Topik diikuti
Pergi ke BHkuLebanon kecam serangan Israel rosakkan tapak bersejarah, warisan budaya
Lebanon kecam serangan Israel rosakkan tapak bersejarah, warisan budaya
Lebanon kecam serangan Israel rosakkan tapak bersejarah, warisan budaya
BEIRUT: Pihak berkuasa Lebanon pada 28 Mei mengecam serangan Israel berhampiran tapak bersejarah dan mercu tanda yang dilindungi Warisan Budaya Tidak Ketara Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco) di selatan negara itu.
Menteri Kebudayaan, Encik Ghassan Salame, menghubungi ramai rakan sejawatnya di seluruh dunia dan pertubuhan antarabangsa berkaitan untuk menarik perhatian mereka terhadap kerosakan besar terhadap tapak arkeologi dan kawasan warisan di selatan Lebanon, menurut agensi berita nasional yang dikendalikan pemerintah.
Beliau mengetengahkan bandar purba Tyre dan Istana Beaufort di daerah Nabatieh, menegaskan bahawa “sebilangan besar tapak ini menikmati perlindungan dipertingkat daripada Unesco, menjadikannya perlu untuk dilindungi daripada sebarang serangan udara atau meriam Israel”.
Perdana Menteri, Encik Nawaf Salam, berkata di platform X bahawa “tiada apa yang boleh membenarkan serangan berterusan ke atas kawasan Tyre dan Nabatieh serta pemusnahan mercu tanda bersejarah”.
Israel telah mengeluarkan amaran pemindahan berulang kali kepada sebahagian besar bandar pantai selatan Tyre dalam beberapa hari kebelakangan ini dan melancarkan serangan hebat.
Pada pagi 28 Mei, tentera Israel memberi amaran bahawa mereka akan menyasarkan sebuah bangunan di Tyre yang ditunjukkan di peta sebagai terletak sangat berhampiran kawasan arkeologi bandar itu.
Kira-kira dua jam selepas amaran itu, rakaman AFP menunjukkan bola api diikuti asap apabila serangan menghentam kawasan tersebut.
Majlis perbandaran selatan Lebanon di Arnoun, tempat terletaknya Istana Beaufort yang bersejarah, menyatakan dalam satu kenyataan di Facebook bahawa pihaknya “mengecam sekeras-kerasnya serangan yang menyasarkan tapak itu”, menyalahkan pengeboman Israel dan menggesa pihak berkuasa melindunginya “daripada kerosakan selanjutnya”.
Pada 27 Mei, wartawan AFP menyaksikan asap yang mengepul berhampiran Istana Beaufort selepas apa yang kelihatan seperti tembakan meriam.
Tentera Israel menggunakan istana itu, yang juga dikenali sebagai Qalaat al-Chakif, sebagai markas semasa pendudukan dua dekad mereka di selatan Lebanon yang berakhir pada 2000.
Pada November 2024, semasa perang sebelumnya antara Israel dengan Hezbollah, Unesco memberikan “perlindungan dipertingkat sementara” kepada 34 tapak warisan di Lebanon termasuk Tyre dan Istana Beaufort.
“Ketidakpatuhan terhadap klausa ini akan merupakan ‘pelanggaran serius’ Konvensyen Hague 1954 dan... boleh menjadi asas pendakwaan,” kata Unesco ketika itu.
Pada April 2026, Unesco menambah lagi 39 tapak Lebanon ke dalam senarai tersebut. – AFP.
