Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Negara Arab kemuka rancangan bina semula Gaza kepada AS

Mar 13, 2025 | 12:28 PM
Seorang lelaki Palestin sedang memasak juadah berbuka puasa di luar tempat perlindungannya di kem pelarian Bureij, yang terletak di tengah Semenanjung Gaza, pada 11 Mac 2025 sempena bulan suci Ramadan.
Seorang lelaki Palestin sedang memasak juadah berbuka puasa di luar tempat perlindungannya di kem pelarian Bureij, yang terletak di tengah Semenanjung Gaza, pada 11 Mac 2025 sempena bulan suci Ramadan. - Foto AFP

DOHA: Lima negara Arab secara rasmi telah mengemukakan rancangan pembinaan semula Gaza yang diketuai Mesir kepada Utusan Khas Amerika Syarikat, Steve Witkoff, dalam satu mesyuarat penting di ibu negara Qatar pada 12 Februari.

Menurut kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh Kementerian Luar Qatar, pertemuan itu turut disertai oleh menteri luar dari Qatar, Jordan, Mesir, Arab Saudi, Amiriah Arab Bersatu (UAE) serta Setiausaha Agung Jawatankuasa Eksekutif Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO).

“Mereka bersetuju dengan Utusan Khas AS untuk meneruskan perbincangan dan penyelarasan mengenai rancangan itu sebagai asas kepada usaha pembinaan semula Gaza,” menurut kenyataan itu.

Rancangan yang dibentangkan adalah hasil resolusi Sidang Kemuncak Liga Arab di Kaherah pada 4 Mac lalu. Ia memperuntukkan pembiayaan sekitar AS$53 bilion $70.6 bilion) bagi membina semula infrastruktur dan kemudahan awam di Gaza, yang musnah teruk akibat serangan tentera Israel sejak Oktober 2023.

Pelan ini secara jelas menolak sebarang pemindahan penduduk Palestin dari Gaza ke negara jiran seperti Mesir atau Jordan — satu cadangan yang pernah dikemukakan oleh Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.

Sebaliknya, rancangan Arab itu menekankan pembinaan semula Gaza di bawah pentadbiran masa depan Penguasa Palestin (PA), dengan fokus kepada pemulihan institusi, pembangunan ekonomi, dan jaminan kediaman tetap untuk rakyat Palestin di tanah mereka sendiri.

“Menteri-menteri menegaskan pentingnya mengekalkan gencatan senjata di Gaza dan wilayah Palestin yang diduduki, serta melancarkan usaha bersungguh-sungguh ke arah perdamaian menyeluruh berdasarkan penyelesaian dua negara,” tambah kenyataan itu lagi.

Perbincangan tersebut berlangsung ketika satu lagi pusingan rundingan gencatan senjata sedang berlangsung di Doha, yang turut dihadiri perunding dari Israel dan wakil Hamas, dengan Encik Witkoff memainkan peranan sebagai penghubung utama antara Amerika Syarikat dan negara-negara Arab.

Fasa pertama gencatan senjata selama 42 hari telah tamat awal Mac lalu tanpa persetujuan bagi fasa-fasa berikutnya. Rundingan kini memberi tumpuan kepada usaha memanjangkan tempoh gencatan dan mencari penyelesaian kekal untuk menghentikan konflik yang telah meragut puluhan ribu nyawa rakyat Palestin sejak 7 Oktober 2023.

Dalam kenyataan itu juga, negara-negara Arab menegaskan komitmen mereka terhadap dialog berterusan bagi memperkukuh kestabilan dan keamanan serantau melalui kerjasama diplomatik yang lebih intensif.

“Kami bersatu dalam usaha mencapai keamanan yang adil, dan kami percaya pembinaan semula Gaza mesti dilakukan tanpa menafikan hak rakyatnya untuk kekal di tanah mereka sendiri,” kata Menteri Luar Qatar, Sheikh Mohammed bin Abdulrahman Al Thani. - Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg