GAZA/TEL AVIV: Ketegangan antara Israel dengan Hamas kembali memuncak apabila tentera Israel meluaskan operasi darat ke seluruh Gaza pada 20 Mac, manakala Hamas pula melancarkan roket ke arah Tel Aviv buat kali pertama dalam beberapa bulan.
Tentera Israel mengesahkan pihaknya telah mula melakukan serbuan ke atas kawasan di Rafah, selatan Gaza serta di Beit Lahiya, utara wilayah tersebut.
Ia sebagai sebahagian daripada operasi ketenteraan yang disambung semula selepas gencatan senjata selama dua bulan musnah.
Tindakan itu menyusuli pengumuman Israel bahawa tenteranya telah menguasai semula Koridor Netzarim, yang membelah Gaza tengah, selepas menarik diri dari kawasan itu pada Januari sebagai sebahagian daripada persetujuan gencatan senjata.
Hamas melancarkan tiga roket ke arah Tel Aviv pada 20 Mac.
Menurut tentera Israel, tiada kemalangan jiwa dilaporkan apabila roket tersebut sama ada dipintas atau jatuh di kawasan lapang.
Namun, serangan itu menandakan bahawa pertempuran itu boleh kembali ke tahap perang besar.
“Kami sengaja menangguhkan pelancaran roket untuk memberi ruang kepada usaha diplomatik.
“Tetapi, apabila Israel terus menggempur dan jumlah korban meningkat, Hamas perlu menunjukkan bahawa kami mampu bertindak balas,” kata pegawai kanan Hamas, Encik Husam Badran, dalam satu wawancara dari Doha.
Israel pula menegaskan bahawa gencatan senjata tidak boleh diteruskan selagi Hamas masih menyimpan tebusan, manakala Hamas menuduh Israel melanggar perjanjian gencatan senjata.
Menurut Kementerian Kesihatan Gaza, dalam tempoh tiga hari terakhir, lebih 500 orang terbunuh di Gaza akibat serangan udara dan darat Israel, termasuk puluhan kanak-kanak.
Walaupun keganasan meningkat, Amerika Syarikat tetap menyokong tindakan Israel.
Jurucakap Rumah Putih, Cik Karoline Leavitt, berkata Presiden Amerika, Encik Donald Trump, “menyokong sepenuhnya Israel dan tindakan mereka dalam beberapa hari ini”.
Di Gaza, suasana kembali cemas. Harapan rakyat untuk hidup lebih tenang selepas beberapa minggu bantuan kemanusiaan disalurkan kini musnah.
“Gencatan senjata sebelum ini memberi kami sedikit nafas untuk hidup. Tapi sekarang, makanan terlalu mahal, ramai yang kelaparan dan tiada ubat,” kata pakar perubatan di Bandar Gaza, Dr Abdelkarim al-Harazin.
“Semua orang sudah penat. Sampai bila kami harus hidup begini?” katanya dengan nada putus asa.
Dr Harazin turut menyalahkan kedua-dua pihak – Israel kerana memutuskan gencatan senjata secara sepihak, dan Hamas kerana enggan menyerahkan baki tebusan yang masih ditahan.
Israel meletakkan syarat supaya Hamas melucutkan senjata dan menyerahkan semua tebusan sebelum perang boleh dihentikan.
Namun, Hamas menolak permintaan itu.
“Jika kami serah senjata, kami beri peluang kepada penjajah untuk membunuh tanpa balasan,” tegas Encik Badran.
Israel mendakwa masih terdapat lebih 24 tebusan hidup dan 30 mayat lagi di Gaza.
Usaha rundingan yang diketuai Amerika, termasuk cadangan melanjutkan gencatan senjata dan pertukaran tahanan, masih belum mencapai sebarang kata sepakat.
Sementara itu, konflik turut merentasi sempadan.
Sekutu Hamas, iaitu kumpulan militan Houthi di Yaman, kembali melancarkan serangan peluru berpandu dan dron ke arah Israel, mencetuskan amaran serangan udara di beberapa kawasan.
Sebagai tindak balas, Amerika telah menggempur sasaran Houthi secara besar-besaran dalam usaha menghentikan serangan ke atas kapal-kapal dagang di Laut Merah.
“Kami akan musnahkan Houthi sepenuhnya,” kata Encik Trump pada 19 Mac sambil memberi amaran kepada Iran agar menghentikan sokongan kepada kumpulan militan itu.
Perang Gaza yang kini memasuki bulan ke-15 telah meragut lebih 48,000 nyawa, termasuk ribuan kanak-kanak.
Walaupun usaha damai terus dijalankan oleh pelbagai pihak, laluan ke arah penyelesaian kekal kelihatan masih jauh.
“Masalah bukan pada jumlah tebusan. Kami bersedia untuk berunding jika itu boleh membuka jalan ke arah gencatan senjata berkekalan.
“Tetapi selagi Israel enggan menamatkan perang dan keluar dari Gaza, rundingan tidak akan ke mana-mana,” kata Encik Badran. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg