Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Israel kecam video Hamas tunjuk tiga tebusan mohon dibebaskan

Dec 19, 2023 | 12:44 PM
MOHON DIBEBASKAN TANPA SYARAT: Tiga tebusan warga emas Israel yang ditahan di Gaza mohon dibebaskan dalam video pendek yang dikeluarkan Hamas pada 18 Disember.
MOHON DIBEBASKAN TANPA SYARAT: Tiga tebusan warga emas Israel yang ditahan di Gaza mohon dibebaskan dalam video pendek yang dikeluarkan Hamas pada 18 Disember. - Foto REUTERS

KAHIRAH: Hamas mengeluarkan video pendek yang memaparkan tiga tebusan warga emas Israel yang ditahan kumpulan itu semasa mereka menyerang selatan Israel pada 7 Oktober.

Namun, video yang dikeluarkan pada 18 Disember itu telah menarik kecaman Israel yang menyifatkannya sebagai “video penjenayah, pengganas”.

Ketiga-tiga lelaki itu – yang dikenal pasti oleh Israel sebagai Encik Chaim Peri, 79 tahun; Encik Yoram Metzger, 80 tahun; dan Amiram Cooper, 84 tahun – telah dijadikan tebusan lebih 10 minggu lalu bersama kira-kira 240 yang lain oleh Hamas dalam serangan pada Oktober itu.

Mereka semuanya berjanggut dan dilihat duduk bersebelahan dalam video yang disiarkan Hamas menerusi Telegram.

Duduk di tengah, Encik Peri menyatakan beliau dan tebusan warga emas lain yang mempunyai masalah kesihatan “sangat menderita dalam keadaan yang sangat buruk”.

Beliau merayu agar Israel mendapatkan pembebasan mereka tanpa sebarang syarat.

Encik Peri berada di rumahnya di Kibbutz Nir Oz semasa serangan Hamas. Beliau cuba mengusir lelaki bersenjata itu sambil menyembunyikan isterinya di belakang sofa.

Anak lelakinya memberitahu Reuters bahawa beliau akhirnya menyerah diri untuk menyelamatkan isterinya yang masih bersembunyi.

Menantu perempuan Encik Metzger, Cik Ayala Metzger, berkata beliau berasa gembira dan terkejut sebaik menonton video itu.

“Ia adalah kegembiraan seketika bila melihat mereka masih hidup,” katanya, tetapi menambah: “Sungguh mengejutkan melihat mereka berjanggut, hilang berat badan dan kelihatan lemah dan pucat.”

Jurucakap tentera Israel, Laksamana Muda Daniel Hagari, menyifatkannya sebagai “video penjenayah, pengganas” yang menunjukkan “kekejaman Hamas terhadap orang awam yang sangat tua, orang yang tidak bersalah dan memerlukan rawatan perubatan.”

“Chaim, Yoram dan Amiram. Saya harap awak mendengar saya petang ini,” kata Laksamana Hagari dalam taklimat televisyen. “Ketahui bahawa kami melakukan segala-galanya untuk membebaskan anda dengan selamat.”

Israel dan Hamas bersetuju dengan gencatan kemanusiaan selama seminggu pada akhir November hasil perantaraan Qatar dan Mesir yang menyaksikan pembebasan lebih 100 tebusan di Gaza sebagai pertukaran untuk 240 wanita dan remaja Palestin dari penjara Israel. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg