AS, Israel lancar serangan ke atas Iran; Teheran ikrar tindak balas yang dahsyat
AS, Israel lancar serangan ke atas Iran; Teheran ikrar tindak balas yang dahsyat
Harapan bagi penyelesaian diplomatik terhadap pertikaian nuklear Iran semakin tipis
WASHINGTON/DUBAI/CAIRO: Amerika Syarikat dan Israel melancarkan serangan awal terhadap Iran pada 28 Februari, menjerumuskan Timur Tengah ke dalam konflik baru yang menurut Presiden Amerika, Encik Donald Trump, akan menamatkan ancaman keselamatan terhadap Amerika dan memberi peluang kepada rakyat Iran untuk menggulingkan pemerintah mereka.
Iran melancarkan peluru berpandu ke arah Israel, menurut tentera Israel.
Pentagon pula memaklumkan serangan Amerika terhadap Iran dinamakan “Operation Epic Fury.”
Letupan turut kedengaran di Doha, ibu negara Qatar, dan di Abu Dhabi, ibu negara Amiriah Arab Bersatu (UAE).
Semboyan amaran turut dibunyikan di Bahrain, yang menempatkan armada tentera laut Amerika, serta di ibu negara Jordan, Amman.
Konfrontasi yang tercetus semula antara Iran dan musuh-musuh lamanya itu mengancam untuk terus menipiskan harapan terhadap penyelesaian diplomatik bagi pertikaian nuklear Teheran dengan Barat.
Dalam mesej video yang disiarkan di media sosial, Encik Trump merujuk pertikaian berdekad-dekad Washington dengan Iran, termasuk penawanan Kedutaan Amerika di Teheran pada 1979, apabila pelajar menahan 52 rakyat Amerika sebagai tebusan selama 444 hari, serta beberapa serangan lain yang menurut Amerika didalangi Iran sejak Revolusi Islam 1979 membawa golongan ulama ke tampuk kuasa.
Beliau menggesa rakyat Iran supaya berlindung kerana “bom akan digugurkan di merata-rata tempat.”
Namun beliau turut berkata: “Apabila kami selesai, ambil alih pemerintah anda. Ia milik anda untuk diambil. Ini mungkin satu-satunya peluang anda untuk beberapa generasi.”
Dua pegawai Amerika memberitahu Reuters tentera Amerika telah memulakan siri serangan terhadap beberapa sasaran di Iran.
Skop operasi udara dan laut itu tidak dapat dipastikan serta-merta, namun seorang pegawai berkata kempen tersebut dijangka berlangsung selama beberapa hari.
Iran sedang bersiap sedia untuk melancarkan tindak balas yang keras, kata seorang pegawai Iran kepada Reuters.
Pengawal Revolusi Iran berkata gelombang pertama serangan balas peluru berpandu dan dron telah dilancarkan terhadap Israel dan semua pangkalan dan tempat kepentingan Amerika di rantau ini berada dalam jangkauan Iran, kata seorang pegawai Iran kepada Reuters.
Tindakan balas Iran akan berterusan sehingga “musuh dikalahkan sepenuhnya,” kata Pengawal Revolusi.
Encik Trump sebelum ini telah mengerahkan kehadiran ketenteraan Amerika yang besar di rantau itu bagi memberi tekanan kepada Teheran supaya membuat kelonggaran dalam rundingan nuklear.
Beliau berkata operasi terhadap Republik Islam itu adalah “besar dan berterusan” serta berikrar memastikan Teheran tidak memperoleh senjata nuklear.
Encik Trump berkata Iran sedang membangunkan peluru berpandu jarak jauh yang mengancam Amerika dan industri peluru berpandu negara itu.
“Objektif kami adalah untuk mempertahankan rakyat Amerika dengan menghapuskan ancaman yang bakal datang daripada rejim Iran,” katanya.
Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, berkata serangan bersama Amerika-Israel itu “akan mewujudkan keadaan yang membolehkan rakyat Iran yang berani menentukan nasib mereka sendiri.”
“Sudah tiba masanya untuk semua lapisan rakyat Iran meninggalkan belenggu kezaliman daripada rejim dan membawa Iran yang bebas serta cintakan keamanan,” katanya dalam satu kenyataan.
Satu sumber memberitahu Reuters pemimpin Iran, Encik Ayatollah Ali Khamenei, tidak berada di Teheran dan telah dipindahkan ke tempat yang selamat.
Serangan itu, yang berlaku selepas Israel dan Iran terlibat dalam perang udara selama 12 hari pada Jun, menyusuli amaran berulang Amerika-Israel bahawa mereka akan menyerang lagi jika Iran meneruskan program nuklear dan peluru berpandu balistiknya.
“Negara Israel melancarkan serangan awal terhadap Iran untuk menghapuskan ancaman kepada Israel,” kata Menteri Pertahanan, Encik Israel Katz.
Israel melancarkan serangan terhadap Iran yang majoriti penduduknya beragama Islam ketika bulan Ramadan, bulan suci umat Islam yang berpuasa dari fajar hingga senja.
Serangan itu juga berlaku menjelang perayaan Yahudi, Purim, yang secara tradisinya memperingati penyelamatan orang Yahudi daripada pemusnahan di Parsi purba dan bermula pada 1 Mac.
Seorang pegawai pertahanan Israel berkata operasi itu telah dirancang selama berbulan-bulan dengan penyelarasan bersama Washington, dan tarikh pelancaran diputuskan beberapa minggu yang lalu.
Bunyi letupan kedengaran di Teheran pada 28 Februari, lapor media Iran dan semboyan dibunyikan di seluruh Israel sekitar jam 8.15 pagi waktu tempatan, dalam apa yang dikatakan oleh pihak tentera sebagai amaran proaktif untuk menyediakan orang ramai menghadapi kemungkinan serangan peluru berpandu yang akan datang.
Tentera Israel mengumumkan penutupan sekolah dan tempat kerja, dengan pengecualian untuk sektor penting, dan larangan di ruang udara awam.
Israel menutup ruang udaranya kepada penerbangan awam manakala Kementerian Pengangkutan Iraq juga mengumumkan ia telah menutup ruang udaranya.
Amerika dan Iran menyambung semula rundingan pada Februari dalam usaha menyelesaikan pertikaian berdekad-dekad itu melalui diplomasi dan mengelakkan ancaman konfrontasi ketenteraan yang boleh menggugat kestabilan rantau itu.
Bagaimanapun, Israel bertegas sebarang perjanjian Amerika dengan Iran mesti termasuk pembongkaran infrastruktur nuklear Teheran, bukan sekadar menghentikan proses pengayaan, dan melobi Washington untuk menyertakan sekatan ke atas program peluru berpandu Iran dalam rundingan itu.
Iran berkata ia bersedia untuk membincangkan sekatan ke atas program nuklearnya sebagai pertukaran untuk menarik balik sekatan tetapi menolak untuk mengaitkan isu itu dengan peluru berpandu.
Teheran juga berkata ia akan mempertahankan dirinya daripada sebarang serangan. Ia memberi amaran kepada negara jiran yang menempatkan tentera Amerika bahawa ia akan bertindak balas terhadap pangkalan Amerika jika Washington menyerang Iran.
Pada Jun, Amerika menyertai kempen ketenteraan Israel terhadap pemasangan nuklear Iran, dalam tindakan ketenteraan Amerika paling langsung yang pernah dilakukan terhadap Iran.
Teheran membalas dengan melancarkan peluru berpandu ke arah pangkalan udara Amerika, Al Udeid di Qatar, yang terbesar di Timur Tengah.
Kuasa Barat telah memberi amaran projek peluru berpandu balistik Iran mengancam kestabilan serantau dan boleh menghantar senjata nuklear jika dibangunkan. Teheran menafikan mencari bom atom. – Reuters.

