Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Israel izin jualan makanan ke Gaza ekoran bantuan tersekat dek serangan

May 31, 2024 | 1:53 PM
Penduduk Palestin makan bersama juadah yang dimasak oleh sebuah badan amal di tapak bangunan yang musnah akibat serangan Israel di Khan Younis, Gaza, pada 30 Mei. Serangan Israel ke atas Rafah menghentikan aliran bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke wilayah Palestin itu.
Penduduk Palestin makan bersama juadah yang dimasak oleh sebuah badan amal di tapak bangunan yang musnah akibat serangan Israel di Khan Younis, Gaza, pada 30 Mei. Serangan Israel ke atas Rafah menghentikan aliran bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke wilayah Palestin itu. - Foto REUTERS

RAMALLAH (Tebing Barat): Tentera Israel telah menarik balik larangan penjualan makanan ke Gaza dari Israel dan Tebing Barat, yang didudukinya, sedang serangannya menyekat bantuan antarabangsa, kata pegawai Palestin, ahli perniagaan dan pekerja bantuan antarabangsa.

Pihak berkuasa tentera Israel telah memberi lampu hijau kepada pedagang Gaza agar meneruskan pembelian mereka daripada pembekal makanan Israel dan Palestin, seperti buah-buahan segar, sayur-sayuran dan barangan tenusu.

Kelonggaran itu diberikan beberapa hari selepas tentera Israel melancarkan serangan ke atas bandar Rafah, bandar paling selatan di Gaza, kata penduduk.

Serangan Israel terhadap Rafah, pintu masuk utama ke Gaza dari Mesir, telah secara berkesan menghentikan aliran bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke wilayah Palestin itu, yang kini bak padang jarak padang tekukur.

Israel berada di bawah tekanan peringkat sejagat yang semakin meningkat supaya ia meredakan krisis sedang agensi kemanusiaan memberi amaran tentang kebuluran yang semakin buruk.

“Israel menelefon pengedar dari Gaza yang telah membeli barangan dari Tebing Barat dan Israel sebelum perang,” kata Encik Ayed Abu Ramadan, pengerusi Dewan Perniagaan Gaza.

“Ia memberitahu mereka sudah bersedia untuk menyelaraskan pengambilan barang,” tambahnya, yang kelihatan lega dengan perkembangan terbaru itu.

Reuters, yang menemu bual lebih sedozen orang yang tahu mengenai perkembangan itu, adalah saluran berita pertama yang melaporkan butiran dan kesan penyambungan penghantaran makanan komersial yang akan dijual di pasar dan kedai Gaza.

Peralihan itu menandakan kali pertama mana-mana barangan yang dihasilkan di dalam Israel atau Tebing Barat, wilayah Palestin yang diduduki Israel, dibenarkan masuk ke Gaza sejak perang meletus pada 7 Oktober, ujar pegawai, pedagang dan penduduk Palestin.

Ditanya oleh Reuters mengenai penyambungan penghantaran makanan, Cogat, cawangan tentera Israel yang bertanggungjawab bagi pemindahan bantuan, berkata ia sedang mencari cara untuk meningkatkan bantuan kemanusiaan dan jumlah makanan untuk dijual di Gaza.

“Membenarkan sektor swasta membawa makanan ke Jaluran Gaza adalah sebahagian daripada usaha meningkatkan jumlah makanan yang masuk,” tambah jurucakap Cogat, Encik Shimon Freedman. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg