BAITULMAKDIS/KAHIRAH: Serangan udara Israel terhadap berpuluh-puluh sasaran di Gaza pada awal 18 Mac telah membunuh sekurang-kurangnya 200 orang, kata pihak berkuasa kesihatan Palestin, sekali gus meningkatkan perselisihan selama berminggu-minggu berhubung melanjutkan gencatan senjata yang dilaksanakan pada Januari.
Serangan dilaporkan di utara Gaza, Bandar Gaza, Deir al-Balah, Khan Younis dan Rafah di tengah dan selatan Jaluran Gaza.
Tentera Israel berkata serangan pelbagai sasaran itu akan diteruskan dan akan melangkaui serangan udara, meningkatkan prospek bahawa tentera darat Israel akan meneruskan pertempuran.
Skala serangan itu jauh lebih luas daripada siri serangan dron biasa yang dikatakan tentera Israel telah dijalankan terhadap individu atau kumpulan kecil yang disyaki militan menyusuli kegagalan untuk melanjutkan gencatan senjata yang dilaksanakan pada 19 Januari.
Bulan Sabit Merah Palestin berkata pihaknya telah menangani 86 mangsa korban dan 134 yang cedera.
Pegawai dari Hospital Nasser di Khan Younis, Hospital Al-Aqsa di tengah Gaza dan Hospital Al-Ahly di Bandar Gaza, yang kesemuanya telah rosak teruk dalam perang, berkata secara keseluruhan mereka telah menerima kira-kira 85 yang terbunuh.
Pihak berkuasa juga melaporkan bahawa 16 anggota sebuah keluarga di Rafah antara yang terbunuh.
Jurucakap kementerian kesihatan Gaza berkata angka kematian telah mencecah sekurang-kurangnya 200 orang, ramai daripadanya kanak-kanak.
Pejabat Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, menyatakan serangan dijalankan kerana Hamas telah berulang kali “menolak untuk membebaskan tebusan kami” dan menolak cadangan Encik Steve Witkoff, utusan Timur Tengah Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump.
“Israel akan, mulai sekarang, bertindak terhadap Hamas dengan peningkatan kekuatan ketenteraan,” katanya dalam satu kenyataan.
Di Washington, jurucakap Rumah Putih berkata Israel telah berunding dengan pentadbiran Amerika sebelum ia menyambung serangan, yang menurut tentera menyasarkan komander dan pegawai pimpinan Hamas peringkat pertengahan serta infrastruktur milik kumpulan itu.
“Hamas boleh membebaskan tebusan untuk melanjutkan gencatan senjata tetapi sebaliknya mereka memilih penolakan dan perang,” kata jurucakap Rumah Putih, Encik Brian Hughes.
Pasukan perunding dari Israel dan Hamas telah berada di Doha sedang perantara Mesir dan Qatar berusaha untuk merapatkan jurang antara kedua-dua pihak berikutan berakhirnya fasa awal dalam gencatan senjata, yang menyaksikan pembebasan 33 tebusan Israel dan lima warga Thailand di Gaza sebagai pertukaran untuk kira-kira 2,000 tahanan Palestin.
Dengan sokongan Amerika, Israel telah mendesak pembebasan baki 59 tebusan yang masih ditahan di Gaza sebagai pertukaran untuk gencatan senjata jangka panjang yang akan menghentikan pertempuran sehingga selepas Ramadan dan cuti Paskah Yahudi pada April.
Bagaimanapun, Hamas tetap berkeras untuk berunding bagi menamatkan perang secara kekal dan pengunduran sepenuhnya tentera Israel dari Gaza, mengikut syarat perjanjian gencatan senjata yang asal.
“Kami menuntut perantara supaya Encik Netanyahu dan pendudukan Zionis bertanggungjawab sepenuhnya kerana melanggar dan membatalkan perjanjian itu,” kata Hamas.
Sebahagian besar Gaza kini berada dalam runtuhan selepas 15 bulan pertempuran, yang meletus pada 7 Oktober 2023 apabila Hamas menyerang selatan Israel, membunuh kira-kira 1,200 orang dan menahan lebih 240 yang lain sebagai tebusan. – Reuters.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg