DAMSYIK: Kejatuhan Presiden Bashar al-Assad pada 8 Disember telah membuka babak baru dalam konflik di Syria.
Israel, yang sebelum ini mengamalkan pendekatan berhati-hati dalam operasi ketenteraan di Syria, kini melancarkan serangan berskala besar dengan alasan melindungi keselamatan negaranya.
Keadaan ini mencetuskan kebimbangan antarabangsa, dengan pelbagai pihak mempertikaikan matlamat dan kesan tindakan tersebut.
Sejak pemberontakan yang menggulingkan rejim Assad, Israel telah melancarkan lebih 350 serangan udara dan laut, termasuk serangan ke atas pangkalan tentera Syria, gudang senjata kimia, sistem peluru berpandu antipesawat dan peluru berpandu jarak jauh.
Menurut kenyataan pemerintah Israel pada 10 Disember, operasi itu bertujuan menghalang “unsur pengganas” daripada menguasai senjata canggih Syria.
Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, menegaskan bahawa kejatuhan rejim Assad telah mencipta kekosongan kuasa di sempadan Syria-Israel.
“Israel tidak akan membiarkan kumpulan jihad mengisi kekosongan ini dan mengancam masyarakat Israel,” katanya.
Namun, langkah itu tidak terlepas daripada kritikan.
Ketua Hayat Tahrir al-Sham (HTS), Encik Ahmed al-Sharaa, menyatakan bahawa tindakan Israel tidak berasas memandangkan ancaman dari militan pro-Iran telah berakhir dengan kejatuhan Assad.
“Kami berjanji akan mematuhi perjanjian gencatan senjata 1974,” kata Encik al-Shara, merujuk kepada persetujuan damai pasca Perang Yom Kippur 1973.
Operasi Israel bukan sahaja melibatkan serangan udara, bahkan juga pengambilalihan kawasan zon penampan yang sebelum ini dipantau oleh pasukan pengaman Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).
Pasukan tentera Israel kini menguasai puncak Gunung Hermon dan kawasan lain di Syria.
Walaupun Encik Netanyahu menyatakan bahawa tindakan itu bersifat sementara dan untuk tujuan defensif, tindakan Israel dianggap melanggar perjanjian pemisahan 1974.
Israel menawan sebahagian besar kawasan pergunungan dari Syria semasa Perang Enam Hari pada 1967 dan telah mendudukinya sejak itu, menangkis percubaan Syria untuk menakluk semula kawasan tersebut dalam perang Arab-Israel pada 1973.
Perjanjian pemisahan Israel-Syria yang ditandatangani pada 31 Mei 1974 bertujuan untuk mengekalkan gencatan senjata selepas Perang Yom Kippur pada 1973.
Ia menetapkan sempadan semasa antara kedua-dua negara dan mewujudkan zon penampan yang dipantau oleh Pasukan Pemerhati Pengunduran PBB (Undof).
Perjanjian itu melarang sebarang kegiatan ketenteraan di zon pemisah, bagi memastikan kestabilan dan keamanan di kawasan tersebut.
Israel telah menduduki sebahagian besar Bukit Golan sejak Perang Timur Tengah 1967 dan mengilhaknya pada 1981, satu langkah yang tidak diiktiraf oleh masyarakat antarabangsa.
Jurucakap PBB, Encik Stephane Dujarric, menyatakan bahawa pasukan pengaman PBB telah memberi amaran kepada Israel bahawa tindakan itu melanggar undang-undang antarabangsa.
Mesir dan Arab Saudi turut mengecam tindakan Israel, dengan menyifatkannya sebagai cubaan mengeksploitasi kekosongan kuasa untuk menduduki lebih banyak wilayah Syria.
Kejatuhan rejim Assad bukan sahaja mengubah dinamik di Syria, malah keseimbangan kuasa di Timur Tengah.
Mantan Ketua Perkhidmatan Perisikan Rahsia (MI6), Sir John Sawers, menyatakan bahawa Turkey kini muncul sebagai kuasa dominan di Syria.
“Israel perlu menerima hakikat bahawa Turkey kini memainkan peranan utama di rantau ini,” katanya kepada saluran berita Britain, Sky News.
Menurut mantan Timbalan Penolong Setiausaha Pertahanan Amerika, Cik Simone Leaden, kejatuhan rejim Assad telah mencetuskan keadaan yang kompleks di rantau itu.
Israel kini berdepan dilema besar. Serangan berterusan ke atas Syria berisiko mencetuskan konflik langsung dengan Turkey, yang memiliki kepentingan strategik di Syria.
Walaupun serangan Israel dilihat sebagai langkah untuk melindungi keselamatan negara, ia juga menunjukkan cabaran yang dihadapi oleh Israel.
Beberapa laporan media Israel seperti Jerusalem Post dan Arutz Sheva menyatakan bahawa rejim Assad yang lemah lebih sesuai bagi Israel berbanding kekosongan kuasa yang wujud sekarang.
Seorang penganalisis keselamatan dari Tel Aviv, Dr Carmit Valensi, menyatakan bahawa tindakan Israel di Syria lebih bersifat taktikal berbanding strategi jangka panjang.
“Israel mahu melindungi sempadannya sehingga keadaan di Syria stabil,” katanya.
Israel turut menghadapi risiko serangan balas daripada kumpulan bersenjata yang kini bebas bergerak di kawasan sempadan.
Pada 14 Disember, lelaki bersenjata menyerang pasukan pengaman PBB di sempadan Israel-Syria, mencetuskan kebimbangan mengenai keselamatan kawasan tersebut.
Langkah Israel untuk menguasai zon penampan dan menyerang sasaran di Syria dilihat sebagai usaha mengukuhkan keselamatannya.
Namun, tindakan itu tidak terlepas daripada kritikan antarabangsa yang menyifatkannya sebagai pelanggaran undang-undang antarabangsa.
Turkey yang kini menjadi kuasa dominan di Syria menambah lagi lapisan kerumitan kepada situasi itu.
Konflik langsung dengan Turkey akan memberi kesan buruk kepada kestabilan rantau tersebut.
Dalam jangka panjang, Israel perlu menilai semula strateginya di Syria.
Sebagai langkah awal, dialog dengan pihak berkepentingan termasuk PBB, Turkey, dan kumpulan HTS perlu diutamakan.
Keamanan yang berkekalan hanya dapat dicapai melalui kerjasama diplomatik, bukannya tindakan sepihak.
Seperti yang dinyatakan oleh Menteri Pertahanan Israel, Encik Israel Katz:
“Keutamaan kami adalah melindungi rakyat Israel dan memastikan sempadan kami selamat.”
Namun, pendekatan itu memerlukan keseimbangan antara keperluan keselamatan dengan menghormati undang-undang antarabangsa. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg