NEW YORK: Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 11 Disember menerima pakai resolusi menggesa gencatan senjata segera dan tanpa syarat di Gaza, satu isyarat simbolik yang ditolak oleh Amerika Syarikat dan Israel.
Resolusi itu – diterima pakai dengan undian 158 menyokong, sembilan menentang dan 13 berkecuali – turut menggesa pembebasan serta-merta dan tanpa syarat semua tebusan yang masih ditahan di Gaza.
Pada November, Washington telah menggunakan kuasa vetonya ke atas Majlis Keselamatan untuk melindungi sekutunya Israel, yang telah berperang dengan Hamas di Jaluran Gaza sejak serangan kumpulan itu ke atas selatan Israel pada 7 Oktober 2023.
Ia telah menegaskan idea untuk mencapai gencatan senjata bersyarat melibatkan pembebasan semua tebusan di Gaza, dengan menyatakan sebaliknya bahawa Hamas tidak mempunyai insentif untuk membebaskan mereka yang ditawan.
Timbalan Duta Besar Amerika, Encik Robert Wood, mengulangi pendirian itu pada 11 Disember di PBB dengan berkata bahawa adalah “memalukan dan salah” untuk menerima pakai teks resolusi itu.
Menjelang pengundian, Utusan Israel di PBB, Encik Danny Danon, berkata: “Ketetapan sebelum perhimpunan hari ini adalah di luar logik. Undi hari ini bukan undi untuk belas kasihan. Ia adalah undi untuk bersubahat.”
Perhimpunan Agung sering kali mengambil langkah-langkah yang sukar dilaksanakan melalui Majlis Keselamatan, yang sebahagian besarnya terhalang dalam menangani isu-isu seperti Gaza dan Ukraine akibat politik dalaman
Resolusi itu, yang tidak mengikat, menuntut “akses segera” kepada bantuan kemanusiaan yang meluas untuk warga Gaza terutama di utara wilayah itu yang terkepung.
Berpuluh-puluh wakil negara anggota PBB berucap di Perhimpunan Agung menawarkan sokongan kepada rakyat Palestin.
Timbalan Duta Algeria di PBB, Encik Nacim Gaouaoui, berkata: “Harga berdiam diri dan kegagalan dalam menghadapi tragedi Palestin adalah harga yang sangat berat, dan ia akan menjadi lebih berat pada keesokan hari.”
Di Gaza, sekurang-kurangnya lagi lapan rakyat Palestin terkorban dan berpuluh-puluh cedera dalam dua serangan udara Israel yang menyasarkan kumpulan rakyat Palestin yang ditugaskan untuk mengamankan trak yang membawa bantuan ke Jaluran Gaza pada 12 Disember.
Pegawai perubatan berkata sekurang-kurangnya 30 orang cedera, beberapa daripada mereka dalam keadaan genting. Mereka bimbang angka kematian mungkin meningkat dalam serangan pertama di barat Bandar Rafah, di selatan wilayah itu.
Di Khan Younis, satu lagi kumpulan lelaki yang ditugaskan mengawal penghantaran bantuan, juga cedera akibat serangan udara berasingan Israel. – AFP.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg