BEIRUT: Israel telah mengisytiharkan semua kawasan di selatan Sungai Zahrani Lebanon, yang mengalir kira-kira 40 kilometer daripada sempadannya, sebagai “zon tempur” dan menggesa penduduk supaya berpindah sebelum ia melancarkan serangan terhadap Hezbollah.

Amaran meluas pertama seumpamanya sejak gencatan senjata pada 17 April dikeluarkan ketika tentera Israel melancarkan serbuan meluas di selatan dan timur negara itu ketika Hezbollah menyatakan para pejuangnya bertempur dengan pasukan Israel di luar “garis kuning” yang diisytiharkan oleh Israel di selatan.

Ia juga dikeluarkan ketika ramai rakyat Lebanon cuba merayakan cuti Hari Raya Aidiladha.

“Kami menasihati penduduk selatan Lebann supaya berpindah ke utara Sungai Zahrani, kerana semua kawasan di selatan sungai dianggap sebagai zon tempur,” kata tentera Israel di media sosial pada 27 Nei.

Israel juga memberi amaran bahawa ia akan bertindak “dengan kekuatan yang besar” terhadap Hezbollah.

Israel minggu ini berikrar untuk memperhebatkan operasi di Lebanon dan ia sedang mengembangkan operasi darat di sana.

Rundingan dijangka diadakan pada 29 Mei antara delegasi tentera Lebanon dengan Israel di Pentagon, begitu juga pusingan baharu rundingan langsung minggu depan yang bertujuan untuk menamatkan permusuhan.

Tentera Israel sebelum ini telah mengeluarkan amaran pemindahan untuk bandar selatan Nabatieh, dan sebahagian besar bandar pesisir Tyre dan kawasan sekitarnya.

Seorang wartawan AFP berkata penduduk dari kawasan Tyre yang terancam, telah berkumpul di bahagian bandar yang tidak termasuk dalam amaran itu.

Bagaimanapun, pihak berkuasa menggesa orang ramai supaya berpindah ke Beirut.

Agensi Berita Kebangsaan (NNA) yang dikendalikan oleh pemerintah kemudiannya melaporkan Israel menyerang Tyre dan kawasan sekitarnya yang disifatkan sebagai “pusat arahan Hezbollah”.

NNA juga melaporkan beberapa siri serangan ke atas bandar Nabatieh, mengakibatkan “kemusnahan besar” di kawasan perumahan.

Tentera Lubnan juga berkata pada hari Rabu bahawa salah seorang askarnya terbunuh dalam serangan Israel di selatan Lubnan.

Ketua tentera Israel, Leftenan Kolonel (Lt-Kol) Eyal Zamir berkata pada 27 Mei bahawa “kami sedang memperhebatkan operasi untuk memberikan pukulan yang lebih hebat kepada Hezbollah”.

NNA turut melaporkan serangan Israel di tempat lain di selatan negara itu dan di timur lembah Bekaa, dengan tentera Israel menyatakan ia menyerang “tapak infrastruktur Hezbollah”.

Hezbollah yang disokong Iran menyatakan pejuangnya “bertempur dengan pasukan musuh dari jarak dekat” di bandar Zawtar al-Sharqiyah, tepat di luar “garis kuning” yang diisytiharkan Israel di selatan Lebanon sebagai tempat tenteranya beroperasi.

Seorang pegawai tentera Israel menyatakan bahawa tentera telah mula beroperasi di luar “garis kuning”, yang terletak sekitar 10 kilometer jauhnya di dalam wilayah Lebanon.

Hezbollah juga mendakwa tiga serangan dron ke atas kedudukan Israel berhampiran sempadan di utara Israel.

Kementerian Kesihatan Lebanon pada 27 Mei menyatakan jumlah kematian telah meningkat sejak perang meletus pada 2 Mac kepada 3,269 orang. - AFP