Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Netanyahu: Serangan besar-besaran ke atas Gaza ‘hanya permulaan’

Israel, Hamas saling salahkan satu sama lain susuli terhentinya rundingan gencatan senjata
Mar 19, 2025 | 1:00 PM
Para penduduk melintasi puing-puing bangunan yang menyembah bumi selepas Israel melancarkan serangan udara di Jabalia, utara Gaza, pada 18 Mac.
Para penduduk melintasi puing-puing bangunan yang menyembah bumi selepas Israel melancarkan serangan udara di Jabalia, utara Gaza, pada 18 Mac. - Foto AFP

BAITULMAKDIS: Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, memberi amaran bahawa serangan semalaman besar-besaran tenteranya ke atas Gaza adalah “hanya permulaan” dan rundingan masa depan dengan Hamas “hanya akan berlaku di bawah serangan”.

Serangan pada 18 Mac itu, merupakan yang terbesar sejak gencatan senjata berkuat kuasa pada Januari.

Ia telah membunuh lebih 400 orang di seluruh Jaluran Gaza, menurut kementerian kesihatan di wilayah kendalian Hamas itu.

Encik Netanyahu berkata dalam satu kenyataan video pada petang 18 Mac bahawa “Hamas sudah rasai kekuatan tangan kami dalam tempoh 24 jam lalu. Dan saya mahu berjanji kepada anda... dan mereka... ini hanya permulaan”.

Rundingan telah terhenti mengenai cara meneruskan gencatan senjata susuli tamatnya fasa pertama, dengan Israel dan Hamas tidak bersetuju sama ada untuk beralih ke fasa selanjutnya yang bertujuan untuk menamatkan perang.

Encik Netanyahu berkata: “Mulai sekarang, rundingan hanya akan berlaku di bawah serangan dan tekanan tentera adalah penting untuk membebaskan tebusan.”

Israel telah berikrar untuk terus berjuang sehingga semua tebusan yang ditahan Hamas semasa serangan pada 7 Oktober 2023 dibebaskan.

Hamas tidak bertindak balas secara ketenteraan setakat ini, dan dalam satu kenyataan menggesa negara-negara sahabat agar “memberi tekanan” kepada Amerika Syarikat supaya menamatkan serangan oleh sekutunya Israel.

Zamil kanan di Majlis Perhubungan Luar Eropah, Encik Hugh Lovatt, berkata bahawa “Hamas mungkin tidak mahu diseret ke dalam peperangan”.

Rumah Putih berkata Israel telah berunding dengan pentadbiran Presiden Donald Trump sebelum melancarkan serangan, manakala Israel berkata serangan berkenaan “diselaraskan sepenuhnya” dengan Washington.

Jurucakap Jabatan Negara berkata bahawa “Hamas memikul tanggungjawab sepenuhnya kerana menyambung semula permusuhan”.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan negara-negara di seluruh dunia mengutuk serangan itu, manakala keluarga tebusan Israel merayu kepada Encik Netanyahu supaya menghentikan keganasan kerana bimbang nasib orang tersayang.

Pejabat Encik Netanyahu berkata serangan itu dilancarkan kerana “penolakan berulang kali Hamas untuk membebaskan tebusan kami”.

Hamas pula berkata Israel telah “memutuskan untuk membatalkan perjanjian gencatan senjata” dan memberi amaran bahawa penyambungan semula keganasan akan “membawa hukuman mati” ke atas tebusan yang masih hidup.

Ketua Hamas, Encik Sami Abu Zuhri, berkata serangan itu adalah “untuk mengenakan perjanjian penyerahan diri, menulisnya menggunakan darah Gaza”.

Menurut Hamas, ketua pemerintahannya di Gaza, Encik Essam al-Dalis, adalah antara beberapa pegawai yang terbunuh.

Kementerian kesihatan Gaza berkata mayat 413 orang telah diterima oleh hospital, sambil menambah “sebilangan mangsa masih berada di bawah runtuhan”.

Menteri Luar Jerman, Cik Annalena Baerbock, berkata:

“Imej pembakaran khemah di kem pelarian amat mengejutkan. Kanak-kanak yang melarikan diri dan orang yang kehilangan tempat tinggal tidak boleh digunakan sebagai pengaruh dalam rundingan.”

Iran mengecam serangan Israel itu sebagai “pembunuhan beramai-ramai yang berterusan” di wilayah Palestin, manakala Russia dan China memberi amaran terhadap peningkatan yang berlaku.

Presiden Mesir, Encik Abdel Fattah al-Sisi, berkata serangan itu adalah sebahagian daripada “usaha yang disengajakan untuk menjadikan Gaza tidak dapat didiami dan memaksa rakyat Palestin berpindah”. – AFP.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg