BAITULMAQDIS: Tentera Israel telah melancarkan serangan ke atas Gaza pada 19 Oktober, lapor media Israel dan penduduk tempatan, sekali gus memusnahkan harapan bahawa gencatan senjata yang diuruskan Amerika Syarikat, akan membawa keamanan yang berkekalan di wilayah itu.
Ini sedang Israel dan kumpulan Hamas, saling menuding jari.
Serangan Israel itu merupakan ujian paling besar terhadap gencatan senjata yang rapuh itu, yang mula berkuat kuasa pada 11 Oktober.
Penduduk Palestin di Gaza memberitahu Reuters bahawa mereka mendengar letupan dan tembakan di Rafah, di selatan Semenanjung Gaza.
Para saksi turut melaporkan tembakan dari kereta kebal Israel di bandar timur Abassan berhampiran Khan Younis, juga di selatan Gaza manakala saksi di Khan Younis berkata mereka mendengar deruan serangan udara ke arah Rafah pada awal petang 19 Oktober.
Jurucakap pemerintah Israel, apabila diminta mengesahkan serangan tersebut, merujuk pertanyaan itu kepada pihak tentera. Tentera Israel bagaimanapun tidak memberi sebarang kenyataan segera.
Pihak berkuasa kesihatan tempatan di Gaza berkata pada 19 Oktober bahawa dua rakyat Palestin terbunuh dalam serangan udara Israel di kawasan timur Jabalia, di utara Gaza.
Akhbar The Times of Israel melaporkan bahawa tentera sedang menjalankan serangan udara di kawasan Rafah selepas militan menyerang pasukan mereka, walaupun laporan itu tidak menyebut sumber maklumat tersebut.
Seorang pegawai tentera Israel berkata Hamas telah melancarkan beberapa serangan terhadap pasukan Israel di dalam Gaza, termasuk serangan menggunakan pelancar bom tangan roket dan serangan penembak tepat terhadap askar Israel.
“Kedua-dua insiden berlaku di kawasan yang dikawal Israel… Ini adalah pelanggaran berani terhadap gencatan senjata,” kata pegawai itu.
Pegawai kanan Hamas, Izzat Al Risheq, pula berkata bahawa kumpulan itu masih komited terhadap gencatan senjata, dan menuduh Israel berulang kali melanggarnya.
Baik Encik Risheq mahupun pegawai tentera Israel tidak menyebut mengenai laporan serangan Israel di Gaza.
Pejabat media pemerintah di Gaza pada 18 Oktober berkata Israel telah melakukan 47 pelanggaran selepas perjanjian gencatan senjata, menyebabkan 38 orang terbunuh dan 143 cedera.
“Pelanggaran ini meliputi tembakan langsung terhadap orang awam, serangan peluru berpandu dan operasi sasaran yang disengajakan, serta penahanan beberapa orang awam,” kata kenyataan pejabat media itu.
Pemerintah Israel dan Hamas saling menuduh antara satu sama lain melanggar gencatan senjata selama beberapa hari, dengan Israel mengatakan bahawa lintasan sempadan Rafah antara Gaza dan Mesir akan kekal ditutup sehingga diberitahu kelak.
Perjanjian gencatan senjata itu juga termasuk peningkatan penghantaran bantuan ke wilayah tersebut, di mana ratusan ribu orang telah dikenal pasti mengalami kebuluran pada Ogos lalu, menurut laporan badan pemantau kelaparan global.
Israel dan Hamas telah bertelagah berhubung dengan pemulangan mayat tebusan. Israel menuntut Hamas agar menunaikan kewajipannya dalam menyerahkan baki mayat kesemua 28 tebusan.
Hamas telah mengembalikan kesemua 20 tebusan hidup dan 12 yang terkorban tetapi berkata proses itu memerlukan usaha dan peralatan khas untuk memulihkan mayat yang tertimbus di bawah runtuhan.
Halangan besar kepada rancangan Presiden Donald Trump untuk menamatkan perang masih kekal. Persoalan utama mengenai pelucutan senjata Hamas, tadbir urus Gaza, pembentukan “pasukan penstabilan” antarabangsa dan langkah ke arah pembentukan negara Palestin masih belum dapat diselesaikan.
Apabila diminta mengulas, Kedutaan Amerika Syarikat di Baitulmaqdis merujuk pertanyaan kepada Jabatan Negara. – Reuters.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg