DUBAI: Israel dan Lebanon telah mencapai persetujuan untuk menyambung gencatan senjata selama tiga minggu, hasil pertemuan di Rumah Putih yang diusahakan Presiden Amerika Syarikat (AS), Encik Donald Trump, sebagai orang tengah.

Encik Trump turut menyatakan kesediaan untuk menanti “tawaran terbaik” bagi menamatkan konflik AS dengan Iran.

Pertempuran Israel dengan kumpulan Hezbollah di Lebanon, yang disokong Iran, merupakan isu utama yang menyekat penyelesaian konflik serantau lapan minggu itu, selain cita-cita nuklear Iran dan isu kawalan Selat Hormuz.

Trump menegaskan beliau tidak tergesa-gesa mencapai perjanjian damai, sebaliknya mahukan penyelesaian yang “kekal selamanya”.

Pada masa sama, beliau terus mendakwa bahawa AS jelas mempunyai kelebihan dalam ketegangan maritim di selat berkenaan.

Sehari selepas Iran menonjolkan kawalan ketatnya di laluan perkapalan utama itu, Encik Trump memperlekeh ancaman bot-bot Iran, dan percaya Teheran kini terdesak dan sukar memeterai perjanjian kerana kepimpinan negara itu sedang berdepan krisis.

Pada 23 April, Encik Trump memaklumkan Tentera Laut AS telah menerima arahan untuk “tembak dan bunuh” mana-mana bot Iran yang dikesan memasang periuk api di selat tersebut.

AS juga mampu memusnahkan dalam masa sehari sahaja sebarang usaha Iran untuk membaik pulih senjata, yang mungkin dilakukan sepanjang tempoh gencatan senjata bermula 8 April.

Buat masa ini, laluan pelayaran di selat itu masih terhalang, dan tindakan Iran merampas dua kapal kargo besar menjadi peringatan bahawa AS masih bergelut untuk mengekalkan kawalan di situ, sementara Teheran terus menekan pasaran minyak, mengakibatkan kesan besar kepada ekonomi dunia.

Harga minyak kembali meningkat pada 24 April memandangkan keadaan gencatan senjata yang masih rapuh, selain isu sekatan di selat yang masih belum ada penyelesaian.

Tindakan Iran menggunakan sekumpulan bot kecil yang pantas untuk merampas kapal-kapal kontena telah menimbulkan keraguan terhadap dakwaan Encik Trump bahawa tentera AS telah melumpuhkan ancaman maritim negara itu.

Situasi ini turut menyingkap strategi Iran yang semakin rancak di selat tersebut, sebagai tindak balas terhadap tindakan Amerika yang memintas kapal tangki minyak serta kapal lain yang dikaitkan dengan Iran.

Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Mojtaba Khamenei, pada 23 April, menyangkal dakwaan Encik Trump bahawa kepimpinan Iran sedang kucar-kacir.

Beliau menyifatkan kenyataan itu sebagai “helah media musuh” yang sengaja direka untuk merobek perpaduan dan keamanan Iran.

“Perpaduan akan menjadi semakin utuh dan kuat, manakala musuh akan menjadi lebih lemah dan tercela,” ujarnya menerusi satu hantaran di laman X.

Encik Trump sebelum ini berkata beliau akan melanjutkan gencatan senjata dengan Iran buat tempoh yang belum ditetapkan, bagi membuka ruang untuk rundingan damai lanjut, yang masih belum dijadualkan.

“Jangan mendesak saya,” katanya apabila ditanya mengenai had masa beliau sanggup tunggu bagi mencapai perjanjian damai jangka panjang.

“Saya mahu menawarkan tawaran yang terbaik... Saya mahu ia kekal selamanya.”

Beliau turut menolak penggunaan senjata nuklear dan memberitahu media bahawa senjata itu tidak diperlukan, kerana Amerika telah “melumpuhkan” Iran dengan senjata konvensional.

“Tidak, saya tidak akan menggunakannya. Senjata nuklear tidak seharusnya dibenarkan untuk digunakan oleh sesiapapun,” tegas Encik Trump ketika menjawab soalan media di Rumah Putih. – Reuters.