam hari, terpanjang dalam perang Gaza.
Perhatian kini tertumpu sama ada Qatar – pengantara kededua pihak – berjaya merundingkan melanjutkan tempoh gencatan senjata agar lebih banyak bantuan kemanusiaan dapat disalur ke Gaza.
Media Israel, memetik pejabat perdana menteri, mengesahkan pihaknya telah menerima senarai tebusan yang dijangka dibebaskan Hamas pada Rabu. Namun, ia tidak segera mengulas.
Hamas membebaskan 12 tebusan pada Selasa, menjadikan seramai 81 tebusan dibebaskan sejak Jumaat apabila gencatan senjata empat hari mula dilaksana.
Tebusan yang dibebaskan kebanyakannya wanita dan kanak-kanak Israel serta warga asing.
Selepas kumpulan terbaru itu dibebaskan dan diserahkan oleh Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC), tentera Israel berkata 10 wanita Israel dan dua warga Thailand menerima pemeriksaan kesihatan awal dan kemudiannya dipindahkan ke hospital Israel untuk bertemu keluarga masing-masing.
Tebusan berusia 17 hingga 84 tahun, termasuk sepasang ibu dan anak perempuan.
Menyusuli itu, Israel membebaskan 30 warga Palestin dari Penjara Ofer di Tebing Barat yang diduduki Israel dan pusat tahanan Baitulmakdis.
Kelab Tahanan Palestin berkata separuh daripada kumpulan itu wanita dan selebihnya remaja lelaki. Ini menjadikan jumlah keseluruhan rakyat Palestin yang dibebaskan di bawah gencatan senjata kepada 180 orang.
Israel berkata gencatan senjata boleh dipanjangkan lagi, dengan syarat Hamas membebaskan sekurang-kurangnya 10 tebusan Israel setiap hari.
Tebusan itu adalah antara kira-kira 240 orang yang ditahan Hamas apabila mereka menyerang selatan Israel pada 7 Oktober, yang turut membunuh lebih 1,400 orang.
Israel bertindak balas dengan pengeboman dan serangan darat berterusan ke atas Jaluran Gaza. Pihak berkuasa kesihatan Gaza berkata lebih 15,000 orang terbunuh akibat serangan Israel itu.
Qatar telah mengadakan pertemuan dengan ketua agensi risikan Israel, Mossad, dan Agensi Risik Pusat (CIA) Amerika Syarikat.
Menurut sumber, perbincangan berkisar pada kemungkinan melaksana fasa baru gencatan senjata lebih panjang dan Hamas diminta membebaskan tebusan lelaki atau anggota tentera pula.
Dalam pada itu, menteri luar negara Kumpulan Tujuh (G7) menggesa agar gencatan senjata dilanjutkan dan lebih banyak bantuan kemanusiaan disalur ke Gaza.
Jurucakap keselamatan negara Amerika, Encik John Kirby, berkata Amerika berharap Hamas akan membebaskan lebih ramai rakyat Amerika dan bekerjasama dengan Qatar untuk melanjutkan gencatan senjata.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berkata lebih ramai penduduk Gaza akan mati akibat dilanda penyakit kerana kekurangan ubat-ubatan, vaksin, air bersih dan makanan. – Reuters.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg