Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:26
Maghrib
7:07
Isyak
8:20
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

Israel-Hamas sambung perang lepas gencatan senjata luput

Dec 01, 2023 | 05:17 PM



JALURAN GAZA/TEL AVIV: Pertempuran sengit dilaporkan di Jaluran Gaza pada Jumaat, apabila tentera Israel menyambung serangannya ke atas kumpulan Hamas yang mentadbir wilayah itu.


Ia tercetus selepas Israel menuduh Hamas melanggar gencatan senjata sementara dengan menembak ke arah wilayah Israel dan mengingkari perjanjian untuk membebaskan semua wanita yang ditahannya.

Sekurang-kurangnya 14 rakyat Palestin terbunuh dan beberapa cedera dalam serangan udara Israel di Jaluran Gaza yang dikepungnya.

Gencatan senjata sementara selama tujuh hari, bermula pada 24 November dan dilanjutkan dua kali, membolehkan pertukaran berpuluh-puluh tebusan Israel yang ditahan di Gaza dengan ratusan tahanan Palestin dalam penjara Israel, dan memudahkan kemasukan bantuan kemanusiaan ke Gaza.

Sejam sebelum gencatan senjata ditetapkan tamat pada 7 pagi waktu tempatan (1 tengah hari Singapura), Israel berkata ia memintas roket yang dilancar dari Gaza.

Semboyan amaran roket dibunyikan lagi di kawasan Israel berhampiran Gaza hanya beberapa minit sebelum tamat tempoh gencatan senjata, kata tentera Israel.

Tiada komen segera daripada Hamas atau dakwaan bertanggungjawab ke atas pelancaran roket itu.

“Dengan penyambungan pertempuran, kami menekankan: pemerintah Israel komited untuk mencapai matlamat perang – membebaskan tebusan kami, menghapuskan Hamas, dan untuk memastikan Gaza tidak akan menimbulkan ancaman kepada penduduk Israel,” menurut kenyataan satu dari pejabat Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu.

Encik Ezzat El Rashq, ahli biro politik Hamas, pula berkata di laman web kumpulan itu: “Apa yang tidak dicapai Israel dalam tempoh 50 hari sebelum gencatan senjata, ia tidak akan dicapai dengan meneruskan pencerobohannya selepas gencatan senjata.”

Media Palestin dan Kementerian Dalam Negeri Gaza melaporkan serangan udara dan artileri Israel merentasi kawasan itu selepas gencatan senjata tamat, termasuk di Rafah, berhampiran sempadan dengan Mesir.

Di Khan Younis, di selatan Jaluran Gaza, seorang saksi agensi berita Reuters berkata beliau dapat mendengar bunyi tembakan kuat dan melihat kepulan asap di timur bandar itu.

Orang ramai melarikan diri dari kawasan itu ke kem di barat Khan Younis untuk berlindung, tambahnya.

Jurucakap Kementerian Kesihatan Gaza berkata 14 rakyat Palestin terbunuh dan berpuluh-puluh lagi cedera dalam serangan udara Israel dalam dua jam pertama sejak gencatan senjata tamat. Kebanyakan yang terbunuh adalah wanita dan kanak-kanak, katanya.

Tentera Israel mengesahkan pesawatnya menyerang sasaran Hamas di Gaza. Imej di media sosial menunjukkan kepulan asap gelap yang besar menjulang ke ruang angkasa kem Jabalia yang padat dibina di Gaza.

Israel telah berikrar akan memusnahkan Hamas sebagai tindak balas kepada serangan kumpulan itu ke atasnya pada 7 Oktober, yang membunuh 1,200 orang dan menjadikan 240 orang sebagai tebusan.

Israel bertindak balas dengan pengeboman hebat dan pencerobohan darat ke atas Gaza. Pihak berkuasa kesihatan Palestin yang dianggap boleh dipercayai oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata lebih 15,000 penduduk Gaza disahkan terbunuh.

Qatar dan Mesir telah melakukan usaha intensif untuk melanjutkan gencatan senjata, berikutan pertukaran kumpulan terbaru lapan tebusan dan 30 tahanan Palestin pada Khamis.

Israel sebelum ini telah menetapkan pembebasan 10 tebusan sehari sebagai minimum yang akan diterimanya untuk menghentikan serangan darat dan pengebomannya.

Pembebasan pada 30 November menjadikan jumlah yang dibebaskan semasa gencatan senjata kepada 105 tebusan dan 240 tahanan Palestin.

Antara yang dibebaskan ialah enam wanita berusia 21 hingga 40 tahun termasuk seorang warganegara Mexico-Israel dan Mia Schem berusia 21 tahun, yang memegang kedua-dua kewarganegaraan Perancis dan Israel.

Gambar yang dikeluarkan oleh pejabat perdana menteri Israel menunjukkan Schem, yang ditangkap oleh Hamas bersama yang lain pada festival muzik di selatan Israel pada 7 Oktober, memeluk ibu dan abangnya selepas mereka bersatu semula, di pangkalan tentera Hatzerim di Israel.

Dua lagi tebusan yang baru dibebaskan ialah adik beradik, Belal dan Aisha al-Ziadna, masing-masing berusia 18 dan 17 tahun, menurut pejabat perdana menteri Israel.

Mereka adalah warga Arab Badwi Israel dan antara empat ahli keluarga mereka yang dijadikan tebusan ketika mereka memerah susu lembu di ladang.

Salah seorang perunding utama Qatar, seorang diplomat, Encik Abdullah Al Sulaiti, yang membantu menyelesaikan gencatan senjata melalui rundingan ulang-alik maraton, mengakui dalam temu bual dengan Reuters baru-baru ini, tiada yang pasti tentang gencatan senjata ini.

“Pada mulanya saya fikir mencapai perjanjian akan menjadi langkah paling sukar,” katanya dalam artikel yang memperincikan usaha di sebalik tabir buat kali pertama.

“Saya dapati mengekalkan perjanjian itu sendiri adalah sama mencabar.”

Gencatan senjata itu telah membolehkan beberapa bantuan kemanusiaan masuk ke Gaza, selepas sebahagian besar wilayah pantai yang dihuni 2.3 juta orang itu telah menjadi padang jarak padang tekukur, dek serangan Israel.

Lebih banyak bahan api dan 56 trak bekalan kemanusiaan, memasuki Gaza pada Khamis, kata kementerian pertahanan Israel dan Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin.

Tetapi penghantaran makanan, air, bekalan perubatan dan bahan api kekal jauh di bawah apa yang diperlukan, kata pekerja bantuan.

Pada mesyuarat tergempar di Amman, Raja Abdullah bagi Jordan pada 30 November menggesa pegawai PBB dan kumpulan antarabangsa, untuk mendesak Israel supaya membenarkan lebih banyak bantuan ke dalam kawasan yang terkepung itu, menurut perwakilan.

Apabila gencatan senjata mula berkuat kuasa seminggu lalu, Israel sedang bersiap sedia untuk mengalihkan fokus operasinya ke selatan Gaza, selepas serangan tujuh minggu ke utara.

Encik Blinken, yang berada di Israel semasa lawatan ketiganya ke Timur Tengah sejak perang bermula, berkata beliau memberitahu Encik Netanyahu bahawa Israel tidak boleh mengulangi tindakannya di selatan Gaza yang mengorbankan sejumlah besar orang awam dan perpindahan penduduk yang arahkannya di utara.

“Kami membincangkan perincian perancangan berterusan Israel, dan saya menekankan pentingnya bagi Amerika bahawa kehilangan besar-besaran nyawa orang awam dan perpindahan skala yang kami lihat di utara Gaza tidak berulang di selatan,” kata Encik Blinken kepada pemberita di Tel Aviv, sambil menambah bahawa pemerintah Israel telah bersetuju. - Reuters.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >