Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Israel jangka konflik berterusan sepanjang 2024

Jan 2, 2024 | 12:25 PM
PERANG BAKAL BERLARUTAN: Para kakitangan perubatan  daripada Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin memberi rawatan segera sebelum dibawa ke hospital kepada pesakit yang cedera akibat pengeboman Israel di Kem Maghazi, di Deir al-Balah, pada 1 Januari.
PERANG BAKAL BERLARUTAN: Para kakitangan perubatan daripada Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin memberi rawatan segera sebelum dibawa ke hospital kepada pesakit yang cedera akibat pengeboman Israel di Kem Maghazi, di Deir al-Balah, pada 1 Januari. - Foto REUTERS

GAZA: Dalam perutusan tahun baru, Angkatan Pertahanan Israel (IDF) berkata penempatan tentera sedang disesuaikan untuk bersiap sedia menghadapi “pertempuran yang berpanjangan”.

Jurucakapnya, Encik Daniel Hagari berkata beberapa tentera – terutamanya pasukan simpanan – akan ditarik balik untuk membolehkan mereka berkumpul semula.

“Penyesuaian ini bertujuan memastikan perancangan dan persediaan untuk meneruskan perang pada 2024.

“IDF mesti merancang lebih awal kerana memahami bahawa akan ada misi tambahan dan pertempuran akan berterusan sepanjang tahun ini,” tambahnya.

Beliau berkata:

“Beberapa pasukan simpanan akan meninggalkan Gaza “sebaik minggu ini” untuk membolehkan mereka kembali bertenaga menjelang operasi yang akan datang”.

Kira-kira 21,978 orang – kebanyakannya wanita dan kanak-kanak – telah terbunuh dan 56,697 tercedera di Gaza sejak perang meletus pada 7 Oktober, menurut kementerian kesihatan yang dikendalikan Hamas.

Angka itu termasuk 156 orang terbunuh dan 246 cedera dalam tempoh 24 jam yang lalu, tambah kementerian itu.

Perang terbaru itu dicetuskan oleh serangan rentas sempadan yang tidak pernah berlaku sebelum ini oleh lelaki bersenjata Hamas ke atas selatan Israel pada 7 Oktober.

Sekitar 1,200 orang terbunuh – kebanyakannya orang awam – sekitar 240 yang lain dijadikan tebusan.

IDF berkata bahawa ia telah membunuh seorang komander kanan Hamas yang terlibat dalam serangan 7 Oktober, Adil Mismah, dalam serangan semalaman di bandar Deir al-Balah.

Kementerian Kesihatan Gaza melaporkan sekurang-kurangnya 48 kematian dalam pengeboman semalaman di Bandar Gaza. Saksi memberitahu agensi berita AFP bahawa satu lagi serangan membunuh 20 orang yang berlindung di Universiti Al-Aqsa di barat bandar itu.

Satu lagi serangan pada pagi 1 Januari dikatakan telah membunuh sekurang-kurangnya 10 orang di kem pelarian al-Maghazi.

Seorang penduduk di utara Gaza yang berpindah ke selatan wilayah itu menyerlahkan perbezaan antara perayaan Tahun Baru di seluruh dunia dengan situasi muram di Gaza.

“Malam ini langit di negara-negara dunia akan diterangi oleh mercun, dan ketawa riang akan memenuhi udara,” kata Cik Zainab Khalil, 57 tahun, kepada pemberita pada 31 Disember.

“Di Gaza, langit kita dipenuhi dengan peluru berpandu dan peluru kereta kebal Israel yang mendarat ke atas orang awam yang tidak bersalah dan tiada tempat tinggal,” tambahnya.

PBB berkata 85 peratus daripada 2.3 juta penduduk Gaza kini telah kehilangan tempat tinggal. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg