Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Lagi 16 tebusan Israel dibebas

Nov 30, 2023 | 1:51 PM
SEMAKIN RAMAI DIBEBASKAN: Beberapa tebusan Israel yang dibebaskan daripada tahanan di Gaza, menaiki van pada 30 November untuk dibawa ke Pusat Perubatan Sheba di Ramat Gan, dekat Tel Aviv.
SEMAKIN RAMAI DIBEBASKAN: Beberapa tebusan Israel yang dibebaskan daripada tahanan di Gaza, menaiki van pada 30 November untuk dibawa ke Pusat Perubatan Sheba di Ramat Gan, dekat Tel Aviv. - Foto REUTERS

GAZA/BAITULMAKDIS: Lagi 16 tebusan Israel di Gaza telah diserahkan kepada pegawai Israel pada Rabu, hari kedua gencatan senjata lanjutan dalam perang antara Israel dengan kumpulan Hamas, kata Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC).

Seperti enam hari sebelum ini, tebusan dibebaskan dan diserahkan kepada anggota (ICRC) untuk dibawa dengan kenderaan ke Israel.

Di bawah syarat perjanjian pengantaraan Qatar, 30 rakyat Palestin – 16 bawah umur dan 14 wanita –dibebaskan pada Rabu sebagai ganti, kata Encik Majed Al-Ansari, jurucakap Kementerian Luar Qatar.

Dua warga Russia dan empat warga Thailand dibebaskan di luar kerangka perjanjian manakala 10 warga Israel yang dibebaskan termasuk lima pemegang dwi kerakyatan, tambah Encik Ansari.

Mereka termasuklah dua warga negara Belanda yang masih di bawah umur, tiga warga negara Jerman dan seorang warga negara Amerika Syarikat.

Tebusan yang dibebaskan adalah antara kira-kira 240 orang yang ditahan militan Hamas ketika mereka menyerang selatan Israel pada 7 Oktober. Lebih 1,200 orang terbunuh.

Pejabat Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, sebelum ini telah mengenal pasti dua wanita Russia-Israel yang dibebaskan pada Rabu malam. Mereka ialah Cik Yelena Trupanov, 50 tahun, dan Cik Irena Tati, 73 tahun.

Rakaman video yang dikeluarkan sayap bersenjata Hamas menunjukkan wanita itu diserahkan kepada ICRC dan kemudiannya dibawa keluar dari Jaluran Gaza. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg