WASHINGTON/BEIRUT: Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump mendakwa Israel dan Hezbollah telah bersetuju untuk menghentikan serangan antara satu sama lain, ketika usaha diplomatik baharu digerakkan bagi mengelakkan konflik di Lebanon daripada bertukar menjadi perang yang lebih besar di rantau Asia Barat.

Encik Trump dalam kenyataan di media sosial pada 1 Jun berkata beliau telah bercakap dengan Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, selain mengadakan komunikasi tidak langsung dengan Hezbollah.

“Israel tidak akan menyerang mereka, dan mereka juga tidak akan menyerang Israel,” kata Encik Trump.

Kenyataan itu dibuat hanya beberapa jam selepas Israel dan Iran saling mengeluarkan ancaman baru yang menimbulkan kebimbangan bahawa peperangan akan terus meningkat.

Bagaimanapun, Encik Netanyahu dalam kenyataan susulan tidak secara langsung mengesahkan kewujudan gencatan senjata baharu itu, walaupun beliau dilihat mengendurkan ancaman untuk melancarkan serangan besar ke atas kawasan pinggir selatan Beirut yang menjadi kubu kuat Hezbollah.

“Saya bercakap dengan Presiden Trump malam ini (1 Jun) dan memaklumkan bahawa jika Hezbollah tidak menghentikan serangan terhadap bandar dan orang awam kami, Israel akan menyerang sasaran pengganas di Beirut,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa tentera Israel akan meneruskan operasi di selatan Lebanon seperti yang dirancang.

Pemerintah Lebanon pula memaklumkan bahawa ia menerima pengesahan Hezbollah bersetuju dengan cadangan Amerika Syarikat untuk menghentikan serangan secara timbal balik.

Kenyataan itu dibuat ketika tokoh politik kanan Lebanon, Encik Nabih Berri, yang menjadi pengantara antara Hezbollah dan Amerika Syarikat, berkata kumpulan itu bersedia menerima “gencatan senjata sebenar”.

“Tiada siapa boleh menjayakan gencatan senjata sebenar kecuali Trump. Itu sahaja jalannya,” kata Encik Berri.

Beliau memberi jaminan bahawa Hezbollah akan mematuhi perjanjian itu jika ia benar-benar serius dan dipersetujui kedua-dua pihak.

“Jika ada gencatan senjata yang serius, saya jamin Hezbollah akan komited kepadanya,” katanya sambil menjelaskan mesej itu datang secara langsung daripada Hezbollah.

Menurut sumber diplomatik Amerika, Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Encik Marco Rubio, telah mengemukakan pelan baharu pengurangan ketegangan kepada Presiden Lebanon, Encik Joseph Aoun, dan Encik Netanyahu.

Di bawah cadangan itu, Hezbollah perlu menghentikan serangan ke atas Israel sebagai langkah pertama, manakala Israel pula tidak akan memperluaskan kempen ketenteraan di Beirut dan kawasan sekitarnya.

Namun, pendirian rasmi Israel terhadap cadangan itu masih belum jelas.

Walaupun gencatan senjata diumumkan pada April lalu, pertempuran antara Israel dan Hezbollah tidak pernah benar-benar berhenti.

Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, tentera Israel dilaporkan mara lebih jauh ke wilayah Lebanon, melepasi kawasan yang sebelum ini mereka kuasai.

Pada masa sama, Hezbollah terus melancarkan serangan terhadap tentera Israel dan sasaran di utara Israel.

Menurut angka pihak berkuasa kedua-dua negara, peperangan itu telah mengorbankan lebih 3,200 rakyat Lebanon dan 30 rakyat Israel.

Ketegangan memuncak pada 1 Jun selepas Encik Netanyahu mengarahkan serangan ke atas Dahiya, kawasan padat penduduk di pinggir selatan Beirut yang menjadi pusat pengaruh Hezbollah.

Arahan itu menyebabkan ribuan penduduk melarikan diri ke pusat bandar Beirut kerana bimbang serangan udara besar-besaran akan berlaku.

Seorang penduduk Dahiya, Encik Batoul Hassan Srour, 47 tahun, berkata beliau sudah terlalu penat dengan konflik yang berlarutan hampir tiga tahun itu.

“Saya benar-benar letih dengan semua ini. Sudah hampir tiga tahun kami hidup dalam tekanan dan ketakutan. Cukuplah,” katanya selepas berpindah ke pusat perlindungan di Aramoun, utara Beirut.

Beliau bagaimanapun mengakui tidak lagi yakin dengan pengumuman gencatan senjata.

“Saya tidak percaya dengan gencatan senjata ini. Kami sudah dengar banyak kali sebelum ini, tetapi apa yang kami perlukan ialah tindakan, bukan sekadar kata-kata,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Cik Zahra Khomasi, 43 tahun, berkata beliau sudah hilang kiraan berapa kali terpaksa berpindah bersama anak-anaknya.

“Kami seperti sudah terbiasa dengan keadaan ini,” katanya ketika menunggu di dalam kereta di pinggir Dahiya bersama dua anaknya.

Dalam perkembangan berkaitan, Iran turut memberi tekanan supaya konflik di Lebanon dimasukkan dalam sebarang perjanjian damai lebih luas antara Teheran dan Washington.

Menteri Luar Iran, Encik Abbas Araghchi, berkata gencatan senjata antara Iran dan Amerika Syarikat mesti melibatkan semua medan konflik termasuk Lebanon.

“Gencatan senjata antara Iran dan Amerika adalah gencatan senjata menyeluruh di semua medan konflik, termasuk Lebanon,” katanya di media sosial.

Sebelum itu, tentera Amerika memaklumkan ia berjaya memintas dua peluru berpandu balistik Iran yang menyasarkan pangkalan tentera Amerika di Kuwait.

Pada hujung minggu lalu pula, tentera Amerika melancarkan serangan terhadap radar dan pusat arahan di selatan Iran sebagai tindak balas terhadap insiden dron Amerika ditembak jatuh di perairan antarabangsa.

Situasi itu meningkatkan kebimbangan bahawa rundingan damai antara Iran dan Amerika Syarikat boleh runtuh pada bila-bila masa.

Agensi berita separa rasmi Iran, Tasnim, turut melaporkan Teheran mungkin menggantung penyertaan dalam rundingan damai dan mempertimbangkan penutupan penuh Selat Hormuz, laluan utama penghantaran minyak dunia.

Laporan itu menyebabkan harga minyak global melonjak.

Namun Encik Trump menegaskan rundingan dengan Iran masih diteruskan.

“Iran benar-benar mahukan perjanjian,” katanya sambil mendakwa tekanan politik daripada Republikan dan Demokrat menyukarkan proses rundingan.

“Bertenang sahaja, semuanya akan berakhir dengan baik,” katanya.

Pemerhati melihat perkembangan terbaru ini sebagai petanda bahawa kedua-dua pihak cuba mengelakkan perang serantau yang lebih luas, walaupun serangan bersenjata masih berterusan.

Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu turut mengadakan sidang tergempar mengenai Lebanon pada 1 Jun bagi membincangkan situasi keselamatan yang semakin membimbangkan.

Dalam kenyataannya, Presiden Lebanon Joseph Aoun berkata rundingan bukan tanda kelemahan atau penyerahan diri.

“Ada pihak menganggap rundingan sebagai penyerahan. Itu tidak benar. Rundingan ialah jalan untuk menghentikan peperangan dengan kerosakan paling minimum,” katanya. - Agensi berita