Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Israel ikrar musnah Gaza jika Hamas tidak lucut senjata, bebas tebusan

Aug 22, 2025 | 6:25 PM
Seorang lelaki Palestin yang kehilangan tempat tinggal sedang mengumpulkan barangannya pada 21 Ogos selepas serangan Israel ke atas sebuah kem pelarian di Deir el-Balah, di tengah Jaluran Gaza.
Seorang lelaki Palestin yang kehilangan tempat tinggal sedang mengumpulkan barangannya pada 21 Ogos selepas serangan Israel ke atas sebuah kem pelarian di Deir el-Balah, di tengah Jaluran Gaza. - Foto AFP

BAITULMAKDIS: Menteri Pertahanan Israel, Encik Israel Katz, berikrar pada 22 Ogos untuk memusnahkan Bandar Gaza jika Hamas tidak bersetuju melucutkan senjata, membebaskan semua tebusan yang masih ditahan di wilayah tersebut, dan menamatkan perang mengikut syarat Israel.

“Tidak lama lagi, pintu neraka akan terbuka di atas kepala pembunuh dan perogol Hamas di Gaza – sehingga mereka bersetuju dengan syarat Israel untuk menamatkan perang, terutama pembebasan semua tebusan dan pelucutan senjata mereka,” katanya di media sosial.

“Jika mereka tidak bersetuju, Gaza, ibu kota Hamas, akan menjadi seperti Rafah dan Beit Hanoun,” tambahnya, merujuk kepada dua bandar di Gaza yang sebahagian besarnya musnah dalam serangan Israel sebelum ini.

Kenyataan itu dibuat selepas Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, berkata pada 22 Ogos beliau sudah mengarahkan rundingan segera untuk membebaskan semua tebusan yang masih ditahan di Gaza.

Encik Netanyahu menambah usaha membebaskan tebusan akan disertai operasi bagi menguasai Bandar Gaza dan memusnahkan kubu Hamas.

Dalam perkembangan lain pada 22 Ogos, Inisiatif Klasifikasi Fasa Keselamatan Makanan Bersepadu, yang berpangkalan di Rome, dijangka mengeluarkan angka terkini berhubung krisis kebuluran di Gaza, lapor The Straits Times (ST).

Namun, sebelum laporan tersebut diterbitkan, Duta Amerika Syarikat ke Israel, Encik Mike Huckabee, terlebih dahulu menyangkal dapatan laporan tersebut.

“Anda tahu siapa yang sedang kelaparan? Para tebusan yang diculik dan diseksa oleh Hamas yang kejam dan tidak berperikemanusiaan,” tulis beliau di akaun media sosial X.

“Mungkin pengganas ini yang terlebih makan, boleh berkongsi sebahagian daripada gudang mereka yang penuh (dengan makanan) yang mereka curi, bersama orang yang lapar, terutama tebusan,” katanya.

Awal minggu ini, Kementerian Pertahanan Israel meluluskan pengerahan sekitar 60,000 askar simpanan untuk membantu dalam operasi menawan dan menguasai Bandar Gaza.

“Kedua-dua perkara ini – menewaskan Hamas dan membebaskan semua tebusan – berjalan seiring,” kata Encik Netanyahu, dalam satu kenyataan video pada 21 Ogos, tanpa memberi butiran lanjut mengenai tahap rundingan seterusnya.

Agensi kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran rancangan Israel untuk meluaskan operasi ketenteraan di Bandar Gaza akan membawa “kesan kemanusiaan yang mengerikan” ke atas penduduk yang sudah terjejas teruk.

Para perantara sudah menunggu selama beberapa hari bagi mendapatkan maklum balas rasmi daripada Israel berhubung usulan gencatan senjata terkini mereka, yang diterima Hamas awal minggu ini.

Sumber Palestin menyatakan perjanjian baru itu melibatkan pembebasan tebusan secara berperingkat.

Namun, Israel tetap menegaskan semua tebusan mesti dibebaskan secara serentak. – AFP.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg