TEL AVIV: Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu berkata pada 21 Ogos bahawa beliau telah mengarahkan rundingan segera bagi membebaskan baki semua tebusan di Gaza, ketika tentera Israel terus menggempur bandar terbesar di wilayah itu.
Gesaan tersebut dibuat sehari selepas kementerian pertahanan meluluskan rancangan mengerah kira-kira 60,000 tentera simpanan untuk menawan Bandar Gaza, kubu terakhir Hamas.
“Saya telah meluluskan rancangan tentera untuk menguasai Bandar Gaza dan menumpaskan Hamas,” kata beliau dalam satu kenyataan video yang dirakam semasa lawatan ke ibu pejabat divisyen tentera Israel di Gaza.
“Pada masa yang sama, saya telah mengarahkan untuk segera memulakan rundingan bagi pembebasan semua tebusan kami dan penamatan perang di bawah syarat yang boleh diterima oleh Israel.
“Dua perkara ini – menewaskan Hamas dan membebaskan semua tebusan kami – berjalan seiring,” kata Encik Netanyahu, tanpa memberikan butiran mengenai tahap perbincangan seterusnya.
Pihak perantara telah menunggu beberapa hari untuk jawapan rasmi Israel terhadap cadangan gencatan senjata terkini mereka, yang diterima Hamas awal minggu ini.
Sumber Palestin berkata perjanjian baru itu melibatkan pembebasan tebusan secara berperingkat, manakala Israel mahukan perjanjian yang membebaskan tebusan sekali gus.
Rancangan Israel untuk merampas Bandar Gaza telah mencetuskan bantahan antarabangsa dan dalam negara, dengan Palang Merah menyertai kecaman pada 21 Ogos, menyifatkan tindakan itu sebagai “tidak boleh diterima”.
Menjelang serangan tersebut, tentera Israel berkata kerahan pasukan simpanan akan bermula pada awal September, sambil menambah fasa kedua operasi ‘Kereta Gideon’ telah dimulakan.
Terdahulu, penduduk Bandar Gaza menyatakan pengeboman dilakukan tentera Israel tanpa henti semalaman.
“Rumah bergegar sepanjang malam akibat letupan, artileri dan pesawat perang. Bunyi ambulans dan jeritan meminta tolong didengar di sana sini,” kata penduduk, Encik Ahmad al-Shanti.
“Tiada seorang pun di Gaza malam tadi dan selama seminggu.
“Artileri dan serangan udara di timur tidak pernah berhenti,” kata seorang lagi penduduk, Encik Amal Abdel-Aal, di kejiranan Al-Sabra, Bandar Gaza.
Ketua Tentera Israel, Encik Eyal Zamir, berkata kepada askarnya bahawa “Kami sedang maju dengan usaha ke arah operasi di Bandar Gaza”.
Agensi kemanusiaan, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah memberi amaran bahawa operasi Israel di Bandar Gaza akan memberi “kesan kemanusiaan yang mengerikan” kepada penduduk Palestin.
Israel dan Hamas telah mengadakan rundingan tidak langsung sepanjang konflik hampir dua tahun, membuka jalan bagi dua gencatan senjata singkat yang menyaksikan pembebasan beberapa tebusan Israel sebagai pertukaran tahanan Palestin di Israel.
Daripada 251 tebusan yang ditahan semasa serangan Hamas pada Oktober 2023 ke atas selatan Israel, 49 masih berada di Gaza, termasuk 27 yang dikatakan tentera Israel sudah mati. – AFP.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg