BAITULMAKDIS: Israel memberi isyarat sikap terbukanya pada 24 Mac untuk membenarkan kepulangan penduduk Palestin yang dipindahkan dari utara Gaza sebagai sebahagian daripada rundingan gencatan senjata, yang jelas memenuhi tuntutan utama Hamas.
Pihak yang bertelagah telah meningkatkan rundingan yang diperantarakan oleh Qatar dan Mesir, mengenai penggantungan serangan Israel selama enam minggu sebagai balasan kepada cadangan pembebasan 40 daripada 130 tebusan Israel yang masih ditahan oleh Hamas di Gaza.
Hamas telah berusaha untuk menyelesaikan sebarang perjanjian untuk menamatkan pertempuran dan pengunduran tentera Israel. Israel telah menolaknya dengan menegaskan ia berikrar untuk menghapuskan tadbir urus dan keupayaan ketenteraan Hamas.
Kumpulan itu juga mahu ratusan ribu rakyat Palestin yang melarikan diri dari Bandar Gaza dan kawasan sekitarnya ke arah selatan semasa perang bermula dibenarkan pulang ke utara.
Israel pada mulanya enggan berbuat demikian tetapi sedia mengalah, kata seorang pegawai Israel yang memberi taklimat mengenai rundingan di Doha itu.
“Kami kini bersedia untuk membincangkan pemulangan orang yang kehilangan tempat tinggal,” kata pegawai itu kepada Reuters tanpa mengulas bilangannya.
Media Israel telah membuat spekulasi bahawa tawaran itu terhad kepada wanita dan kanak-kanak, untuk menghalang lelaki bersenjata yang cuba memperkukuhkan kedudukan mereka dalam peperangan dengan Israel di beberapa bahagian di Bandar Gaza.
Pegawai itu, yang tidak mahu namanya disiarkan, berkata Israel juga pada dasarnya bersetuju untuk membebaskan antara 700 dengan 800 tahanan Palestin di penjara Israel sebagai balasan kepada pembebasan 40 tebusannya.
Langkah itu nampaknya memenuhi tuntutan Hamas, yang dilaporkan oleh Reuters pada 15 Mac, supaya antara 700 dengan 1,000 tahanan Palestin dibebaskan.
Bagaimanapun, pegawai Israel itu memberi amaran bahawa sebarang keputusan muktamad akan bergantung kepada berapa ramai daripada tahanan itu adalah militan kanan yang menjalani hukuman yang panjang kerana serangan maut ke atas Israel.
Serangan Hamas di selatan Israel pada 7 Oktober, membunuh 1,200 orang dan sekitar 240 yang lain dijadikan tebusan. - Reuters
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg