Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Israel larang mufti besar Baitulmakdis masuki Masjid Al-Aqsa

Aug 7, 2025 | 11:32 AM
Pihak berkuasa Israel melanjutkan larangan masuk ke Masjid Al-Aqsa terhadap Mufti Besar Baitulmakdis dan Wilayah Palestin, Sheikh Mohammed Hussein, susulan khutbah beliau yang mengkritik dasar Israel di Gaza.
Pihak berkuasa Israel melanjutkan larangan masuk ke Masjid Al-Aqsa terhadap Mufti Besar Baitulmakdis dan Wilayah Palestin, Sheikh Mohammed Hussein, susulan khutbah beliau yang mengkritik dasar Israel di Gaza. - Foto WAFA

BAITULMAKDIS: Pihak berkuasa Israel telah melarang mufti besar Baitulmakdis, Sheikh Muhammad Ahmad Hussein daripada memasuki perkarangan Masjid Al-Aqsa selama enam bulan.

Beliau dikenakan larangan itu kerana dikatakan menyampaikan khutbah yang menyentuh isu Palestin, kata peguamnya, Encik Khaldoun Najem, pada 6 Ogos.

Menurutnya, Sheikh Hussein, dikenakan larangan daripada memasuki masjid ketiga paling suci itu sehingga Januari 2026.

Encik Najem mendakwa polis Israel “tidak menyoal siasat” atau mengadakan sesi pendengaran untuk mufti memberi keterangan sebelum keputusan dibuat.

Peguam tersebut berkata larangan itu disebabkan oleh khutbah Jumaat yang disampaikan di Masjid Al-Aqsa pada akhir Julai, yang menurutnya “tidak mengandungi apa-apa yang tidak sesuai”.

Agensi berita Palestin, Wafa berkata, khutbah itu memberi tumpuan kepada keadaan yang semakin teruk di Gaza dan kebuluran yang semakin meningkat di wilayah itu akibat perang hampir dua tahun Israel terhadap Hamas.

Israel tela mengeluarkan larangan lapan hari terhadap Sheikh Hussein berikutan khutbahnya itu, kata Wafa.

Kompleks Al-Aqsa adalah tapak paling suci agama Yahudi, yang dikenali oleh orang Yahudi sebagai Gunung Kuil atau Temple Mount.

Israel menduduki dan menakluki Baitulmakdis timur dan termasuk Kota Lama pada 1967.

Ekoran pendudukan Israel itu kebanyakan masyarakat antarabangsa tidak mengiktiraf pencerobohan Israel ke atas kawasan itu.

Tindakan Israel itu turut mendapat kecaman Kementerian Wakaf dan Hal Ehwal Agama Palestin yang menyifatkan larangan berkenaan sebagai cubaan terancang untuk menyingkirkan tokoh agama dari Masjid Al-Aqsa.

“Larangan terhadap mufti ini adalah usaha jelas pihak penjajah untuk mengosongkan Al-Aqsa daripada kehadiran tokoh agama yang lantang menentang perancangannya, sekali gus mencerminkan skala pelanggaran Israel di Gaza, Tebing Barat dan khususnya di Masjid Al-Aqsa,” menurut kenyataan kementerian berkenaan.

Awal bulan ini, Menteri Keselamatan Israel yang berhaluan kanan, Encik Itamar Ben Gvir, secara terbuka mengadakan solat hajat Yahudi di pekarangan Masjid Al-Aqsa – satu tindakan yang sangat kontroversi dan melanggar persefahaman yang telah lama dipegang di tapak itu.

Kompleks itu telah lama menjadi titik permulaan dalam ketegangan antara Israel dengan Palestin dan sering menjadi pencetus pergolakan yang lebih besar. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg